Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Hayati jasa pegawai Chinook buat NDP

Aug 10, 2019 | 05:30 AM



TIDAK pernah saya bayangkan bahawa saya akan berada di udara, malah dalam perut helikopter Chinook.



Apatah lagi, helikopter itu membawa bendera negara bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).



Apabila mendapat tahu Berita Harian perlu menghantar wartawan ke Pangkalan Udara Sembawang untuk mengalami sendiri acara Terbang Lalu Bendera Negara dan menaiki helikopter Chinook, saya terus menawarkan diri.



Dengan rela hati, saya menjadi wakil BH walaupun terpaksa bertugas pada Sabtu.



Justeru, pada 6 Julai lalu, saya pergi ke Pangkalan Udara Sembawang, Sembawang Road, untuk membuat liputan.



GHAIRAH DI JIWA



Setibanya di tempat berhimpun, saya dan rakan media lain menaiki van hijau kecil yang boleh menampung lapan orang. Perjalanan makan masa 10 minit.



Walaupun van sempit dan bahang, saya hanya fikirkan pemandangan indah yang menanti.



Selepas mendengar taklimat keselamatan, kumpulan wartawan mewawancara beberapa pegawai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).



Masa sesi bergambar terpaksa dipendekkan kerana terdapat amaran petir. Ini menentukan sama ada kami akan menaiki helikopter atau tidak.



Agar tidak 'bertembung' dengan cuaca tidak diingini, pihak RSAF membawa kami menaiki helikopter Chinook lebih awal daripada jadual ditetapkan.



Semasa memakai rompi keselamatan, wajah rakan media seperti tidak menunjukkan sebarang perasaan.



Riak wajah mereka seperti apa yang sering dikatakan anak muda sekarang 'step cool'.



Namun, saya pasti mereka juga sebenarnya ghairah mahu menaiki Chinook. Mereka harus tampil profesional kerana sedang bertugas.



Alahai, sama seperti saya yang 'step cool' walhal teruja sekali!



Kami juga menerima penyumbat telinga untuk melindungi deria pendengaran kerana bunyi Chinook kuat.



Berdesing sekali Chinook hingga pegawai RSAF menggunakan isyarat tangan untuk berkomunikasi walaupun terdapat alat interkom.



Dalam helikopter, mereka sangat mengutamakan keselamatan sampaikan jurugambar ditegur kerana cuba berdiri mahu memetik gambar!



Dari Pangkalan Udara Sembawang, Chinook membawa kami ke Pulau Sudong di mana bendera akan dipasang.



Berbaloi rasanya penat lelah pegawai RSAF yang bertugas tatkala melihat helikopter Chinook tambahan mengibarkan bendera dengan megahnya.



Pegawai yang menguruskan bendera di Pulau Sudong dan memasangkan pada Chinook boleh berehat seketika. Lewat petang, mereka akan menyambut kedatangan Chinook setelah NDP tamat.



Setelah melihat proses memasang bendera ke Chinook, kami pun menaiki Chinook utama yang akan terbang atas Padang. Dari atas, saya mampu melihat pencakar langit Singapura.



RENUNG JASA PEGAWAI



Namun, pandangan saya terarah semula kepada pegawai RSAF.



Mereka giat berkomunikasi supaya Chinook tiba di Padang tepat pada waktunya dan bendera mampu berkibar megah.



Saya kini lebih menghargai kerja keras mereka.



Setiap Sabtu, pegawai yang terlibat dalam acara Terbang Lalu Bendera Negara mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan kejayaannya.



Walaupun penonton di Padang dan seluruh Singapura melihat bendera selama beberapa saat saja, proses menjayakan bahagian itu sebenarnya memakan banyak masa dan tenaga.



Pegawai RSAF bekerja keras pada setiap latihan untuk memastikan persembahan lancar. Selain itu, mereka tetap menjalankan tugas harian melindungi negara.



Walaupun pengalaman dalam Chinook menyeronokkan buat saya, ia tanggungjawab besar bagi pegawai RSAF.



Saya terharu melihat pegawai melambai ke arah orang ramai apabila terbang atas Bendungan Marina.



Mungkin itulah kepuasan yang mereka rasai - tatkala menyaksikan orang ramai tersenyum melihat bendera Singapura terkibar megah di langit.



Pada 7 malam, Chinook pulang ke Pulau Sudong untuk melepaskan bendera.



Wajah rakan media lain tampak keletihan. Ada juga terlelap dalam perjalanan.



Saya tidak mampu membayangkan betapa penatnya pegawai RSAF yang harus sambung melipat bendera untuk disimpan dan digulung semula buat latihan seterusnya.



Begitulah rutin mereka setiap minggu sebelum 9 Ogos, tidak kira hujan atau panas - bak pepatah Inggeris 'the show must go on (persembahan mesti diteruskan)'.



Setiap titik peluh tidak sia-sia.



Malah, setiap individu yang terlibat dalam NDP, tidak kira penglibatan kecil atau besar, berhak rasa bangga.



Mereka sudah memberi sepenuh jiwa dan raga dalam menjayakan NDP ke-54 ini semalam.



Saya berharap orang ramai akan lebih sedar tentang pengorbanan peserta NDP setiap tahun sekali gus lebih menghargai jasa mereka demi negara.



  • Muhammad Edrie Rizwan mantan wartawan pelatih akhbar Berita Harian/Berita Minggu dan siswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >