Bersikap realistik cari kerja dalam pasaran yang sukar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bersikap realistik cari kerja dalam pasaran yang sukar

Jul 30, 2023 | 5:30 AM

Bersikap realistik cari kerja dalam pasaran yang sukar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
KONGSI PENGALAMAN: Mentor kerjaya NTUC Muda, Cik Phyllis Hui (tengah), berkongsi pengalaman kerjayanya dengan dua peserta muda semasa satu sesi bimbingan. 
KONGSI PENGALAMAN: Mentor kerjaya NTUC Muda, Cik Phyllis Hui (tengah), berkongsi pengalaman kerjayanya dengan dua peserta muda semasa satu sesi bimbingan.  - Foto NTUC

Upacara tamat pengajian atau konvokesyen yang diadakan oleh universiti setempat sering menandakan berakhirnya tempoh pengajian dan bermulalah fasa baru untuk golongan siswazah ini melangkah memasuki pasaran pekerjaan secara rasmi.

Mencari pekerjaan idaman sering menjadi cita-cita yang diimpikan semua. Mendapat gaji, jawatan tinggi dan pekerjaan yang baik didambakan.

Ia merupakan sesuatu yang lumrah setelah sekian lama bertungkus lumus belajar siang malam, mendapat pekerjaan yang baik tentunya menjadi idaman di hati.

Tetapi, para siswazah ini juga harus menerima hakikat bahawa mereka akan memasuki pasaran pekerjaan yang agak sukar.

Jumlah pekerjaan tumbuh pada kadar lebih perlahan sebanyak 23,700 pada suku kedua 2023 berbanding 33,000 pada suku pertama, menurut perangkaan awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 27 Julai.

“Pertumbuhan jumlah pekerjaan yang semakin perlahan mencerminkan pertumbuhan ekonomi kita yang lebih sederhana dalam suku-suku sebelumnya, ekoran ketidaktentuan ekonomi global,” kata MOM.

Apa yang menjadi keprihatinan ialah firma juga didapati lebih berhati-hati terhadap pengambilan pekerja.

Peratusan firma yang berhasrat mengambil pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang turun kepada 58.2 peratus daripada 64.8 peratus.

Keprihatinan firma-firma ini juga berputik daripada kebimbangan mereka mengenai kelembapan ekonomi di dunia.

Pada suku kedua, ekonomi Singapura tumbuh 0.7 peratus berbanding setahun lalu, menurut perangkaan awal Kementerian Perdagangan dan Perusahaan. Ia nyaris-nyaris mengelak daripada menghadapi kemelesetan teknikal.

Risiko itu masih belum berakhir dan ia bergantung sejauh mana kelembapan sektor perkilangan menjejas ekonomi tempatan.

Apa yang nyata, pembuangan kerja dalam sektor teknologi dan kelemahan dalam sektor perkilangan juga telah menjejas prospek pekerjaan dalam bidang ini.

Tetapi, terdapat sektor yang masih menunjukkan prospek cerah termasuk perkhidmatan yang didorong oleh bilangan pelawat asing yang bertambah.

Sektor berkaitan pelancongan boleh terus bertambah baik, tetapi sektor berorientasikan ke luar seperti perdagangan borong serta maklumat dan komunikasi mungkin akan menjadi perlahan.

Dengan gambaran lebih jelas mengenai keadaan pasaran pekerja, apakah maknanya kepada siswazah yang sedang mencari pekerjaan?

Mereka harus bersikap realistik.

Dalam mencari pekerjaan idaman, ia mungkin mengambil masa. Pekerjaan yang jatuh ke riba mereka mungkin dirasakan tidak sesuai dengan cita rasa mereka atau gaji yang diberikan tidak setinggi yang diharapkan.

Tetapi, adakah mereka akan melepaskan pekerjaan itu demi menunggu pekerjaan idaman?

Sanggupkah mereka menunggu berbulan-bulan lamanya untuk mendapat pekerjaan lain?

Nasihat pakar-pakar Sumber Manusia (HR) ialah mereka tidak harus terlalu memilih dalam pencarian pekerjaan mereka.

Ambil dahulu pekerjaan yang diberikan demi menampung kehidupan. Dakap peluang yang diberikan untuk menimba pengalaman dan kemahiran baru.

Pekerjaan itu mungkin tidak dianggap sesuai bagi mereka kerana ia merupakan syarikat kecil yang tidak ternama.

Tetapi, biasanya syarikat yang kecillah yang banyak menawarkan banyak peluang pembelajaran yang luas bagi pekerja baru.

Dengan darah muda yang masih segar dan bertenaga, gunakan masa itu untuk menimba pengetahuan dan belajar dari mereka yang mahir.

Ia mengambil bertahun-tahun lamanya untuk menjadi mahir dalam sesuatu bidang.

Bagi yang masih mencari pekerjaan, gunakan masa yang ada untuk mengikuti kursus-kursus yang berguna yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan mereka seperti kursus analitik data dan komunikasi.

Justeru, para siswazah baru harus lebih terbuka dalam meneroka bidang pekerjaan yang mungkin tidak pernah mereka impikan sebelum ini.

Banyak sektor pertumbuhan baru yang boleh dipertimbangkan termasuk bidang kemampanan dan digitalisasi.

Apa yang dipelajari di institusi pengajian tinggi tidak semestinya menjadi bidang diceburi di tempat kerja.

Tanya empunya diri mengenai kekuatan diri mereka. Gunakan kekuatan itu dalam mencari pekerjaan yang dicari.

Jika komunikasi menjadi kekuatan, bidang pemasaran mungkin satu bidang yang dipertimbangkan meskipun seseorang itu mempunyai ijazah dalam bidang lain.

Mereka juga harus memanfaatkan kemudahan disediakan bagi membantu mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Misalnya, golongan lepasan sekolah bakal mempunyai akses lebih luas kepada bimbingan kerjaya dengan terbentuknya hab pementoran baru Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) yang diberi nama mentorSHIP.

NTUC juga akan menyediakan peluang percubaan kerja jangka pendek melalui projek perintis NTUC Career Starter Lab. Para belia yang berminat boleh memohon bagi jawatan kosong itu melalui portal Career Starter Lab mulai 1 September 2023.

Pekerjaan yang baik bukan hanya bergantung kepada gaji atau pangkat yang tinggi.

Tetapi, ia juga bergantung kepada faktor lain termasuk sekitaran pekerjaan yang baik yang membolehkan seorang pekerja itu dapat berkembang lebih luas sejajar dengan potensinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg