Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelas pendidikan seks sedarkan mangsa, diri didera bapa tiri

Karyawan keselamatan tulis buku ‘Even In Silence’ bagi galak masyarakat bela nasib golongan teraniaya, individu dengan pengalaman peribadi bersuara
Oct 13, 2025 | 5:30 AM
Cik Danyya Ateera (kanan) berkongsi kisah penderaannya ketika beliau kecil dan bagaimana beliau memperjuangkan usaha meningkatkan kesedaran tentang penderaan bersama Pegawai Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Amir Mirza Johari, serta hos dan penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa.
Cik Danyya Ateera (kanan) berkongsi kisah penderaannya ketika beliau kecil dan bagaimana beliau memperjuangkan usaha meningkatkan kesedaran tentang penderaan bersama Pegawai Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Amir Mirza Johari, serta hos dan penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa. - Foto STUDIO+65

Ketika mengikuti kelas pendidikan seks di sekolah, Cik Danyya Ateera, tidak pernah menyangka ia akan menjadi pelajaran terbesar yang mengubah seluruh hidupnya.

Pada usia 14 tahun, beliau menyedari sesuatu yang memusnahkan dunianya melalui kelas tersebut.

Perkara yang dialaminya sejak berumur sembilan tahun bukanlah “disiplin” atau “hukuman”, tetapi penderaan oleh bapa tirinya.

“Dalam kelas tersebut, guru itu menjelaskan tentang ruang kemaluan yang orang lain tak seharusnya sentuh dan apa yang tidak sepatutnya berlaku.

“Bila guru saya mengatakan demikian, saya tersentap kerana itu merupakan perkara yang terjadi kepada saya di rumah,” katanya dalam satu episod podcast terbitan Berita Harian, NoTapis.

Mengimbas kembali detik hitam dalam kehidupannya, Cik Danyya, kini 33 tahun, berkongsi menyusuli peristiwa itu, beliau kemudian diletakkan di bawah Perintah Penjagaan dan Perlindungan (CPO).

Ketika itu, Cik Danyya, rasa takut kehilangan insan tersayang, iaitu ibunya.

“Walaupun saya rasa lega penderitaan saya sudah berakhir, saya tetap rasa sedih kerana saya kehilangan hubungan bersama ibu saya.

“Kami mempunyai hubungan yang rapat.

“Tetapi saya rasa ini merupakan tindakan yang perlu dilakukan supaya saya tidak mengalami penderitaan seperti ini lagi,” tekannya.

Cik Danyya kemudian dijaga mak ciknya, yang menjaga segala keperluannya termasuk makan minum dan perbelanjaan sekolahnya.

Ketika diletakkan di bawah penjagaan keluarga angkatnya, barulah Cik Danyya tahu apakah maksud kasih sayang sebenar.

Ia menjadi langkah pertama dalam perjalanan Cik Danyya menuju keselamatan dan penyembuhan.

Melalui sesi terapi dan sokongan berterusan daripada pegawai perlindungan serta pakar psikologi selama empat tahun, Cik Danyya mula membina semula kepercayaan dan keyakinan diri.

“Saya melalui banyak trauma dan terasa seperti saya perlu belajar semula bagaimana untuk mencintai diri sendiri sebelum saya mencintai orang lain.

“Tetapi melalui proses pemulihan ini, saya akhirnya belajar untuk membina identiti dan keyakinan saya semula,” katanya, yang sebelum ini membahayakan diri sendiri dengan mengelar pergelangan tangannya.

Kini Cik Danyya bukan lagi remaja ketakutan seperti dulu dan merupakan seorang karyawan keselamatan dan ibu dua anak kecil.

Pada 2015, beliau telah menulis buku bertajuk, Even In Silence, tentang penderaan yang berlarutan selama kira-kira lima tahun, dan jalan yang diambilnya untuk pulih.

Diterbitkan 10 tahun lalu, buku tersebut kekal sebagai catatan yang menitikberatkan tentang ketabahan dan kekuatan serta menjadi suara buat mereka yang masih takut bersuara.

Sebagai aktivis yang memperjuangkan hak wanita yang tersepit dengan penderaan, Cik Danyya berkata dirinya telah menulis buku tersebut dengan harapan ia menjadi panduan bagi karyawan menangani kes penderaan dan juga untuk mangsa penderaan tahu mereka tidak keseorangan dalam perjalanan ini.

Ditanya sekiranya beliau merancang menulis buku lain pada masa akan datang, Cik Danyya berkata:

“Banyak yang sudah berubah dalam 10 tahun ini.

“Saya sudah bernikah dan memulakan keluarga, jadi tumpuan saya adalah kepada anak-anak saya.

“Jika masa mengizinkan, mungkin saya akan cuba lagi,” jelasnya.

Turut menyertai podcast tersebut adalah Pegawai Perlindungan di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Encik Amir Mirza Johari, yang menyifatkan kisah Cik Danyya sebagai peringatan setiap orang mempunyai peranan melindungi mereka yang terdedah kepada keganasan atau penderaan.

“Ramai kanak-kanak rasa bersalah untuk bersuara kerana mereka tidak ingin keluarga mereka berpecah dan keluarga mereka akan salahkan mereka,” jelasnya.

“Disebabkan itu, ia sangat penting untuk mangsa mempunyai sokongan atau ruang alternatif untuk meluahkan perasaan.

“Tidak kiralah rakan-rakan, guru, mak cik atau pak cik.

“Sesiapa sahaja yang peka terhadap tanda-tanda awal pun wajar memberi sokongan dan boleh bertindak dengan segera,” ujarnya.

Bagaimanapun, Encik Amir turut menjelaskan perkara ini hanya boleh dilakukan sekiranya mentaliti masyarakat yang masih melihat penderaan sebagai ‘urusan rumah tangga’ diubah.

“Bagi saya, menjadi agak ironi kerana ramai yang mungkin suka sibukkan hal orang.

“Tetapi bila mereka melihat penderaan, mereka berdiam saja,” kata Encik Amir.

“Sekiranya kita tidak bersuara, kitaran penderaan ini mungkin akan berterusan.

“Kita sebagai orang dewasa yang melihat perkara seperti ini, harus menjadi suara untuk mereka yang tidak bersuara dan mengakhirkan derita yang mereka sedang alami,” tambahnya.

Akur dengan pandangan tersebut, Cik Danyya berkata ini bukan masanya untuk ‘jaga tepi kain orang lain’.

“Apabila kita membesar, kita sering diajar supaya jangan jaga tepi kain orang.

“Tetapi kalau tindakan kepo anda itu boleh selamatkan nyawa, buatlah.

“Jangan tunggu sampai terlambat,” ujarnya.

Bagi melaporkan keganasan atau penganiayaan, orang ramai boleh menghubungi talian keganasan dan gangguan seksual (NAVH) di 1800-777-0000.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg