GE 2025: Serlahkan kesegaran, berikan harapan, semarak rasa bangga pertiwi
GE 2025: Serlahkan kesegaran, berikan harapan, semarak rasa bangga pertiwi
Isu yang dijangka dapat perhatian termasuk kos sara hidup, jaminan pekerjaan dibayangi ekonomi sejagat yang tidak menentu
Pengumuman pembentukan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 22 Januari merupakan petanda paling jelas bahawa Singapura kini di ambang pilihan raya.
Para pemerhati politik berpendapat Pilihan Raya 2025 (GE 2025) mungkin diadakan pada Mei, meskipun secara teknikal ia boleh diadakan selewat-lewatnya pada November tahun ini.
Dengan negara kini bersiap untuk pilihan raya, jangkaan dalam kalangan penduduk setempat dapat dirasakan.
Walaupun landskap politik sebahagian besarnya kekal stabil sekian lama, negara kita kini berada di persimpangan.
Keadaan ekonomi global yang tidak menentu, ketegangan geopolitik dan landskap domestik yang kian kompleks telah menghebatkan keperluan bagi perubahan.
Ini bermakna, pilihan raya akan datang bukan sekadar satu proses memilih pemimpin atau sebagai perayaan demokrasi; tetapi ia juga bak mercu tanda bagi negara menggariskan komitmen kepada kemajuan, semangat inklusif dan menegakkan nilai-nilai yang dikongsi bersama.
Justeru, dalam GE 2025 ini, pengundi mencari tiga perkara utama – iaitu kesegaran dari segi pendekatan kepada dasar dan politik; memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah dan menyemarakkan rasa bangga kepada negara.
Pendekatan Segar
Kos sara hidup adalah antara isu utama yang menjadi keprihatinan ramai rakyat Singapura.
Bagi menanganinya, pemerintah telah mengambil pelbagai langkah, termasuk memberi baucar CDC bernilai $800 pada 2024 dan tambahan $300 pada Januari 2025.
Antara lain-lain jenis bantuan termasuk baucar pengangkutan awam, baucar GST, rebat U-Save untuk membantu dengan kos utiliti dan wang tunai kepada yang memerlukan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah memberi gambaran bahawa lebih banyak bantuan akan dihulurkan pada 2025, dengan perinciannya dijangka diumumkan dalam Belanjawan Februari ini.
Sejajar dengan keprihatinan mengenai kos sara hidup, isu keselamatan pekerjaan juga menjadi kebimbangan sebahagian warga dek landskap ekonomi global yang tidak menentu.
Sememangnya cabaran-cabaran yang dihadapi negara boleh ditangani dengan penyesuaian kepada dasar-dasar domestik.
Namun, ini sahaja tidak berupaya mengatasi cabaran-cabaran itu sepenuhnya kerana sebagai sebuah negara dengan ekonomi yang terbuka, Singapura tidak dapat lari daripada kesan luaran yang sering kali di luar kawalan kita, yang diburukkan dengan tekanan geopolitik.
Cabaran baru ini tidak mampu ditangani dengan penyelesaian dan kaedah lama.
Sebaliknya, cabaran hari ini memerlukan penyelesaian inovatif dan usaha kreatif, yang hanya boleh dicapai menerusi pendekatan segar.
Rakyat mahu mendengar idea-idea baru yang dapat membantu mereka menangani cabaran-cabaran yang kesannya menjejas kehidupan mereka sehari-hari.
Justeru, calon yang diketengahkan parti politik harus membawa perspektif baru, memahami kerumitan yang dihadapi masyarakat, dan mempunyai keupayaan untuk berfikir secara kreatif untuk menangani isu-isu hari ini dan yang akan datang.
Moga pilihan raya ini menjadi medan persaingan idea-idea yang segar daripada calon-calon yang jujur berkhidmat untuk menyumbang kepada masa depan lebih baik bagi warga.
Pemimpin yang beri inspirasi, harapan
Di sebalik keinginan untuk pendekatan segar, pemimpin politik dan pemerintah yang berupaya memberi inspirasi dan harapan kepada rakyat juga adalah penting.
Sedang rakyat berdepan dengan tempoh yang mencabar yang dipenuhi ketidakpastian, ia juga menjanjikan pelbagai peluang dan kemungkinan.
Landskap ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang meningkat dan kesan jangka panjang gangguan global – sama ada akibat perubahan iklim atau ketegangan geopolitik – semuanya menyumbang kepada ketidakpastian yang meruncing.
Dalam masa yang tidak menentu ini, apa yang diperlukan ialah bukan sahaja pemerintah yang bijak mentadbir dasar, malah boleh menyampaikan visi dengan jelas, memberi keyakinan mengatasi cabaran hari ini dan harapan bagi masa depan yang lebih cerah.
Dalam dunia di mana kepercayaan terhadap institusi kian rapuh, pemerintah perlu terus membuktikan bahawa ia mengutamakan kepentingan terbaik rakyat. Bagi parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), ini bukan satu tugas yang mudah.
Namun, ia dapat dicapai dengan nada dan sikap kepimpinan yang berteraskan empati dan bersifat inklusif.
Rakyat inginkan jaminan bahawa pemimpin politik memahami cabaran yang mereka hadapi dan mempunyai keupayaan untuk membantu mereka mengharungi masa-masa sukar.
Pemimpin politik yang dapat memberi meyakinkan dengan membentangkan pelan hala tuju yang jelas, bukan sahaja akan mengurangkan kegelisahan rakat, malah akan dapat menyemarakkan harapan dalam potensi kolektif kita sebagai sebuah negara.
Sememangnya mudah untuk membakar semangat rakyat yang sedang dalam ketidakpastian dengan menggariskan masalah demi masalah yang dihadapi. Lagipun, ia adalah lumrah proses berkempen semasa pilihan raya, sebahagian daripada percaturan dunia politik.
Moga dalam pilihan raya kali ini, para pemimpin politik akan lebih memberi tumpuan kepada memberi inspirasi dan harapan, daripada menyuntik kegelisahan sesetengah rakyat.
Pupuk rasa bangga pada pertiwi
Dengan Singapura hampir menyambut ulang tahun yang ke-60 (SG60) Ogos ini, GE 2025 ini menjadi detik sesuai bagi renungan dan juga memikirkan soal masa depan.
Sejajar dengan sambutan SG60, penting bagi calon dan parti politik cuba memupuk rasa bangga kepada negara.
Pada detik bersejarah ini, mereka mesti menyatakan visi dan dasar yang menjadi pendirian mereka dengan jelas, supaya ia dapat dinilai oleh rakyat sebagai sehaluan dengan visi dan nilai-nilai mereka.
Bagaimanapun, melebihi visi dan dasar, para pemimpin politik mesti berusaha memperkukuh rasa bangga warga kepada negara – lebih-lebih lagi di tengah-tengah ketidaktentuan dan cabaran global – sambil menyatukan rakyat berdasarkan nilai-nilai yang dikongsi bersama.
Konsep menyatu padukan rakyat dalam suasana pilihan raya mungkin sesuatu yang ganjil kerana lumrahnya proses GE itu memerlukan rakyat memilih. Namun, Singapura perlu mengelakkan diri daripada politik yang memecah belah kerana pada dasarnya, di mana jua terletaknya pilihan politik kita, kita mempunyai matlamat, keperluan dan aspirasi yang sama.
Moga GE 2025 di tengah-tengah sambutan SG60 ini menjadi peluang kita menilai pemimpin politik yang mampu mendekati rakyat Singapura pada tahap yang lebih mendalam, menyemarakkan rasa bangga kita terhadap apa yang telah dicapai selama ini, dan potensi kita untuk terus maju sebagai sebuah negara yang bersatu padu bersama.

