Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berseni Dengan Berani: Khairul Anwar dalam dunia televisyen dan penerbitan global

Pencapaian dari dunia seni ke dunia korporat media massa boleh dibanggakan
Nov 21, 2024 | 5:30 AM
‘Keberanian’ Khairul Anwar Salleh dalam dunia seni, televisyen dan penerbitan bakal dicungkil dalam forum Cendekiawan Lestari Nusantara anjuran Yayasan Warisan Melayu dan Perpustakaan Negara, dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) pada 23 November.
‘Keberanian’ Khairul Anwar Salleh dalam dunia seni, televisyen dan penerbitan bakal dicungkil dalam forum Cendekiawan Lestari Nusantara anjuran Yayasan Warisan Melayu dan Perpustakaan Negara, dengan sokongan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) pada 23 November. - Foto fail

Singapura pernah menjadi pusat kebudayaan, kesusasteraan, percetakan dan perfileman Melayu.

Selepas Perang Dunia Kedua, Universiti Malaya di Singapura digerakkan kembali.

Jabatan Pengajian Melayu di kampus Bukit Timah dibuka dengan Pendeta Za’ba mengepalai jabatan tersebut.

Pada 1950, dalam kalangan para penulis, mereka bergabung dalam Asas ’50.

Ahli-ahlinya memperlihatkan minat besar dalam hal-hal kemasyarakatan, selain soal sastera dan bahasa.

Utusan Melayu, akhbar Melayu utama di pulau ini ketika itu, juga berperanan menyuntik kesedaran sosial, politik dan budaya.

Beberapa pertubuhan giat mendukung kegiatan seni dan budaya.

Contohnya, Perkumpulan Seni yang diasaskan pada 1956 dan Angkatan Pelukis Aneka Daya (Apad) tertubuh pada 1962.

Produksi perfileman Melayu di Jalan Ampas rancak malahan sehingga ke hujung 1960-an.

Kesemua ini membangun sebuah ekologi seni, budaya dan sastera, dan kesannya mendalam sehingga dapat kita kesani pada dekad-dekad terkemudian, khasnya di era perpisahan daripada Persekutuan Malaysia.

Yang dimaksudkan di sini ialah suasana seni budaya dan sastera yang dapat lahir apabila terwujud prasarana, suasana dan minat kepada sesuatu bidang seni dan budaya.

Makanya selepas Perpisahan, walaupun Utusan Melayu, Jabatan Pengajian Melayu dan industri perfileman Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, namun yang bergiat dalam seni, budaya dan sastera masih bertahan.

Sastera masih subur dan drama pentas membangun dengan baik.

Drama Melayu masuk ke era televisyen (TV), muzik dan persembahan Melayu lain seperti bangsawan masih bertahan sementara dikir barat semakin popular di kalangan remaja Melayu Singapura.

Dalam suasana sebegini di Singapura terlahir para penggiat seni dan budaya.

Ada yang meneroka ranah baru dan ada yang makin berkembang maju sehingga nanti berpindah ke Kuala Lumpur.

Salah seorang anak seni yang mempunyai kesempatan ini ialah Khairul Anwar Salleh, yang hari ini menjawat jawatan Pengasas dan Pengarah Eksekutif Tanahair Films dan Inkhouse Media. Sebelum ini, beliau pernah memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Media Prima dan Primeworks Studio, sebuah syarikat media terbesar di Malaysia.

Anak Negeri Dengan Bakat Seni

Khairul Anwar Salleh lahir dari keluarga yang sederhana status ekonominya dan mendapat didikan di Sekolah Menengah Teknikal Tanjong Katong.

Selepas Perkhidmatan Negara beliau menyambung pendidikan di Maktab Seni Lasalle.

Ayahnya, seorang peminat sastera, telah menamakan beliau Khairul Anwar, sempena nama penyair Indonesia di era Angkatan ’45 – Chairil Anwar.

Semenjak di bangku sekolah beliau minat dengan pementasan drama.

Beliau pernah bergiat dalam Teater Makmal Kemuning. Menariknya dengan bimbingan Lut Ali, Khairul dapat mengasah bakatnya.

Dek bertekad untuk menang dalam pertandingan drama, beliau rajin menyaksikan pementasan di Panggung Victoria.

Di kaca TV, lakonan beliau diminati ramai, selain lakonan dalam drama radio.

Di bawah bimbingan Lut Ali, Khairul banyak belajar segi-segi teater. Lut Ali baginya ialah “manusia seni yang disiplin dan dahagakan pembaharuan”.

Khairul berkesempatan memegang watak utama Uda, dalam teater muzika, Uda dan Dara, ilham pena Usman Awang, yang diarahkan oleh Lut sendiri.

Pegangan seni Khairul selari dengan Lut Ali.

Seniman itu harus mencari ranah baru untuk diterokai, juga mesti mengungkap yang baru – harus berani melanggar konvensi agar ada penciptaan baru.

Berseni mesti berani untuk mencipta, bukan sekadar meraih kemenangan dan kalungan.

Melanggar konvensi harus menjadi avant garde seni.

Khairul yang dilatih lukisan seni halus, juga pernah meraih kepuasan kerana karyanya terjual dalam beberapa pameran.

Dalam suatu pertandingan lukisan anjuran UOB, beliau pernah mendapat hadiah penghargaan.

Muzium Seni Singapura telah memperoleh beberapa karya beliau sebagai koleksinya.

Antara lukisan beliau yang terkenal ialah yang bertajuk A Study of 3 Thermos Flasks.

Inilah lukisan paling ikonik yang dihasilkan Khairul dengan mesej dan perlambangan bahawa karya seni harus jangan kaku, kejong dan terkongkong.

Seniman harus lebih bebas, santai, dan mampu mencuba yang lain daripada yang lain.

Itulah seni yang hidup. Itulah seni yang wajar dihirup.

Selain dunia lukisan, beliau juga berani menceburi lakonan TV dan radio.

Drama ‘Ombak Melanda Pantai’ arahan Jamal Ismail, adalah drama TV pertama Khairul.

Dari drama radio, beliau bekerja di bawah bimbingan Saemah Ali dan Asmah Laili.

Khairul dalam dunia pentas berani memainkan lakonan yang mengundang kontroversi dan baginya itu adalah tantangan yang harus dihadapi oleh seorang seniman.

Pendek kata, beliau bersua dan bekerja dengan Osman Zainuddin, S Sahlan, Zai Kuning, Rafaat Hamzah, Adi Yadoni, dan ramai lagi.

Pastinya beliau berkenalan dengan M. Nasir yang waktu itu namanya sudah naik daun.

Seni Bergensi Seni Sumber Ekonomi

Selain sumbangan kebudayaan yang besar, lapangan seni juga memiliki potensi ekonomi.

Ada yang sesetengah menjadi pelakon dan penyanyi sehingga menjadi seniman terkenal di seberang Tambak.

Pelakon dan seniman Singapura secara beransur mencari peluang di Kuala Lumpur.

Rata-rata mereka yang menempah nama di seberang ini berjaya.

Khairul antara yang berani meneroka peluang di sana.

Jelas Khairul, yang sekarang juga bergelar Datuk, ialah anak kelahiran Singapura yang bakat besarnya telah mengarah kepada kerjaya yang cemerlang.

Menjadi seniman secara profesional memanglah mencabar.

Awalnya mendapat pendidikan seni di Lasalle, beliau berkesempatan melanjutkan pelajaran ke Australia dalam program kampus berkembar.

Beliau juga berjinak dalam dunia pementasan, selain bergiat dalam lakonan radio dan televisyen.

Dari Pentas dan Kanvas Seni ke Pemasaran Global TV

Kejayaan Khairul ke peringkat tertinggi menjadi eksekutif korporat dalam bahagian produksi TV adalah pencapaian besar.

Dari riwayat kerjaya beliau, dapat kita tarik beberapa pengalaman penting.

Pertama, bahawa seni sebagai kerjaya bukanlah sesuatu yang hanya boleh dilakukan secara sambilan.

Malah fakta menunjukkan sebaliknya.

Mereka yang bergerak pada kerjaya sepenuh masa, ia boleh menjadi sara hidup utama sehingga menjamin keberlangsungan kehidupan mereka.

Kini, kerjaya cemerlang Khairul menjadi kebanggaan kepada anak negeri Singapura, yang telah menyaksikan bagaimana M. Nasir dan kemudian Aaron Aziz dan Adi Putra yang telah harum nama mereka setelah berhijrah ke Malaysia.

Kejayaan mereka menjadi teladan dan inspirasi kepada yang lain.

Malah ada yang pula berkesimpulan, bahawa kejayaan tersebut adalah hasil “kerja gigih dan disiplin” orang Melayu Singapura yang telah membudaya dalam diri mereka.

Dalam sebuah wawancara yang dibuat untuk projek Sejarah Lisan, Arkib Negara Singapura, Khairul menceritakan riwayat dan pengalaman beliau sewaktu mula berkecimpung dalam dunia seni lukisan dan pementasan teater.

Khairul pernah menulis dan mengarah sebuah persembahan berjudul On Your Mark Get Set Go (1989), yang dipentaskan tanpa skrip sehingga menggemparkan dunia pementasan setempat.

Pementasan teater tanpa dialog ini memberi nafas baru dan ilham karya cuba menerapkan pelbagai bentuk seni dalam satu penghasilan.

Tekad dan sikap untuk berani meneroka.

Malah pernah dinasihatkan oleh M. Nasir kepada beliau, bahwa sekiranya beliau mahu terus bangun dalam dunia seni atau pementasannya, beliau harus berani bertapak di Malaysia.

Merebut peluang, strategik dalam menempatkan diri dalam peluang tersebut, selain berani dan bekerja gigih dalam membangun kerjaya dalam industri media massa – inilah yang ditunjukkan oleh Khairul, yang seawalnya beliau bermula di Singapura sudah memperlihatkan kegigihan, bakat dan kerencaman seninya.

Berkesenian, Berkeberanian

Apa yang dapat kita tarik daripada riwayat seni para seniman dan budayawan seperti Khairul adalah ketekalan untuk mencapai kecemerlangan masing-masing.

Dengan ikhtiar mereka, ia dapat membuktikan bahawa dunia produksi seni budaya juga adalah kerjaya yang berpotensi besar, asalkan mereka yang menceburi dalam ranah ini terus berinovasi, terbuka dan berani dalam pengertian yang seluasnya.

Keberanian semacam itu merangkumi:

Berani dan tidak gentar masuk dalam dunia kerjaya yang lain, selain dari apa yang sering kita sudah terlalu selesa.

Berani mengambil risiko, kerana semua ikhtiar mencuba kerjaya baru dan perniagaan pastinya ada risiko, selain ada juga potensi besar yang menanti.

Berani meneroka pada ranah profesi yang tidak ramai mahu berkecimpung, sehingga dapat mencipta tukikan, yang mana hal langka atau belum terbangun lagi.

Berani untuk menimba kemahiran baru dan menggunakan kemampuan yang ada secara optimum.

Berani masuk dalam rangkaian kelompok kerjaya, berdepan dengan pemain industri dengan sikap terbuka untuk bersaing atau bekerjasama.

Berani mengekalkan prinsip kesenian, namun terbuka dengan perkembangan mutakhir sehingga dapat mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

Tidak keterlaluan untuk menyebut bahawa segi-segi keberanian ini dimiliki oleh Khairul Anwar, sebagaimana riwayat seni dan kerjayanya membuktikan.

Mungkin pendidikan dan latihan di sekolah seni boleh membantu dalam beberapa segi, namun punca terbesar ialah keberanian berkumpul dan merangkul dalam dunia seni, meneroka dan membaiki, menimba pengalaman baru serta menyanggupi memikul tugas dan amanah.

Walaupun hari ini, beliau sudah dalam barisan ‘media moghul’, Khairul masih mengulet dunia seni lukisannya.

Pada 7 Mac 2023, sebuah pameran lukisan beliau berjudul Gerak Intuisi telah diadakan di galeri seni Home of Superbroadcast, di Suite 88, Desker Road. Karyanya masih bertaring.

Pada Sabtu 23 November ini pula, Khairul, akan menyampaikan forum berjudul Secupak nan Segantang: Memberdaya dan Memasar Nusantra di Era Digital.

Forum Cendekiawan Lestari Nusantara, Secupak nan Segantang: Memberdaya dan Memasar Nusantra di Era Digital.
Forum Cendekiawan Lestari Nusantara, Secupak nan Segantang: Memberdaya dan Memasar Nusantra di Era Digital. - Foto Taman Warisan Melayu

Forum ini adalah sebahagian daripada siri Cendekiawan Lestari Nusantara.

Ia dianjurkan bersama oleh Yayasan Warisan Melayu dan Perpustakaan Negara, dengan sokongan MLLPC.

Dalam forum ini beliau akan berbagi pengalaman, pendirian dan penerokaan beliau dalam dunia seni ke dunia korporat media massa.

Moga Khairul Anwar Salleh terus berani mendepani dunia seni, dunia penyiaran dan menjadi ikon budaya yang disegani.

Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Penjajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain menyandang Timbalan Pengerusi untuk Yayasan Warisan Melayu.

Sila ke pautan https://peatix.com/event/4180747 untuk mendaftar bagi forum Cendekiawan Lestari Nusantara bersama Khairul Anwal Salleh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg