Meskipun kaum Muslimin dihalang memasuki kota Makkah pada ketika itu, terserlah beberapa pengajaran yang bukan sahaja menenangkan jiwa para sahabat, malah menjadi panduan paling bernilai buat umat Islam hari ini dalam menongkah zaman yang semakin mencabar.

Berlapang dada, kekal optimis

Rentetan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang mencetuskan perasaan negatif seperti rasa kecewa, sugul dan marah – termasuk terhalangnya ibadah umrah serta perjanjian yang dilihat berat sebelah – dapat menjelaskan reaksi para sahabat yang begitu kecewa dengan natijahnya.

Namun, Rasulullah saw mendidik umatnya supaya tidak terus dibuai oleh rasa ‘paling berhak’ kerana ia merupakan sesuatu yang bukan sahaja negatif, malah tidak membawa pada daya penghasilan tinggi.

Seluruh tenaga yang sepatutnya digembleng untuk bangkit dan menghadapi cabaran secara lebih positif berisiko tersalur kepada keluhan dan kekecewaan berpanjangan.

Rasulullah saw sebaliknya memilih untuk berfikiran jauh dan mengambil pendekatan membina.

Ini terbukti dengan pengiriman perutusan kepada para pemimpin dunia pada waktu itu untuk mengenalkan dan mengajak mereka kepada keindahan Islam tidak lama sesudah Perjanjian Hudaibiyah.

Cari kekuatan dengan Al-Quran

Sifat optimis Baginda saw tentu sekali bertunjangkan keyakinan yang teguh kepada janji Allah swt untuk tidak mensia-siakan hamba-Nya yang sentiasa berada dalam kebaikan.

Ini jelas kelihatan kepada kata-kata Sayidina Abu Bakar ra apabila menyifatkan keyakinan Rasulullah saw kepada Sayidina Umar ra yang masih dikuasai kekecewaan dengan hasil daripada Perjanjian Hudaibiyah:

“Wahai Ibnu Khattab (Umar), sesungguhnya Baginda adalah Rasulullah. Baginda tidak akan menyalahi perintah Tuhan-Nya dan Allah pun tidak akan mensia-siakannya.”

Keyakinan Sayidina Umar mekar kembali setelah Baginda saw membacakan surah Al-Fath kepadanya, yang mengandungi jaminan bahawa umat Islam akan tetap mendapat kejayaan.

Sering kali kita berasa lawan kepada kerisauan adalah keyakinan kepada diri sendiri.

Walaupun seseorang yang meyakini kemampuan dirinya sendiri jauh lebih baik keadaannya daripada seseorang yang sentiasa diburu kerisauan berpanjangan, kita perlu menyedari kemampuan seorang insan itu sentiasa terbatas dan ada masanya kita akan berhadapan dengan masalah kerisauan walaupun sekuat mana keyakinan kita.

Oleh itu, keyakinan kita kepada diri sendiri perlu bersandarkan kepada kekuasaan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana iaitu Allah azzawajalla.

Di situlah datang ketenangan yang sebenar apabila kita meyakini bahawa Allah swt tidak akan pernah mensia-siakan hamba-Nya.

Banyak buat daripada berkata

Kita hidup dalam zaman media sosial yang memberikan wadah lebih luas untuk manusia meluahkan segala yang terbuku di dada.

Maka, tidak hairanlah jika pertembungan idea, pendapat mahupun perasaan menyebabkan pertikaman kata menjadi semakin lumrah.

Yang semakin berkurang adalah pelaksanaan inisiatif dan usaha bernas.

Masyarakat yang meluangkan masa untuk melayan emosi akan terus ketinggalan ketimbang masyarakat yang menumpukan segala daya pemikiran dan usaha ke arah peningkatan dan pembaikan diri.

Ketika para sahabat berasa keberatan menuruti perintah Rasulullah saw yang memerintahkan mereka supaya menyembelih ternakan korban dan mencukur rambut mereka, isteri Baginda saw, iaitu Sayidatina Ummu Salamah, memberikan saranan agar Baginda sendiri memulakan perbuatan itu sendiri.

Tanpa berkata sepatah pun, Baginda melaksanakan saranan tersebut dan mendapati para sahabat bersegera menuruti Baginda.

Benarlah kata para ilmuwan bahawa perbuatan kita lebih ‘fasih’ daripada perkataan.

Rai pendapat orang lain

Kita maklum setiap tingkah laku dan perkataan Rasulullah saw dipandu oleh wahyu daripada Allah swt.

Namun, kita juga sering mendapati Rasulullah saw sentiasa meminta pendapat anggota keluarga dan sahabat Baginda sebelum memutuskan sesuatu.

Ini jelas kelihatan pada peristiwa peperangan Badar apabila Baginda meminta para sahabat menyuarakan pendapat mereka untuk keluar menentang tentera musuh walaupun bilangan mereka jauh lebih sedikit.

Begitu juga dalam peristiwa peperangan Uhud, Baginda akur dengan kehendak para sahabat yang lebih cenderung menghadapi musuh di luar Kota Madinah, sedangkan Baginda berpendapat bertahan di dalam Kota Madinah merupakan langkah yang lebih sesuai.

Ketika tentera Islam berdepan kebuntuan dalam menghadapi kemaraan tentera bersekutu yang diketuai Quraisy Makkah dalam perang Ahzab, Baginda saw, dengan terbuka, menerima cadangan Salman Al-Farisi, meskipun beliau bukan berbangsa Arab dan masih baru memeluk Islam.

Dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah itu sendiri, Baginda saw tidak berasa ragu mahupun malu untuk meminta pendapat isterinya, Sayidatina Ummu Salamah, apabila para sahabat pada awalnya enggan menuruti perintah Baginda sedangkan Baginda hidup di dalam realiti masyarakat yang secara purata lebih terbiasa meminta pendapat kaum lelaki berbanding wanita.

Hikmah daripada kebiasaan Rasulullah saw yang sering meraikan pendapat orang lain amatlah luas dan mendalam kesannya bagi perkembangan peribadi kita dan kemaslahatan masyarakat.

Kita hidup dalam zaman yang sering membuatkan kita berasa kelebihan hanya milik pendapat sendiri, sehingga kurang memberi ruang untuk mempertimbangkan pandangan orang lain.

Akibatnya, kita lebih meraikan kemenangan pandangan sendiri berbanding manfaat yang lebih besar untuk masyarakat jika pelbagai pendapat diambil kira.

Malah, keghairahan menolak pandangan orang lain kadangkala menutup peluang masyarakat meraih manfaat yang lebih luas daripada sekadar mempertahankan pendapat sendiri.

Hargai kedamaian

Sebahagian ulama berpendapat antara sebab Rasulullah saw bersetuju memeterai perjanjian dengan Quraisy Makkah sekalipun ia kelihatan seperti merugikan Baginda dan umat Islam ketika itu adalah disebabkan manfaat yang dapat diraih dengan kedamaian yang tercapai.

Dengan tercapainya perdamaian, akan lebih cerah peluang untuk nilai Islam diserlahkan kepada masyarakat pada waktu itu, yang masih tidak mengenali Islam lebih daripada sentimen dan paparan negatif yang disebarkan oleh pihak musuh.

Hari ini, meskipun Islam diterima hampir semua lapisan masyarakat dunia, sentimen anti-Islam masih semakin ketara.

Hal ini dipengaruhi arus penyejagatan yang pantas, sehingga sebahagian masyarakat berasa identiti mereka terancam oleh kehadiran kelompok berbeza dari segi etnik dan agama.

Di sesetengah negara, ketegangan semakin memburuk di dalam bentuk serangan berbaur perkauman sehingga kesejahteraan negara tersebut sendiri terjejas.

Kita yang berada di Singapura sepatutnya menghargai kedamaian sedia ada untuk terus menghidupkan nilai mulia yang diajarkan oleh agama kita agar ruang perbincangan dan kerjasama bermakna bersama penganut kepercayaan lain dapat terus menjadi dasar bagi pelestarian kedamaian sedia ada.

Begitulah Perjanjian Hudaibiyah hadir untuk mengingatkan kita tentang besarnya erti kedamaian setelah rentetan peperangan yang mendahuluinya seperti peperangan Badar, Uhud dan Ahzab, mendidik kita tentang nilai persediaan di dalam menghadapi ancaman kedamaian itu sendiri.