Ia merupakan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) yang dinanti-nanti dengan ramai warga ingin mendapatkan gambaran mengenai corak kepimpinan dan hala tuju negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Encik Wong tidak menghampakan.
Dalam ucapannya, beliau dengan berterus-terang menggariskan cabaran hebat yang dihadapi negara dalam dunia yang tidak menentu.
Pada masa yang sama, Encik Wong menyerlahkan semangat positif, menyemarakkan semangat watan dengan mengingatkan bahawa warga Singapura adalah golongan yang tidak mudah menyerah kalah.
“Apabila keadaan semakin mencabar, semangat kita tidak mudah lentur. Kita terus berusaha, kita gigih mahu memperbaiki keadaan. Kita kekal bersatu padu dan saling menyokong satu sama lain,” ujarnya.
Sebagai persiapan menghadapi cabaran mendatang itu, Encik Wong membentangkan laluan baru bagi Singapura untuk maju.
Dalam laluan tersebut, Singapura yang beliau gambarkan adalah sebuah negara yang memberi sokongan dan peluang kepada setiap warga mencapai impian berdasarkan takrifan kejayaan mereka sendiri, bukan kejayaan yang dituntut masyarakat.
Encik Wong menonjolkan bagaimana beliau memahami naluri rakyat, khususnya golongan muda.
Beliau tahu, sedang rakyat bersedia bekerja keras untuk mencapai kejayaan, namun ramai enggan terus menerus hidup berlumba-lumba dan dibelenggu perbandingan yang tidak putus-putus berdasarkan takrif kejayaan sempit.
Beliau menunjukkan bahawa beliau memahami kemahuan rakyat untuk sebuah masyarakat lebih inklusif, dengan ruang untuk meneroka dan mencuba serta peluang memburu laluan kejayaan sendiri meskipun ia tidak sealiran dengan takrif kejayaan konvensional.
“Saya percaya kita telah mencapai satu peringkat yang mana kita semua, yang muda dan tidak begitu muda, mahu menyuntik kesegaran dalam Impian Singapura (yang kita kenali).
“Sebuah Singapura yang penuh ihsan, dengan rakyat menyokong satu sama lain.
“Di mana kita semua berkembang maju mengikut laluan kita sendiri, bukan mengikut cara yang telah ditetapkan tapi cara yang didorong semangat mencuba dan lebih terbuka,” jelas beliau.
Sedang gambaran kepada pemikiran Encik Wong itu diperkukuh dalam NDR pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, namun ia telah pun beliau kongsi sebelum ini menerusi inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura atau Forward Singapore.
Inisiatif tersebut merintis jalan bagi pembentukan satu kompak sosial baru, yang memberi harapan kepada setiap warga, termasuk yang kurang bernasib baik, bahawa mereka mampu mencapai kemajuan sekiranya mereka sanggup berusaha dan bekerja keras.
Seperti yang dijelaskan Encik Wong semasa melancarkan Forward Singapore, pada Jun 2022, ia bertujuan memperkukuh masyarakat dan membangunkan semangat bersatu padu, dengan kemajuan dinikmati semua dan bukan hanya sebahagian rakyat.
“Forward Singapore ialah mengenai nilai yang kita kongsi bersama serta harapan dan impian kita untuk masa depan,” ujar Perdana Menteri dalam ucapannya.
Sejak pelancarannya, Forward Singapore ini sebahagian besarnya adalah sebuah konsep, namun dalam ucapannya, Encik Wong menekankan bagaimana matlamat inisiatif itu akan dapat tercapai.
Ia memerlukan dasar Singapura ditetapkan semula atau reset. Menetapkan semula dasar ini telah pun dilakukan, dan banyak lagi akan dilaksanakan, dalam bulan-bulan mendatang termasuk dasar ekonomi, keluarga, perumahan dan pendidikan.
Antara yang dibentangkan dalam NDR pada 18 Ogos termasuk Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture, yang memberi sokongan kewangan sementara bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.
Sedang perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi, namun secara umumnya skim itu menyediakan bantuan kewangan sejumlah $6,000 secara keseluruhan, bagi tempoh sehingga enam bulan.
Berlatarbelakangkan landskap ekonomi global yang tidak menentu, Encik Wong berkata akan ada pekerja yang kehilangan mata pencarian dek pekerjaan yang tidak lagi wujud.
Namun, pada masa sama, pekerjaan dan peluang baru akan tercipta.
Encik Wong menekankan, pemerintah komited untuk menyokong pekerja mengharungi tempoh mencabar setelah kehilangan pekerjaan, dengan sokongan itu bertujuan membantu pekerja tersebut bangkit lebih kuat.
Namun, ini memerlukan pekerja berkenaan turut memainkan peranan iaitu dengan menjalani latihan, bimbingan kerjaya dan mendapatkan khidmat pemadanan kerja – perkara yang disifatkan Encik Wong sebagai “pelaburan penting” yang harus dilakukan pekerja untuk mencari pekerjaan lebih baik.
Kerjasama pemerintah dan rakyat ini merupakan tema penting dalam ucapan NDR kali ini.
Sememangnya itulah kompak sosial baru yang mahu beliau terapkan sebagai mercu tanda kepimpinannya, dengan pemerintah menyokong dan membantu warga, sementara warga pula memainkan peranan dengan berusaha memperbaiki keadaan.
Dalam ketiga-tiga ucapannya – dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris – Encik Wong juga telah menggariskan beberapa komitmennya.
Ini termasuk azam pemerintah untuk terus memperjuangkan bahasa dan budaya masyarakat berbilang kaum di Singapura, antaranya dengan meluaskan peluang bagi pelajar mengambil bahasa ibunda lanjutan di sekolah menengah.
Bagi generasi perintis dan warga emas pula, beliau melahirkan janji pemerintah untuk sentiasa menjaga kebajikan mereka.
Encik Wong juga menggariskan tekadnya untuk memberi tumpuan dasar-dasar yang dapat memperkukuh sekitaran mesra keluarga – termasuk memastikan kos prasekolah kekal dimampui dan cuti ibu bapa lebih panjang – agar aspirasi rakyat untuk mendirikan rumah tangga dan berkeluarga dapat tercapai.
Namun, dalam hal ini juga, beliau menggesa warga khususnya golongan lelaki untuk memainkan peranan, dengan lebih terlibat dalam membesarkan anak dan tidak hanya melepaskan tanggungjawab itu kepada golongan wanita.
Sehubungan dengan aspirasi rakyat untuk berkeluarga, Encik Wong juga memberi jaminan bahawa perumahan awam bukan hanya kekal dimampui, bahkan akan lebih mudah diperolehi dengan waktu menunggu lebih singkat.
Natijahnya, warga telah bersuara, menerusi inisiatif Forward Singapore dan wadah lain, untuk melahirkan cita-cita baru bagi negara tercinta – sebuah Singapura dengan setiap rakyat dihormati, setiap suara didengar dan setiap impian dipupuk, sebuah Singapura yang mana setiap rakyat boleh berkembang maju, makmur dan memenuhi potensi masing-masing.
Perdana Menteri telah mendengar.
Apa yang dibentangkan beliau dalam NDR kali ini – daripada menetapkan semula dasar pemerintah, mengajak warga mengubah corak pemikiran konvensional sehinggalah komitmen dalam pelbagai bidang meliputi hampir setiap lapisan kehidupan – bertujuan memenuhi harapan, aspirasi dan impian itu.
Seperti kata Encik Wong sendiri dalam ucapannya; “...impian anda memberi inspirasi kepada tindakan saya”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg