Topik diikuti
Pergi ke BHkuApabila persahabatan perlu ‘masuk’ kalendar
Perlu ada usaha bagi pastikan pertalian kekal terjalin seiring perubahan fasa kehidupan
“Nanti kita jumpa”.
Ayat itu mungkin antara janji yang paling mudah disebut apabila terserempak dengan kawan lama, tetapi juga antara yang paling sukar ditunaikan apabila usia semakin meningkat.
Semasa muda, saya tidak pernah memikirkan bahawa berkawan memerlukan usaha.
Di sekolah, saya bertemu kawan hampir setiap hari, makan bersama ketika waktu rehat, pulang bersama selepas sekolah, dan kadangkala menghabiskan hujung minggu bersama tanpa perlu merancangnya lebih awal.
Persahabatan ketika itu seolah-olah terbina dengan sendiri.
Namun, apabila dewasa, keadaannya berbeza.
Saya melihatnya sendiri dalam kalangan kawan rapat saya yang kini berada dalam fasa kehidupan berbeza.
Ada yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak, ada yang baru mendirikan rumah tangga, manakala ada juga yang masih bujang.
Kerjaya dan komitmen masing-masing juga semakin bertambah, sehingga mencari jadual apabila semua orang lapang kadangkala terasa seperti mahu menetapkan tarikh mesyuarat melibatkan beberapa jabatan.
Mungkin sebab itu dapatan kajian Institut Pengajian Dasar (IPS) mengenai persahabatan di Singapura yang diterbitkan pada awal 2026 menarik perhatian saya.
Kajian melibatkan 3,713 warga Singapura dan Penduduk Tetap berusia lebih 21 tahun itu mendapati 89.5 peratus mempunyai sekurang-kurangnya seorang kawan rapat, iaitu seseorang yang mereka selesa berkongsi hal peribadi atau meminta pertolongan.
Ini bermakna lebih satu dalam 10 orang tidak mempunyai kawan rapat.
Lebih sembilan dalam 10 responden pula berkata mereka kali pertama bertemu semua kawan rapat mereka secara bersemuka, dengan sekolah dan tempat kerja menjadi antara tempat utama persahabatan itu bermula.
Dapatan itu masuk akal bagi saya.
Ketika muda, kita tidak perlu mencari masa untuk berkawan kerana masa bersama sudah tersedia.
Malah, satu lagi kajian IPS menunjukkan purata bilangan kawan rapat yang dilaporkan penduduk Singapura merosot daripada 10.67 pada 2018 kepada 6.49 pada 2024.
Dahulu, saya juga tidak pernah memikirkan bahawa persahabatan perlu ‘dijaga’.
Namun, semakin meningkat usia, saya mula sedar bahawa persahabatan juga memerlukan usaha, bukan kerana kami semakin kurang rapat, tetapi kerana masa kehidupan masing-masing semakin penuh.
Sebab itu, saya dan kawan-kawan cuba meluangkan masa sebulan sekali untuk berkumpul di rumah salah seorang daripada kami untuk bermain permainan papan.
Kadangkala, mencari tarikh itu sendiri terasa seperti satu permainan.
Seorang tidak boleh pada minggu pertama, seorang lagi tidak sihat pada minggu kedua, lalu kami mencuba pula minggu berikutnya.
Namun, apabila akhirnya dapat berkumpul, suasananya tidak banyak berubah daripada zaman kami lebih muda.
Kami makan, bermain, bergurau, dan berbual tentang apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan masing-masing.
Setiap Isnin malam pula sudah menjadi janji tetap kami untuk ‘berjumpa’ dalam talian dan bermain permainan video bola sepak, EA Sports FC 26.
Seorang demi seorang akan masuk ke dalam permainan selepas selesai dengan urusan masing-masing, sebelum kami mula bermain sambil berbual menerusi fon kepala.
Kadangkala, lebih banyak masa dihabiskan bercakap, bergurau, dan ketawa daripada bermain permainan video itu sendiri.
Bagi saya, permainan itu sebenarnya bukan lagi perkara utama.
Ia sekadar alasan untuk kami terus berkumpul, walaupun secara maya.
Saya juga semakin sedar bahawa mengekalkan persahabatan tidak semestinya memerlukan percutian bersama atau makan malam yang mahal.
Kadangkala, satu malam bermain permainan papan atau beberapa jam bermain permainan video bersama sudah memadai.
Ketika di sekolah dahulu, saya tidak pernah terfikir bahawa meluangkan masa bersama kawan memerlukan usaha kerana saya tahu kami akan bertemu lagi keesokan harinya.
Hari ini, tiada lagi kantin atau bilik darjah yang memastikan kami berada di tempat sama setiap hari.
Sebaliknya, kami kini perlu berbincang dalam kumpulan WhatsApp untuk menetapkan tarikh apabila semua orang lapang.
Caranya sudah berubah, tetapi tujuannya masih sama, iaitu mencari masa untuk bersama.
Mungkin itulah perbezaan terbesar yang saya rasakan antara persahabatan ketika muda dengan persahabatan apabila dewasa.
Dahulu, masa menemukan kami.
Sekarang, kami yang perlu mencari masa.
“
“Caranya sudah berubah, tetapi tujuannya masih sama, iaitu mencari masa untuk bersama. Mungkin itulah perbezaan terbesar yang saya rasakan antara persahabatan ketika muda dengan persahabatan apabila dewasa. Dahulu, masa menemukan kami. Sekarang, kami yang perlu mencari masa.”