Apabila mantan pendidik, Cik Insyirah Abdullah, memilih meninggalkan sektor pendidikan untuk menjadi cef pastri, peralihan itu bukan sekadar untuk menceburi kerjaya baru.
Ia merupakan perjalanan yang mencerminkan keberanian, ketabahan dan penemuan semula impian untuk menjadi cef pastri.
Menurut Cik Insyirah, 35 tahun, yang sebelum ini pernah menjadi guru sambilan di sekolah rendah, minatnya menceburi bidang pastri tercetus apabila tunangnya ketika itu dan kini suaminya, Encik Mohamed Haikel Mohd Ruduwan, 36 tahun, disahkan menghidap leukemia pada 2017.
Selepas menjalani kemoterapi dan menerima pemindahan sumsum tulang daripada abangnya, suaminya yang bertugas sebagai eksekutif operasi kini berada dalam keadaan reda atau ‘remission’ selama lapan tahun.
Menurutnya, berita tersebut membuatnya berfikir betapa rapuhnya hidup dan mengapa ia penting baginya untuk mengorak langkah menjadi seorang cef pastri.
“Saya sebenarnya memang ada minat dalam bidang pastri sejak dulu lagi, tetapi ketika itu belum pernah berani melakukannya secara sepenuh masa.
“Tetapi apabila saya mengetahui tunang saya menghidap leukemia, ia menjadi dorongan untuk mencuba apa sahaja yang saya impikan sebelum terlambat,” jelasnya dalam episod podcast Berita Harian (BH), NoTapis.
Cik Insyirah, anak bongsu empat beradik juga pernah menggalas jawatan sebagai pendidik program pengayaan seperti pertuturan dan drama, gimnastik serta seni.
Dalam pada itu, beliau menyatakan minat terhadap makanan juga diwarisi daripada arwah bapanya, Allahyarham Abdullah Hassan, yang meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Arwah bapanya pernah berkhidmat sebagai pengurus jualan dan kemudian sebagai pegawai kebajikan, menyalurkan masanya untuk pembangunan perniagaan serta membantu masyarakat dengan cara yang termampu.
Menurutnya, setiap kali keluarganya berkumpul di rumah, arwah bapanya sentiasa menyediakan jamuan beraneka rasa untuk dinikmati semua.
“Saya sering mengikut ayah ke pasar awal pagi untuk mencari bahan yang paling segar.
“Beliau sering menyediakan hidangan terbaik dan sentiasa teliti dengan apa yang dihidangkan,” ujarnya.
Bagaimanapun, jika ditanya tentang kenangan manis bersama bapanya, kenangan mengadu kepada Allahyarham tentang makanan di satu perkhemahan sekolah yang tidak sedap tetap ‘melekat’ di ingatannya.
“Keesokan hari, ayah muncul di pagar sekolah membawa kotak besar sandwic telur bukan untuk saya sahaja, malah untuk kawan-kawan.
“Dari situ saya belajar, perkara kecil pun boleh membawa kebahagiaan,” katanya sambil tersenyum.
Dengan dorongan dan sokongan keluarga, beliau akhirnya meninggalkan dunia pendidikan dan mendaftarkan diri bagi kursus membuat kek dan pastri di institusi memasak, At-Sunrice GlobalChef Academy.
Sepanjang 18 bulan di sana, beliau meraih Diploma Pastri dan Membakar Kuih.
Pengalaman yang diperoleh di institusi itu membolehkan beliau bekerja di pelbagai tempat termasuk kedai roti, restoran dan hotel.
Ditanya jika ada yang mempersoalkan keputusannya meninggalkan kerjaya stabil demi memburu impian menjadi cef pastri, Cik Insyirah menjelaskan bahawa perkara itu tidak pernah menghalangnya untuk terus mengejar cita-citanya.
“Ada yang bertanya kenapa saya ingin kembali ke sekolah? Tidak cukup ke apa yang saya ada?
“Tetapi bagi saya, kata-kata itu terus memberi semangat untuk melakukan yang terbaik.
“Yang penting adalah sokongan keluarga sepanjang perjalanan ini,” tegasnya.
Kini, sebagai cef pastri di syarikat katering sejagat, Sodexo, Cik Insyirah menyalurkan kasih sayang dan nilai keluarganya ke dalam setiap resipi.
Menerokai cita rasa tempatan dan antarabangsa, baru-baru ini beliau mencipta resipi seperti ‘Teh Tarik Crème Brûlée’ dan ‘Putri Salat Cheesecake’, gabungan rasa tempatan dengan teknik Perancis dalam menghasilkan pastri.
Ditanya bagaimana beliau mengimbangi cita rasa tradisional dengan teknik moden, beliau menjelaskan terdapat banyak penyelidikan yang harus dilakukan.
“Apabila saya cuba menghasilkan sesuatu yang baru, saya harus berfikir bagaimana ia akan melengkapkan rasa sajian tersebut.
“Kalau saya nak gabungkan rasa itu, tidak boleh melakukannya mengikut hati,” katanya.
Menurutnya, proses mencipta menu baru ada kalanya mengambil masa seminggu sehingga beberapa bulan.
Setelah lebih enam tahun meniti perjalanan ini, Cik Insyirah berkata beliau tidak pernah menoleh ke belakang.
Kejayaan bukan soal glamor tetapi kepuasan yang diraih daripada pengalaman ini.
“Bagi saya, kejayaan adalah sekiranya saya gembira dengan kerjaya saya dan dapat berbakti melalui makanan.
“Mungkin perjalanan itu bukan mudah, tetapi saya rasa ia amat berbaloi.
“Jika kita lakukannya dengan semangat dan ikhlas, semuanya akan berjalan dengan lancar,” tambahnya.
“
Bagi saya, kejayaan adalah sekiranya saya gembira dengan kerjaya saya dan dapat berbakti melalui makanan. Mungkin perjalanan itu bukan mudah, tetapi saya rasa ia amat berbaloi. Jika kita lakukannya dengan semangat dan ikhlas, semuanya akan berjalan dengan lancar.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg