Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Wacana

PANDANGAN - BAHASA MELAYU, WARISAN KITA

Alkisah di sebalik nama... DARI ALI TINJU KE ALI BABA

Semarakkan Bahasa Kebangsaan bersama BH/BM
Nov 24, 2019 | 05:30 AM

Keunikan kaitan bahasa dan budaya Melayu

SELEPAS solat subuh, Pak Imam meminta jemaah bersama-sama memenuhi permintaan Pak Bilal membacakan Al-Fatihah sempena hari lahir isterinya, semoga dengan berkah pembacaan surah itu, isteri beliau panjang umur, sihat wal afiat, murah rezeki dan sentiasa dalam hidayah Allah.

Permintaan membacakan surah serupa itu, terutama dalam hal kematian atau mendoakan orang sakit supaya kembali sihat wal afiat, agak lumrah.

Sebahagian kita mungkin tidak perasan, namun dalam contoh di atas, terdapat perkataan yang sebenarnya asal dari bahasa luar, terutama dari Dunia Islam yang sudah lama meresap dalam budaya dan bahasa masyarakat Melayu.

Perkataan seperti rezeki, berkah, hidayah, umur dan sihat wal afiah adalah asal perkataan daripada bahasa Arab. Namun kerana sudah lama dan biasa digunakan, perkataan itu sudah dianggap sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu.

Pengaruh sedemikian bukan sahaja terserap dalam bahasa, malah dalam menamakan anak.

Suatu ketika dahulu, nama Nabi, ahli keluarga dan sahabat biasa diambil dalam menamakan anak.

Kalau anak perempuan, nama Aminah, Khadijah, Fatimah, Aisyah (sempena wanita yang ada pertalian dengan Nabi) antara yang menjadi pilihan.

Kalau anak lelaki pula - nama seperti Ibrahim, Ismail, Yakob, Ishak, Noh, Musa, Isa, Musa dan Muhammad (sempena nama nabi-nabi); Abu Bakar, Omar, Othman, Ali (sempena khalifah) biasa dipilih.

Namun, kini jarang pasangan muda memilih menamakan anak mereka sempena nama-nama tradisi itu.

Kalau ada, mungkin yang bunyinya boleh dimelayukan dan diinggeriskan seperti Adam dan Danial (sempena nama nabi) dan Ayden (sempena nama syurga Adn).

Walau nama-nama tradisi itu kini jarang digunakan, ada yang agak unik.

Antara nama tradisi dengan keistimewaan tersendiri ialah Ali.

Bergantung bagaimana ia dieja dalam tulisan Arab, Ali adalah asal kata bahasa Arab yang bermakna tinggi.

Dan dalam bahasa Arab, nama itu boleh 'diperempuankan' iaitu Aliah.

Sayidina Ali, sepupu dan juga menantu Nabi saw, adalah khalifah Ar-Rasyidin keempat. Banyak sejarah yang menjalar ke hari ini daripada Ali.

Banyak orang Melayu bernama Ali.

Nama Ali juga popular dalam pelbagai bentuk lain.

Ali menjadi pilihan nama petinju Cassius Clay yang menukar namanya kepada Muhammad Ali selepas beliau memeluk Islam pada 1964. Muhammad Ali, yang terkenal dengan ungkapan 'Float Like a Butterfly and Sting Like a Bee' (terapung bagai kupu-kupu dan menyengat bagai lebah), dianggap antara personaliti sukan terhebat pada abad ke-20.

Selain kehebatannya di gelanggang, Muhammad Ali, yang meninggal dunia pada 2016 pada usia 74 tahun, turut dikenali dengan kelantangan menyuarakan hak asasi serta sumbangan kemasyarakatan termasuk di luar Amerika Syarikat.

Ali juga terkenal dalam masyarakat Melayu kerana ada filem komedi Melayu yang dihasilkan Allahyarham P. Ramlee - filem Ali Baba Bujang Lapok.

Daripada filem itu juga, suatu ketika terhasil basikal yang digelar basikal Ali Baba kerana keunikan basikal yang ditunggang oleh ketua penyamun dalam filem tersebut.

Dari segi bahasa yang berkaitan dengan ekonomi, Ali juga ada gambaran khusus yang berkaitan dengan perniagaan - istilah yang disebut Ali Baba.

Kamus Dewan (edisi keempat) menjelaskan menjelaskan bahawa perniagaan Ali Baba adalah cara perusahaan yang memakai nama Melayu atau kelihatan saja dimiliki atau diuruskan oleh orang Melayu tetapi sebenarnya kepunyaan (diselenggarakan oleh) orang Cina atau bangsa lain - yang mendapat keuntungan ialah orang asing melalui cara demikian.

Ia memberi contoh: 'mengalibabakan' bermakna menjual hak-hak yang khas bagi orang Melayu (di Malaysia) kepada orang Cina atau bangsa lain.

Dan kini, Ali terkenal di persada dunia dalam perniagaan e-dagang.

Alibaba menjadi jenama - ekuiti jenama atau brand equity - yang dipopularkan oleh Jack Ma, jutawan firma Internet yang kini mempunyai kepentingan di serata dunia.

Seperti Amazon dan eBay, Alibaba adalah syarikat dagang Internet.

Namun firma China itu tidak menyimpan inventori atau menjual barang. Ia merupakan orang tengah yang mengenakan bayaran dan meraih komisen daripada peniaga yang lebih besar dan bayaran pengiklanan daripada peniaga yang lebih kecil.

Encik Ma, mantan guru bahasa Inggeris sebelum memulakan Alibaba pada 1999 sehingga berkembang menjadi gergasi Internet bernilai berbilion dolar, menjadi antara lelaki terkaya dunia dan individu dihormati. Nilai bersih Encik Ma dianggarkan AS$36.6 bilion ($50.1 bilion), menurut majalah Forbes.

Pendeknya, Ali mungkin satu nama tradisi yang mempunyai kaitan dengan bahasa dan budaya Melayu.

Namun, perkataan dan nama tradisi boleh kekal, dan malah dengan daya kreatif tertentu, boleh didakap masyarakat moden secara meluas.

Ternyata, ada sesuatu yang boleh melekat pada nama...


KE ALI BABA Banyak orang Melayu bernama Ali. Nama Ali juga popular dalam pelbagai bentuk lain. Ali menjadi pilihan nama petinju Cassius Clay yang menukar namanya kepada Muhammad Ali selepas beliau memeluk Islam pada 1964... Ali juga terkenal dalam masyarakat Melayu kerana ada filem komedi Melayu yang dihasilkan Allahyarham P. Ramlee - filem 'Ali Baba Bujang Lapok'... Dan kini, Ali terkenal di persada dunia dalam perniagaan e-dagang.
Alibaba menjadi jenama - ekuiti jenama atau brand equity - yang dipopularkan oleh Jack Ma, jutawan firma Internet yang kini mempunyai kepentingan di serata dunia.

- Penulis


Suhaimi Mohsen ialah editor naskhah BH/BM. Beliau lulusan Sastera dan Sains Kemasyarakatan (BA) Universiti Singapura dalam bidang Sains Politik dan Pengajian Melayu. Baru-baru ini, beliau menulis beberapa wacana termasuk 'Pendekatan proaktif demi jaga keharmonian kaum S'pura', 'Perlu periksa kesahihan berita yang diterima sebelum dihebah', 'Bagai aur dengan tebing; air dicencang tidak akan putus' dan 'Syukuri kemakmuran yang dinikmati'. Beliau juga terlibat dalam proses pemilihan Anugerah Guru Arif Budiman (Agab).

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian