Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biografi rakam perjuangan, sumbangan Ustaz Ali

Buku setebal 184 muka surat antara lain singkap perjalanan hidup Allahyarham dari awal kehidupan sehingga jadi pemimpin dihormati
Jun 2, 2025 | 5:30 AM
‘a life well lived: My Father Ustaz Ali’ , biografi, ustaz ali
Buku biografi Ustaz Ali, ‘a life well lived: My Father Ustaz Ali’ ditulis oleh anak Allahyarham sendiri, Ustaz Dr Mohamed Ali. - Foto BH oleh KHALID BABA

Melihat kesibukan Allahyarham Ustaz Ali Mohamed semasa hayatnya dengan pelbagai tugas, meski pada usia senja dengan kesihatan tidak menyebelahinya, soalan yang kerap bermain dalam fikiran:

“Kenapa begitu bersungguh-sungguh?; tidak penat kah?; daripada mana datang tenaga?; bila nak rehat?”

Apabila timbul peluang pada satu malam, semasa beliau bersama anak buahnya sibuk menyiapkan nasi beriani amal di Masjid Khadijah di Geylang Road, saya menanyakan soalan-soalan yang telah lama tersimpan itu.

Beliau menjawab dengan mudah:

“Hidup bukan untuk rehat. Setelah meninggal nanti, kita rehatlah.”

Itulah yang mendorong Allahyarham Ustaz Ali menjalani hidup dengan penuh bermakna, memanfaatkan sepenuhnya masa, bekerja sekuat mungkin dalam rangka mengabdikan diri untuk meraih reda Allah swt.

Hidup di dunia hanya sekali, jelas beliau – serupa singkatan yang biasa digunakan golongan muda: YOLO (you only live once) – maka beliau mahu memanfaatkan setiap detik melakukan kebaikan sebanyak yang boleh, dengan ikhlas.

Allahyarham Ustaz Ali mengamalkan makna yang terkandung dalam surah Al-Asr: “Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Bagaimana beliau menjalani kehidupannya, kisah hidup perjuangan dan pegangannya, perjalanan dan pengalaman yang dilalui, penglibatan dalam pelbagai bidang dan kedudukan, iltizam yang mendorongnya, kesibukannya dan sumbangannya, dapat ditelusuri dalam buku biografi beliau yang ditulis anaknya, Ustaz Dr Mohamed Ali, bertajuk, a life well lived... My Father Ustaz Ali (Kehidupan yang Dijalani dengan Baik: Ayahku Ustaz Ali).

Buku biografi Allahyarham, yang juga pengerusi Masjid Khadijah dari 1993 hingga 2022 dan pengasas bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), telah dilancarkan pada 17 Mac oleh Encik Teo Chee Hean, yang merupakan Menteri Kanan ketika itu.

Pelancaran itu diadakan semasa majlis berbuka puasa tahunan bersama Masjid Khadijah dan RRG di Masjid Khadijah.

Buku setebal 184 muka surat itu antara lain membentangkan perjalanan hidup Allahyarham Ustaz Ali secara menyeluruh, dari awal kehidupannya yang sederhana hingga pelbagai peranan yang beliau lakukan dan menjadi pemimpin yang dihormati.

Buku itu turut memaparkan bagaimana Allahyarham memanfaatkan setiap peluang untuk membawa kebaikan, daya imaginasi dan matlamat jangka panjang serta keazaman untuk mencapai cita-citanya.

Ini termasuk peranannya dalam Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), sebagai pengerusi Masjid Khadijah, pemimpin Tariqat Qadiriyah Naqsyabandiyah (TQN), butir penubuhan dan perjalanan RRG dan badan-badan lain termasuk Persatuan Taman Pengajian Islam Singapura (Pertapis) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).

Sebagai pengerusi Masjid Khadijah misalnya, beliau mengembangkan masjid yang sekitar satu abad itu, menjadi masjid dengan pelbagai fungsi.

Ia termasuk mengembangkan dana daripada hanya $40,000 semasa beliau mengambil alih sebagai pengerusi pada 1993 kepada $9 juta dalam tempoh lima tahun, antara lain menerusi projek nasi beriani amal sempena sambutan maulidur rasul setiap tahun.

Allahyarham Ustaz Ali menjadi wakil talkin TQN pada usia 28 tahun, selain membantu mengasaskan Pertapis serta memainkan pelbagai peranan dalam Muis dan Pergas.

Pelbagai jawatan yang dipegangnya antara 1975 dengan 2023 tersenarai dalam muka surat 93 buku itu.

Pelbagai jawatan yang dipegangnya antara 1975 dengan 2023 tersenarai dalam muka surat 93 buku itu.
Pelbagai jawatan yang dipegangnya antara 1975 dengan 2023 tersenarai dalam muka surat 93 buku itu. - Foto BH oleh NURAISHAH ABDUL RAHMAN

Selain menulis berdasarkan pengalaman dan pengamatan Ustaz Dr Mohamed sebagai anak yang rapat dengan bapanya dan penggalian beliau mengenai perjalanan hidup Allahyarham Ustaz Ali, buku itu mengetengahkan wawancara eksklusif dengan individu terpilih yang dekat dengan Allahyarham termasuk sahabatnya, muridnya, pemimpin agama dan masyarakat serta Mufti Singapura.

Buku itu mengandungi kata-kata pendahuluan (atau sepatah dua kata) oleh beberapa pemimpin, seperti Encik Teo dan Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.

Dilengkapkan dengan ratusan gambar, kisah dan sumbangannya dibentangkan dalam lima seksyen (13 bab) merangkumi awal kehidupan Allahyarham Ustaz Ali (termasuk jalur keturunan, asas pendidikan, perkahwinan dan keluarga); jalan beliau menuju kerohanian (dari segi ilmu, khidmah (khidmat), dakwah dan jemaah); kepimpinan beliau di Masjid Khadijah; seruan untuk berkhidmat; dan riwayat hidup beliau yang dijalani dengan baik (merangkumi surat penghargaan dan penghormatan daripada beberapa pemimpin dan legasi yang ditinggalkan).

Biografi itu turut memaparkan ratusan gambar yang menyingkap riwayat dan sumbangan Allahyarham Ustaz Ali.
Biografi itu turut memaparkan ratusan gambar yang menyingkap riwayat dan sumbangan Allahyarham Ustaz Ali. - Foto BH oleh NURAISHAH ABDUL RAHMAN

Ia turut memuatkan perkongsian oleh beberapa rakan seperjuangannya, antaranya Ustaz Yusoff Ali, sahabat sejak di madrasah, dalam bab bertajuk persahabatan yang berkekalan.

Di samping itu, terdapat juga perkongsian oleh Encik Yusope Wanjor, sahabat yang menemani dan menaja Allahyarham Ustaz Ali dalam lawatan pertamanya ke ibu pejabat TQN di Pondok Pesantren Suryalaya pada 1974, dan terus aktif hingga kini.

Menulis dalam halaman bertajuk, ‘Ustaz Ali, Man of Purpose’ (Ustaz Ali, lelaki bermatlamat hidup), Mufti Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir, berkongsi bahawa Allahyarham amat prihatin dan sering mengajukan tentang arah tuju pelajar madrasah dan asatizah.

Beliau menyifatkan Allahyarham Ustaz Ali sebagai seorang yang sangat komited dalam apa jua tugas dan peranan yang dilakukan.

Anak saudaranya, Ustaz Dr Mohamed Feisal Mohd Hassan, pula berkongsi tentang Allahyarham sebagai ‘Family Man’ (lelaki yang mementingkan keluarga).

Antara lain, beliau berkata Allahyarham seorang yang dinamik.

“Pandangan hidupnya optimis. Beliau berpegang pada menjalani kehidupan sepenuhnya, tidak pernah mahu mensia-siakan walau satu saat pun,” ujarnya.

Buku itu diakhiri dengan sebilangan surat penghargaan dan penghormatan yang diterima bagi mengenang sumbangan dan peranan Allahyarham.

Antaranya ialah daripada mantan Perdana Menteri Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Lawrence Wong (Timbalan Perdana Menteri semasa pemergian Allahyarham pada 2023); Encik Teo; Encik Shanmugam; Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; serta pemimpin pertubuhan dan masyarakat seperti Muis, Pergas dan Mendaki.

Bab terakhir buku ini memaparkan sebilangan surat penghargaan dan penghormatan daripada pemimpin negara bagi mengenang sumbangan dan peranan Allahyarham Ustaz Ali.
Bab terakhir buku ini memaparkan sebilangan surat penghargaan dan penghormatan daripada pemimpin negara bagi mengenang sumbangan dan peranan Allahyarham Ustaz Ali. - Foto BH oleh NURAISHAH ABDUL RAHMAN

Beberapa pencapaiannya turut terkandung dalam buku itu, termasuk dua usaha anumerta sebagai menghormatinya; iaitu penubuhan Biasiswa Ali Hj Mohamed SUSS dalam Kepimpinan Masyarakat dan penamaan rasmi Auditorium Masjid Khadijah sebagai Auditorium Ustaz Ali Haji Mohamed oleh Encik Wong.

Buku itu wajar dibaca kerana mengandungi banyak pengajaran yang boleh dicedok tentang erti perjuangan seorang pemimpin masyarakat yang tidak kenal erti penat dan bersemangat meski menghadapi cabaran kesihatan di hujung hidupnya.

Ia dapat memberi inspirasi dan membimbing pemimpin dan generasi akan datang.

Jika harimau mati meninggal belang, gajah mati meninggalkan gading, sesungguhnya Allahyarham Ustaz Ali pergi meninggalkan nama yang disanjung tinggi.

Buku, ‘a life well lived... My Father Ustaz Ali’, dijual pada harga $60 dan boleh didapatkan dengan menghubungi Masjid Khadijah atau menghubungi penulisnya, Ustaz Dr Mohamed.

Ustaz Ali amat dirindui, tetapi legasi beliau akan terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang dalam usaha kolektif kita untuk menjadikan Singapura sebuah kediaman yang lebih bersatu, terangkum dan penuh kasih sayang bagi semua rakyat Singapura.
Mantan Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, dalam prakata buku.

Usaha gigih beliau telah memberi kesan yang berkekalan – di Singapura, dan juga di peringkat antarabangsa... Itulah sebabnya Singapura sangat berbeza, berbanding dengan banyak negara lain. Kita menikmati keharmonian kaum, agama kerana kepimpinan orang seperti Ustaz Ali... Sambil merenung kehidupan dan pencapaian beliau, kita diingatkan tentang kepentingan bermasyarakat, bertolak ansur, dan persefahaman – nilai-nilai yang dipegang oleh Allahyarham Ustaz Ali.
Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam prakata buku.

... kami juga amat merindui sifat kepimpinannya, keupayaannya untuk memberi inspirasi kepada kita semua nilai menuntut ilmu sepanjang hayat. Bagi saya, Abah jelma sebagai jiwa yang baik hati, seorang yang budiman yang memperkayakan kehidupan ramai untuk kebaikan semua.
 Ustaz Dr Mohamed Ali, Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) yang juga pengerusi Masjid Khadijah dan penulis buku mengenai Ustaz Ali.

Ustaz Ali menjalani hidup panjang dan memuaskan. Beliau adalah seorang pemimpin berwawasan yang mendedikasikan hidupnya untuk kebaikan masyarakat dan negara. Beliau merupakan tonggak utama masyarakat Melayu/Islam dan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat berbilang kaum dan agama yang bersatu padu di Singapura.
Mantan Perdana Menteri dan kini Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam surat mengenang Ustaz Ali semasa pemergiannya.  

Ustaz Ali menunjukkan keberanian dan komitmen – mengasaskan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), dan terus berkhidmat walaupun sudah bersara. Kami amat berterima kasih atas kerjasama teguh Ustaz dengan Pemerintah dalam pemulihan mereka yang radikal, sedang kita bersama-sama memerangi pengganasan dan memastikan Singapura selamat dan terjamin untuk semua.
Perdana Menteri (Timbalan Perdana Menteri semasa Ustaz Ali meninggal dunia), Encik Lawrence Wong, dalam surat mengenang pemergian Allahyarham. 

Sumbangannya memainkan peranan penting dalam menyemai semangat kewarganegaraan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam malah masyarakat Singapura secara am juga. Dalam memimpin Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan sebagai anggota mapan Jawatankuasa Fatwa pula, beliau memastikan agar kepimpinan dan panduan agama sentiasa sejajar dengan konteks Singapura yang berbilang agama dan kaum. Perjuangan Allahyarham dalam menggalak sikap bertolak ansur dan persefahaman antara agama dan masyarakat berbilang kaum jelas terserlah melalui kepimpinan beliau sebagai pengerusi Masjid Khadijah selama lebih 30 tahun...
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya April 2023.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg