Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa aktif, asas keluarga kukuh
MARI berusaha menjadi bapa aktif!
Kebapaan aktif adalah topik yang dekat dengan hati saya. Sebagai bapa kepada dua anak, saya cuba sebaik mungkin meluangkan masa dan berusaha berada di sisi mereka.
Awal tahun ini, saya berada di pejabat Pusat Kebapaan (CFF) untuk melancarkan Bulan Kebapaan Melayu/Islam buat julung-julung kalinya. Keluarga Melayu/Islam telah membuat kemajuan ketara dalam mengenal pasti bahawa bapa yang aktif boleh membina asas kukuh untuk keluarga.
LUANGKAN MASA BERSAMA ORANG TERSAYANG
Saya percaya, saya mesti menjadi suami yang baik dahulu sebelum saya boleh menjadi bapa yang baik. Ini penting kerana anak-anak saya belajar daripada saya bagaimana hendak menyayangi dan menghormati ibu mereka, dan juga bersama satu sama lain. Jadi, saya berusaha mengadakan 'couple time' iaitu masa berdua-duaan bersama isteri saya dengan kerap - tidak kira kami bersenam bersama atau saya berjalan dengan isteri saya di sekitar estet perumahan kami. Saya percaya rumah tangga yang gembira dan kukuh adalah hadiah terbaik yang kita boleh berikan kepada anak-anak kita, dan ini membentuk asas keluarga yang kuat.
Hubungan mengambil masa untuk dipupuk. Kita mesti berusaha dan sengaja mengetepikan masa supaya dapat bersama orang yang kita sayang tidak kira betapa sibuknya kita.
Pemerintah telah menambah peruntukan cuti paterniti buat golongan bapa daripada seminggu kepada dua minggu. Adik lelaki saya berkongsi tentang bagaimana cuti paterniti selama dua minggu itu sangat bermanfaat apabila anak perempuannya dilahirkan. Beliau mendapati cuti paterniti itu sangat berguna - isterinya boleh rehat dan mempunyai masa bersendirian, sementara bapa boleh meluangkan masa dan menjalin hubungan mesra dengan anak-anaknya.
Selain cuti paterniti yang dipertingkatkan, kaum bapa yang bekerja juga boleh berkongsi sebahagian daripada cuti bersalin isteri mereka, atas persetujuan isteri. Dengan adanya cuti yang disediakan untuk menyokong ibu bapa dan keluarga, kita mesti menggunakan cuti ini dengan baik.
SOKONGAN DAN SUMBER DISEDIAKAN - GUNAKANNYA!
Dengan pelbagai peranan yang dipikul kaum bapa hari ini, ia kadangkala amat sangat mengelirukan buat bapa-bapa baru dan yang sudah berpengalaman. Justeru, ia penting disediakan dengan pengetahuan dan peralatan yang betul.
Saya mendapat inspirasi daripada cerita-cerita dan pengalaman yang dikongsi peserta majlis pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/Islam (CFF). Salah seorang peserta, Asman, berkongsi tentang bagaimana beliau mendapat manfaat daripada menyertai program I-CAN CFF. Menerusi bengkel interaktif, Asman belajar agar lebih menghargai kepentingan menjadi bapa yang terlibat, dan menerokai pelbagai kemahiran penting demi membina hubungan berpanjangan bersama anak-anaknya.
Digelar anak yatim piatu sejak usia kecil, Asman membesar dalam keadaan sukar. Walaupun beliau tidak mempunyai bapa sebagai peranan model, saya sangat gembira mempelajari bahawa CFF telah memberi Asman sokongan dan peralatan supaya beliau boleh menjadi bapa yang baik kepada enam anaknya.
Kehadiran kami sebagai bapa lebih kritikal daripada kami sedari. Ia mempunyai kesan jangka panjang pada anak-anak kami, disusuli komuniti dan masyarakat kami. Penglibatan kami mencipta kesan positif dalam pembangunan dan kesejahteraan keseluruhan anak-anak kami.
Saya mengimbas satu lagi perkongsian pada majlis pelancaran itu, dengan sekumpulan lima beradik bercakap tentang bapa mereka, yang aktif menyertai kegiatan yang dianjurkan CFF.
Anak-anak itu berkongsi tentang kesan positif bapa mereka dengan sentiasa berada di sisi mereka. Mereka mempunyai zaman kanak-kanak yang gembira sambil mereka teringat kenangan paling indah yang diluangkan bersama bapa mereka, apabila bapa mereka mengajar mereka mengayuh basikal, bermain gitar atau sekadar meluangkan masa bermutu demi menjalin hubungan mesra.
Bapa mereka juga mempengaruhi mereka supaya membantu orang lain yang kurang bernasib baik, dengan membawa mereka bersama menyertai acara mengumpul dana. Cerita-cerita sebegini mendorong 'Dads for Life Movement' sambil kami meraikan bapa dan memberi mereka galakan.
Ada banyak sokongan dan peralatan yang disediakan buat kaum bapa dan ibu bapa. Banyak keluarga telah mendapat manfaat daripadanya.
Di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, saya selalu berasa terdorong apabila ibu bapa memberitahu saya bahawa mereka merupakan salah seorang bapa, atau ibu bapa yang mendapat manfaat daripada program-program kami, seperti program 'Triple P' yang diasaskan berdasarkan kajian bertahun-tahun.
Program ini menyediakan ibu bapa dengan peralatan praktikal dan mudah difahami bagi menggalak sikap positif anak-anak.
Anda boleh melihat kegembiraan dan keghairahan pada wajah mereka, apabila mereka berkongsi dengan saya bagaimana mereka lebih memahami kemajuan anak mereka, dan bagaimana mereka boleh berkomunikasi dengan lebih baik, lantaran menjalin hubungan lebih rapat dan kukuh dengan anak-anak mereka.
BERUSAHA MENJADI BAPA AKTIF!
Saya masih perlu pelajari banyak lagi. Walaupun anak-anak saya lebih berusia, saya masih seronok menghadiri acara-acara kebapaan kerana ada banyak lagi yang boleh dipelajari dan dikongsi dengan kaum bapa yang lain.
Pelancaran Bulan Kebapaan Melayu/Islam CFF menandakan bahawa sebagai masyarakat, kita bergerak menuju arah yang betul. Saya menggalak bapa-bapa Melayu supaya menyokong kegiatan-kegiatan yang disedikan CFF. Layari laman Facebooknya @bapasepanjanghayat bagi mendapatkan senarai acara akan datang.
Mari berusaha menjadi bapa aktif!