Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

ANALISIS BERITA

Kerajaan baru Perak perlu bekerjasama dengan pembangkang bagi kembalikan keyakinan rakyat

Dec 10, 2020 | 05:30 AM



KRISIS kepimpinan kerajaan Negeri Perak diselesaikan dalam pertemuan tiga pihak semalam antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.



Ia berakhir setelah masuk hari keenam krisis politik Perak gabungan PN memperoleh mandat bagi membentuk kerajaan baharu.



Sebelum ini majoriti mutlak yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi daripada keseluruhan 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dapat dicapai apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing gagal meyakinkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.



Sentimen pemimpin dan akar umbi Umno masih kuat dengan ketetapan Majlis Tertinggi (MT) Umno, 'No DAP, No PKR (Parti Keadilan Rakyat)', dalam kerjasama politik peringkat Persekutuan atau Negeri.



Mereka berpegang kepada ketetapan itu demi menjaga maruah agama dan bangsa Melayu yang menjadi lambang kekuatan parti yang pernah menguasai kerajaan Persekutuan lebih 60 tahun.



Rata-rata mahu Umno membentuk semula kerajaan Perak bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas.



Selain itu, mereka juga mahu kepimpinan Umno mengukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai Umno, PAS dan Bersatu.



Bagi mereka kerajaan PN Perak yang ditubuhkan pada Mac lalu perlu dibentuk semula dengan wajah baru tanpa meninggalkan rakan gabungan sebelum itu, iaitu PAS dan Bersatu.



Awal dari ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata ketika ini pihaknya mahu kerajaan PN Perak diberi keutamaan, selain itu termasuk kononnya Umno perlu bekerjasama dengan DAP bukanlah pilihan utama.



Katanya, undi percaya yang berlaku itu hanya melibatkan jawatan Menteri Besar Perak sahaja tanpa mengubah status Kerajaan Negeri.



Sentimen yang sama disuarakan oleh Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan yang menyatakan integriti dan prinsip dalam perjuangan amat mustahak. Tanpa kedua-duanya kawan, lawan dan rakyat tidak akan ada keyakinan lagi kepada apa yang akan Umno katakan.



Pada 4 Disember lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hanya memperoleh 10 undi yang menyokong berbanding 48 yang menolak manakala seorang ahli dewan berkecuali dalam usul undi percaya terhadap beliau yang dibawa Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru).



Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, DAP (16 ), Bersatu (lima), Parti Amanah Negara (Amanah) (lima), PKR (tiga), PAS (tiga) dan masing-masing satu daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan Bebas.



Bagaimanapun, apa yang disuarakan oleh Datuk Ahmad bukan mudah untuk 'ditelan' oleh pemimpin dan ahli Bersatu yang berasa mereka ditikam dari belakang oleh Umno Perak yang menjadi rakan dalam kerajaan.



Bagi mereka, jika benar apa yang dikatakan hanya untuk menukar Menteri Besar, kenapa perkara itu tidak dibawa ke mesyuarat Majlis Presiden PN untuk mencari jalan penyelesaian.



Tindakan Adun Umno Perak membawa usul undi percaya tetapi tidak menyokongnya menunjukkan ada usaha tersusun untuk memalukan Datuk Ahmad Faizal di khalayak umum.



Sebarang usaha belakang tabir berhubung peletakan jawatan Datuk Ahmad Faizal membolehkan Adun Chenderiang itu bersara secara hormat, sekali gus dapat menjaga keharmonian dalam kalangan parti komponen PN.



Bagi Srikandi Muda Bersatu, pihaknya tidak terkejut jika Umno sanggup bersekongkol dengan DAP demi kuasa dalam kemelut politik di Perak kerana mereka beranggapan sifat parti itu yang tidak mampu diubah walaupun ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.



