Perang Israel-Palestin, khususnya keganasan dan penderitaan di Gaza yang sedang berlaku sekarang, berisiko melahirkan satu generasi pengganas yang baru, bukan hanya di Palestin dan rantau Timur Tengah, malah di banyak negara-negara lain.
Ini kerana, konflik tersebut dan bagaimana dunia Barat menanganinya telah menyemarakkan kemarahan bukan hanya dalam kalangan orang-orang Islam, bahkan golongan muda di seluruh dunia.
Kenyataan tersebut dibuat Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, di Forum Keselamatan Aspen di Colorado, Amerika Syarikat pada 17 Julai.
Keadaan tersebut sudah pun berlaku di Singapura - sebuah negara yang terletak kira-kira 8,000 kilometer daripada gelora dan korban jiwa yang sedang berlaku di Gaza.
Pada 15 Julai, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan berkata seorang pelajar Menengah 3 berusia 14 tahun menjadi individu termuda dikenakan Arahan Sekatan (RO) – yang membataskan pergerakan seseorang dan akses kepada Internet – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA).
Menurut ISD, antara sebab RO dikeluarkan ialah setelah pelajar itu menanam hasrat bertempur di bawah Tentera Bendera Hitam – seperti yang diguna pakai oleh kumpulan pengganasan ISIS – dan melakukan serangan di Singapura.
Pelajar itu, yang namanya tidak disiarkan, adalah salah seorang daripada dua individu yang dikenakan tindakan tersebut setelah mereka didapati terpengaruh oleh fahaman radikal, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).
Seorang lagi adalah, An’nadya An’nahari, seorang wanita berusia 33 tahun.
Mengenai An’nadya, ISD mengatakan dia penyokong tegar Axis of Resistance (AOR), iaitu rangkaian ekstremis dan pengganas, yang termasuk kumpulan politik dan separa tentera Hizbollah di Lebanon dan Briged Al-Qassam (AQB), iaitu sayap tentera kumpulan Hamas di Jaluran Gaza.
Bekas pengurus di sebuah lembaga berkanun itu turut menyokong penggunaan kekerasan terhadap warga Israel dan bangsa Yahudi.
Kededua individu itu telah menjadi radikal secara berasingan setelah terdedah kepada bahan-bahan dalam talian berhubung konflik Israel-Hamas yang sedang berlarutan.
Justeru, meskipun perang Israel-Palestin berlaku beribu kilometer dari negara ini, korban jiwa dan kemusnahan menjadi nyata dan ‘dekat’ dek kemajuan teknologi dan media sosial.
Jiwa mana yang tidak meruntun melihat imej dan video penderitaan yang dilalui penduduk Gaza. Generasi muda - yang tidak dapat memproses dan memahami keadaan yang berlaku - adalah yang paling terkesan
Emosi itu berkocak dek ketidakadilan yang berlaku serta bagaimana kuasa-kuasa besar dunia khususnya, Amerika Syarikat, yang sekian lama memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ dalam proses pendamaian Timur Tengah, kelihatan berat sebelah dan gagal mengambil tindakan bermakna dalam menangani konflik ini.
Apakah peranan kita dalam keadaan ini? Haruskah kita melayan gelora emosi dan mengabaikan pemikiran rasional?
Pilihan kedua itu berupaya mencetuskan sesuatu yang tidak kita ingini.
Jika kita tidak berhati-hati, keadaan seperti Arahan Sekatan (RO) yang dikenakan ke atas remaja berusia 14 tahun itu, berpotensi berulang.
Justeru, ancaman radikal secara sendiri ini tidak boleh diambil ringan. Selain meningkatkan kesedaran mengenai ancaman keselamatan, pihak berkuasa perlu mendidik orang ramai mengenai cara-cara mengenalpasti tanda-tanda individu yang sedang dalam proses radikalisasi dan apakah langkah-langkah yang boleh diambil.
Stigma terhadap langkah melaporkan individu sedemikian juga perlu diatasi dengan memberi lebih banyak pendedahan menerusi saluran media yang boleh dipercayai mengenai proses pemulihan dan sokongan yang diberikan.
Natijahnya, perbincangan mengenai isu radikal secara sendiri ini perlu lebih dibawa ke aluran utama supaya usaha pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg