Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Artik mencair, buka laluan lebih cepat antara Asia dan Eropah

Laluan Laut Utara berpotensi jadi laluan perkapalan alternatif, pintas Terusan Suez, S'pura
Feb 04, 2019 | 05:30 AM



Apa sahaja berlaku di Artik - baik pencairan ais mahupun kemungkinan wujud laluan perdagangan baru - akan mempunyai kesan besar ke atas Singapura walaupun negara ini terletak 7,000 kilometer jauh dari rantau itu, kata Menteri Negara (Ehwal Luar) Sam Tan, dalam satu interviu bersama akhbar The Straits Times menjelang satu persidangan mengenai Artik di Norway bulan lalu. Apa sedang berlaku di Artik? Apa laluan perkapalan baru itu? Mengapa Singapura prihatin, dan apa persediaan Singapura bagi menghadapi semua kemungkinan itu?



PADA Julai 2017, sebuah kapal tangki Russia, Christophe de Margerie, menamatkan pelayaran dari Eropah ke Asia melalui Laluan Laut Utara, atau Artik, (NSR) dalam masa paling pantas dan - buat kali pertamanya - tanpa dibantu kapal pemecah ais.



Ia membawa kargo gas asli cecair (LNG) dari Hammerfest di Norway dan tiba di Boryeong, Korea Selatan, 19 hari kemudian pada Ogos - kira- kira 30 peratus, atau dua minggu, lebih cepat daripada laluan perkapalan selatan biasa yang melalui Terusan Suez.



Di bahagian Artik Russia laluan tersebut dalam pelayaran sulung arah ke barat itu, Christophe de Margerie mengggunakan pemecah aisnya sendiri untuk merentasi padang ais setebal 1.2 meter dalam masa rekod enam setengah hari.



Pada Julai lalu, kapal itu mencipta satu lagi rekod - merentasi NSR arah ke timur dari pelabuhan Sabetta di Semenanjung Yamal, di Siberia, Russia, ke Tanjung Dezhnev, di Semenanjung Chukchi, Russia, di Selat Bering, dalam masa hanya tujuh hari dan 17 jam.



Ia membawa LNG dari Sabetta ke pelabuhan Tangshan di China bagi pelayaran itu. juga tanpa diiringi kapal pemecah ais.



Pelayaran itu mengambil masa 18 setengah hari kesemuanya. Ini berbanding 35 hari bagi perjalanan biasa melalui Terusan Suez dan Selat Melaka.



NSR boleh menjimatkan puluhan juta dolar kos perkapalan bagi pengeksport LNG itu, syarikat Russia Yamal LNG, dan jumlah tersebut boleh berganda menjelang 2023, menurut firma penganalisis tenaga Bloomberg NEF.



Sebulan kemudian pula, pada Ogos, Venta Maersk mencipta sejarah menjadi kapal kontena perdagangan pertama memasuki kawasan Artik Russia, merentasi NSR dalam pelayaran dari pelabuhan Vladivostok di Timur Jauh Russia melalui Selat Bering dan tiba di St Petersburg, di barat laut jauh Russia, pada 27 September.



Pada sebahagian pelayaran tersebut, kapal kontena milik Maersk Line, kumpulan perkapalan kontena terbesar di dunia, itu dibantu kapal pemecah ais.



Ia hanya pelayaran percubaan bagi mengumpul data dan menentukan apakah pelayaran melalui NSR boleh dilakukan, dan bukan untuk mencari laluan komersial alternatif bagi Maersk.



NSR ialah laluan perkapalan sepanjang kira-kira 4,828 kilometer antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik di sepanjang pantai Siberia dan Timur Jauh Russia. Keseluruhan laluan itu berada di perairan Artik, iaitu menyeberangi lima Laut Artik: Laut Barents, Laut Kara, Laut Laptev, Laut Siberia Timur dan Laut Chukchi.



Ia ditadbir dan diurus oleh Russia.



Kejayaan tiga pelayaran itu menonjolkan betapa perubahan iklim telah membuat padang ais semakin mencair sekali gus membuka kawasan Artik tinggi, yang sebelum ini tidak boleh dilalui sepanjang tahun.



Secara sejarah, ais tebal membuat pelayaran merentasi Artik mustahil dilakukan. Bagaimanapun sejak abad lalu, dengan dibantu kapal pemecah ais, kapal tertentu boleh merentasi rantau tersebut tetapi pada kos sangat tinggi, dan itu pun hanya semasa musim panas selama tiga hingga empat bulan dalam setahun apabila padang ais berada pada paras paling tipis. Di luar musim panas, rantau itu tidak boleh direntasi langsung tanpa kapal pemecah ais.



Sepanjang 10 tahun lalu pula, perubahan iklim membuat padang ais Artik mencair dengan banyak. Pada Januari tahun lalu, misalnya, ais air laut Artik mencatat rekod paling rendah bagi bulan itu, dan pada Mac, ais di Laut Bering mencapai tahap paling rendah dalam sejarah apabila suhu meningkat kepada 30 darjah Celsius di atas paras purata.



Kesannya, NSR kini boleh direntasi sepanjang tahun oleh kapal tertentu dan tanpa dibantu kapal pemecah ais, walaupun kapal biasa masih tidak boleh.



Pembukaan Artik tinggi itu menjimatkan masa pelayaran antara Asia dan Eropah sebanyak 30 peratus, atau hingga dua minggu, berbanding perjalanan biasa melalui Terusan Suez-Selat Melaka. Sebagai contoh, kapal yang berlayar dari Korea Selatan ke Jerman mengambil masa kira- kira 34 hari melalui Terusan Suez dan 23 melalui NSR.



Pengurangan masa pelayaran bermakna kurang bahan bakar digunakan, pelepasan gas rumah hijau berkurangan, dan risiko diserang lanun berkurangan. Ini semua bermakna penjimatan kos, yang bertambah dengan kargo yang dijana bagi pelayaran pulang.



Ia membuat NSR disebut-sebut berpotensi menyaingi Terusan Suez, sekali gus mempunyai implikasi ke atas perkapalan global.



Prospek NSR menjadi laluan alternatif bertambah jika dunia menjadi kurang stabil - lebih banyak pelanunan di sekitar Tanduk Afrika, kesesakan meningkat di Selat Melaka, dan lebih banyak serangan pengganasan di Terusan Suez:



Buat masa ini NSR belum boleh menjadi laluan alternatif disebabkan faktor utama seperti musim pelayaran terhad kepada tiga hingga empat bulan dalam setahun, keadaan ais tidak menentu, bayaran insurans tinggi, kos tinggi membina kapal khusus yang boleh merentasinya, dan kekurangan pasukan mencari dan menyelamat serta prasarana sokongan.



"Pada masa ini, kami tidak melihat Laluan Laut Utara sebagai alternatif kepada laluan biasa kami," kata jurucakap Maersk. "Hari ini, laluan itu hanya boleh direntasi selama tiga bulan setahun, tetapi ini mungkin berubah kelak."



Pakar maritim global Koji Sekimizu, yang mengakui NSR "laluan lebih pendek menakjubkan", berkata: "Kita belum tahu apakah Artik akan menjadi sebuah laluan perkapalan utama tetapi (sekali pun ia jadi) saya tidak menjangkakan ia berlaku dalam tempoh masa depan dekat, tidak dalam tempoh 10-15 tahun akan datang sekurang-kurangnya."



Bagaimanapun, satu kajian oleh Sekolah Perniagaan Copenhagen pada 2016 meramalkan pelayaran rentas NSR boleh berdaya maju dari segi ekonomi menjelang 2040, jika padang ais Artik terus mencair pada kadar sekarang.



Oleh itu, usaha gergasi perkapalan Maersk menghantar kapalnya merentas NSR mengundang komen seorang zamil kanan di Institut Artik, yang berpusat di Amerika Syarikat, Malte Humpert: "Sebuah syarikat yang dihormati seperti Maersk menghantar sebuah kapal kontena melalui Artik, sudah tentu memberi isyarat ada sesuatu di sana."



Pesaing Maersk, COSCO, syarikat perkapalan milik negara China, antara pemain paling aktif di laluan tersebut. Sejak 2013, ia telah melakukan lebih 30 pelayaran melalui rantau itu. China juga telah melaburkan wang untuk membina prasarana di sepanjang pantai Arktik Russia dan telaga minyak dan gas negara itu di sana.



Malah pada Januari tahun lalu, China mendedahkan cita-citanya hendak mewujudkan 'Laluan Sutera Kutub' dengan membangunkan laluan perkapalan yang dibuka oleh pemanasan global dan menggalak syarikat membina prasarana di Artik.



Pembukaan lebih meluas NSR kepada perkapalan dijangka berterusan kerana pencairan padang ais Artik terus berlaku.



Ketua Pusat Data Salji dan Ais Nasional Amerika (NSIDC), Mark Serreze, berkata beliau lebih bimbang sekarang kerana pencairan ais telah mula berlaku sepanjang tahun - baik pada musim sejuk mahupun September, bulan paling panas.



Ingrid Onarheim, daripada Universit Bergen dan Pusat Penyelidikan Iklim Bjerknes di Norway, berkata: "Kami kehilangan ais laut pada semua musim sekarang."



Saintis iklim Zack Labe daripada Universiti Cornell di Amerika berkata data tahun lalu membayangkan pencairan itu selaras dengan trend jangka panjang.



Penilaian pada 2017 oleh Program Pemantauan dan Penilaian Artik mendapati unjuran pencairan Laut Artik "rendah daripada seharusnya", sambil menambah bahawa rantau itu sebenarnya memanas dua kali ganda lebih cepat daripada semua tempat lain di dunia sejak 50 tahun lalu.



Seramai 90 saintis yang terlibat dalam penilaian itu memberi amaran bahawa ais di Lautan Artik mungkin lenyap hampir keseluruhannya menjelang 2040. - Agensi.



Infografik: GRAFIK BERITA HARIAN




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >