Topic followed successfully
Go to BHkuBincang pembangunan masyarakat Melayu perlu berlandaskan ukuran wajar
Bincang pembangunan masyarakat Melayu perlu berlandaskan ukuran wajar
Pemimpin, masyarakat perlu bersatu manfaatkan kesediaan Dr Faishal turun padang, sikapnya yang rendah hati dan bekerja keras, bagi sama-sama berusaha memajukan masyarakat Melayu/Islam
Bincang pembangunan masyarakat Melayu perlu berlandaskan ukuran wajar
Sudah hampir setahun Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Sepanjang tempoh itu, beliau tidak terus menyatakan ungkapan-ungkapan besar untuk menggariskan visinya.
Sebaliknya, Dr Faishal lebih gigih menyantuni, mendekati dan mendengar luahan masyarakat.
Berbekalkan proses tersebut, barulah beliau menzahirkan visinya untuk masyarakat dalam ucapan beliau dalam Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri Menteri, iaitu Bersatu Hati, Maju Bersama.
Dalam hal ini, cara Dr Faishal yang kelihatan tidak terburu-buru melaungkan slogan-slogan besar perlu dipuji.
Malah, beliau cuba mengembalikan semangat berjuang kepada individu untuk menentukannya.
Beliau mahukan setiap anggota masyarakat menjana wawasan kejayaan pada tahap peribadi agar mereka menjadi insan yang terbaik dalam segala bidang dan di setiap peringkat kehidupan.
Saya menilainya sebagai isyarat beliau kepada setiap individu Melayu-Muslim untuk bangkit pada saat melalui pasang surut kehidupan.
Jelas bahawa dalam kehidupan, ada yang melalui kehidupan yang susah sebelum melonjak kepada kejayaan; dan sebaliknya, ada yang berkehidupan mewah pula kemudiannya melalui cabaran-cabaran hidup lain.
Setiap peringkat kehidupan ini perlu diteliti dan masyarakat boleh mendampingi setiap golongan dengan cara yang berkesan demi merealisasikan potensi sebenar mereka.
Tiada satu penyelesaian bagi masalah yang berbeza-beza.
Banyak cabaran-cabaran rumit kehidupan kini menjejaskan kelas menengah yang tersepit, terutama sekali golongan yang disebut sebagai golongan sandwic.
Golongan ini harus mengharungi cabaran keluarga yang lebih besar, seperti membiayai anak-anak yang masih di bangku sekolah, dan juga mengharungi kos-kos penjagaan ibu bapa yang semakin menua.
Jika dahulu perhatian diberikan kepada golongan yang merempat, kini golongan sandwic ini perlu diberikan perhatian, kerana masyarakat Melayu merangkumi sebahagian besar daripadanya.
Strategi yang digunakan oleh Dr Faishal ini menarik, terutama sekali bagi golongan belia.
Golongan ini yang paling terbuka untuk mencuba pengalaman-pengalaman baru.
Di sini, mereka boleh disokong untuk mencungkil kebolehan mereka supaya tidak hanya tertumpu pada bidang akademik sahaja.
Sebagai contoh, jika mereka berkebolehan dalam bidang seni, muzik, dan warisan, mereka tidak boleh dipinggirkan, malah harus dibantu menjadi yang terbaik di peringkat antarabangsa.
Buat masa ini, masyarakat Melayu ada bakat-bakat muzik yang boleh meneruskan warisan Zubir Said dan Iskandar Mirza Ismail (pemenang pingat budaya), dan mereka ialah Syafiqah Adha Sallehin, Nabillah Jalal, dan Riduan Zalani.
Malah mereka yang berminat dalam bidang-bidang yang kurang mendapatkan perhatian juga perlu disokong.
Kita selalu menyebut bidang guaman, perubatan, kejuruteraan, dan perniagaan sebagai pekerjaan-pekerjaan teratas dalam hierarki kerjaya.
Tetapi, adakah kita mengabaikan bidang-bidang yang sama penting?
Misalnya, dalam hal warisan dan sejarah, kita masih belum memiliki pengganti tokoh-tokoh seperti Profesor Syed Hussein Alatas.
Jika kita berbicara tentang geopolitik, isu yang sangat penting saat ini adalah pertarungan Amerika dengan China serta konflik di Timur Tengah.
Walau bagaimanapun, sudahkah kita memiliki pengulas yang diakui di peringkat antarabangsa?
Apakah bidang-bidang ini kurang penting dalam masyarakat, walaupun strategi ketenteraan dan politik antarabangsa menjamin kedaulatan dan penakatan Singapura?
Tidakkah perspektif masyarakat Melayu-Islam, mentelah kedudukan kita di rantau ini, menjadikan hal ini lebih penting?
Kini, timbul satu lagi kekhuatiran bahawa masyarakat kita belum bersedia menghadapi Revolusi 4.0, yang berkisar tentang pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI).
Sejauh ini, kita kurang didedahkan kepada contoh-contoh jelas bagaimana ia boleh menjejaskan pekerja-pekerja kita.
Hakikatnya, masyarakat Melayu tahu tentang kemunculan wahana baru seperti AI dan pendigitalan, tapi bagaimana ia boleh menjadi pemangkin bagi kebolehan dan kecenderungan masing-masing belum dibahaskan.
Wahana AI dan pendigitalan, buat masa ini, lebih dibincangkan sebagai bentuk ancaman berbanding peluang.
Saya fikir pemimpin-pemimpin kita perlu bermula dengan pengiktirafan kebolehan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang, dan kemudian menyokong mereka mengembangkan minat mereka ke peringkat nasional, rantau dan antarabangsa.
Seterusnya, berikan cadangan terperinci tentang bagaimana penggunaan teknologi-teknologi baru boleh membantu usaha mereka.
Gaya kepimpinan Dr Faishal amat saya alukan-alukan.
Dalam pemerhatian saya, beliau rajin turun ke peringkat akar umbi untuk mendengar rintihan masyarakat dan cuba membantu.
Ini adalah satu peluang untuk membangunkan masyarakat bersama, dan pendirian beliau untuk tidak menyatakan slogan-slogan besar adalah satu permulaan yang baik.
Namun, ada beberapa perkara yang boleh difikirkan bersama oleh kepimpinan masyarakat.
Pertama, kita perlu giatkan usaha mendefinisikan masalah masyarakat dengan lebih tepat melalui lunas-lunas sains masyarakat dan ilmu kemanusiaan (humanities).
Malah kita harus terbuka membezakan isu-isu yang perlu diteliti di peringkat masyarakat Melayu, dengan apa yang sudah pun diatasi oleh pemerintah.
Ini kerana kaum-kaum lain mungkin menghadapi masalah serupa masyarakat kita.
Justeru, setiap perbincangan masalah memerlukan perkongsian data dengan masyarakat agar kita tahu apakah matlamat yang boleh dicapai.
Bagi saya, Banci Penduduk 2020 adalah permulaan terbaik untuk memulakan perbincangan serius kerana ia maklumat yang paling objektif.
Kita perlu bertanya apakah statistik sasaran sebagai pembaikan masyarakat yang boleh kita capai untuk Banci Penduduk 2030 sebelum kita boleh menyatakan kita telah berjaya. Atau gemilang.
Kita juga perlu memberikan sasaran yang realistik, kerana tidak semua boleh dicapai dalam masa sedekad.
Kedua, kita harus lebih terbuka dalam membahas masalah, dan tidak hanya memusatkan perhatian pada aspek komunikasi.
Kadangkala, dengan hanya ingin mengkhabarkan “berita baik” kepada masyarakat, kita takut membahaskan data-data yang sensitif.
Hingga hari ini, masih belum jelas apakah masalah yang perlu diselesaikan dalam sektor sosio-agama dan lulusan madrasah sehingga perlu mendirikan Kolej Pengajian Islam di Singapura, yang akan bekerjasama dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) .
Sejauh ini, laporan media tentang lulusan-lulusan universiti Islam majoritinya positif, dan keputusan peperiksaan mereka sama baiknya dengan sekolah-sekolah nasional.
Bukankah ini bererti mereka dapat bersaing secara meritokrasi – satu ideologi pemerintah Singapura – dengan mudah dengan lulusan-lulusan lain?
Tanpa konteks dan perbincangan terbuka tentang permasalahan, masyarakat belum boleh menilai apakah pendekatan yang dipilih berkesan atau tidak.
Ketiga, usaha membangkitkan semangat kerjasama dalam masyarakat adalah baik.
Kesediaan Dr Faishal untuk memperluaskan rangkaian M3 (Muis, Mendaki dan Mesra) dengan badan-badan Melayu lain satu permulaan yang positif.
Namun, tanpa sasaran-sasaran buat masyarakat yang jelas – sebagai contoh dalam jangka masa 100 hari, tiga tahun, atau sedekad – kita masih belum boleh menilai sejauh mana rangkaian ini boleh mendatangkan kesan.
Buat masa ini, sasarannya ialah untuk menurunkan kadar perceraian dan penagihan dadah yang paling jelas, dan ini menariknya, adalah usaha Dr Faishal sendiri.
Saya berharap pendekatan ini boleh dilanjutkan kepada aspek-aspek lain, seperti kesihatan, perumahan, dan pekerjaan.
Saya yakin bahawa Jawatankuasa Daya Ekonomi yang baru ditubuhkan Dr Faishal, dan dipengerusikan dua Anggota Parlimen (AP), Encik Saktiandi Supaat dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah, boleh melakukan amanah ini dengan baik.
Tetapi, kita juga perlu akur bahawa tidak semua badan Melayu/Islam ada keupayaan untuk meneruskan kerja-kerja masyarakat, malah ada juga ideologi dan sudut pandang yang berbeza.
Sebaliknya, menaik taraf institusi dan hala tuju badan-badan Melayu itu sendiri perlu dijadikan agenda pembaharuan dalam visi baru pemimpin Melayu 4G, dan ia perlu diluaskan dan dikemas kini agar tidak wujud pertindihan kepentingan atau pertindanan.
Saya fikir kita perlu membantu Menteri baru kita mencapai yang terbaik.
Dengan sikap beliau yang bersedia turun padang, rendah hati, dan kerja keras, beliau akan disokong oleh pemimpin-pemimpin di bawah beliau, penjawat awam, dan masyarakat sivil.
Dr Norshahril Saat adalah Zamil Utama (Principal Fellow) dan Penyelaras Program Sosial dan Budaya di Iseas-Institut Yusof Ishak.