"Kita menzahirkan rasa kesal ke atas apa yang berlaku di negeri Perak. Ia membuktikan bahawa parti-parti yang dianggap rakan seperjuangan untuk memartabatkan orang Melayu di negeri Perak telah berpaling tadah dan memberi ruang kepada kerajaan bukan Melayu untuk berkuasa.



"Ia juga menggambarkan kerakusan kuasa oleh kumpulan mereka yang tamak haloba," kata pengerusinya, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor, dalam satu kenyataan.



Begitu juga PAS, yang lebih mesra dengan Bersatu berbanding Umno sejak akhir-akhir ini, menyatakan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di Perak.



Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu selaras dengan tindakan tiga Adun parti itu yang menyokong usul percaya terhadap Datuk Ahmad Faizal.



Malah Pesuruhjaya PAS Perak dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria, menyatakan menukar pemimpin kerajaan dalam DUN Perak adalah satu penderhakaan dan pengkhianatan.



Sehubungan itu, ada usaha dalam kalangan pemimpin Umno Perak menemui pemimpin pembangkang untuk menjalin kerjasama BN dan PH yang membentuk kerajaan yang lebih stabil kerana BN mempunyai 25 kerusi manakala PH (24).



Bagaimanapun, ada juga suara dalam kalangan pemimpin Umno yang bimbang dengan kerjasama dengan PH terutama DAP kerana kedua-dua parti seteru utama dalam politik negara sejak merdeka pada 1957.



Bagi pemimpin Umno itu, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR dan Amanah, meskipun ketetapan 'No DAP, No PKR' masih dipegang kerana bekerjasama dengan PKR sama seperti menerima DAP yang menjadi rakan karib PKR.



Jika berlaku juga kerjasama BN dan PH, ada usaha mahu DAP tidak menyertai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), tetapi mungkin tidak diterima oleh ketiga-tiga pemimpin PH kerana gabungan itu mengiktiraf kesamarataan.



Pengerusi DAP Perak, Encik Nga Kor Ming; Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, dan Pengerusi PKR Perak, Encik Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, pula menyatakan kesediaan parti masing-masing bekerjasama dengan Umno.



Datuk Asmuni mahu cadangan untuk bekerjasama itu dibuat dengan syarat Umno dapat menerima PH secara kumpulan dan bukan hanya parti-parti tertentu.



Pembentukan kerajaan bersama itu dilihat sebagai jalan penyelesaian mengatasi kemelut politik yang melanda negeri Perak ketika ini sekali gus dapat membentuk sebuah kerajaan lebih stabil dan kuat sekurang-kurangnya sehingga PRU akan datang.



Encik Nga pula menyatakan demi kepentingan rakyat, DAP Perak sedia bekerjasama dengan mana-mana parti untuk membantu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil serta pelbagai kaum.



Bagi Encik Farhash Wafa, PKR terbuka untuk bekerjasama dengan Umno demi kestabilan politik dan kebaikan rakyat.



Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hanya akan memainkan peranan memilih menteri besar setelah baginda yakin bahawa calon yang dipersembahkan mendapat sokongan majoriti mudah.



Kini, terpulang kepada Umno untuk bekerjasama dengan pembangkang membentuk kerajaan stabil atau membina semula keyakinan dengan rakan yang terguris akibat permainan parti itu meneruskan kerjasama penubuhan kerajaan 'rapuh menunggu hari untuk patah'.




''Kita menzahirkan rasa kesal ke atas apa yang berlaku di negeri Perak. Ia membuktikan bahawa parti-parti yang dianggap rakan seperjuangan untuk memartabatkan orang Melayu di negeri Perak telah berpaling tadah dan memberi ruang kepada kerajaan bukan Melayu untuk berkuasa. Ia juga menggambarkan kerakusan kuasa oleh kumpulan mereka yang tamak haloba.''
- Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor, pengerusi Srikandi Muda Bersatu dalam satu kenyataan. Pihaknya tidak terkejut jika Umno sanggup bersekongkol dengan DAP demi kuasa dalam kemelut politik di Perak.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >