Misi kerasulan Nabi Muhammad saw bukan sekadar menyampaikan risalah, namun membentuk dan memperindah akhlak manusia.

Keperibadian Baginda saw yang penuh kelembutan, kejujuran, kasih sayang serta kesabaran menjadi teladan sepanjang zaman.

Setiap tindakan Baginda saw mencerminkan kasih terhadap manusia, sama ada terhadap sahabat, anak kecil mahupun orang bukan Islam.

Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak.” (HR Ahmad).

Hadis ini menegaskan akhlak bukan sekadar pelengkap, namun inti kepada ajaran Islam itu sendiri.

Kita sebagai umat Nabi Muhammad saw bukan sahaja dituntut agar mempelajari kisah dan sifat Baginda dalam majlis ilmu, malah menjadikannya amalan harian yang hidup dalam diri.

Ilmu tanpa amal tidak akan memberi kesan.

Justeru, apabila kita berhadapan dengan manusia – sama ada yang berbuat baik atau bersikap buruk terhadap kita – cara kita membalasnya mestilah berlandaskan akhlak Nabi saw.

Demikian tanda kita benar-benar meneladani Baginda saw.

Terap nilai Nabi dalam kehidupan harian

Selain mencontohi akhlak Rasulullah saw, kita juga memikul amanah besar sebagai penyambung dakwah Baginda.

Tanggungjawab itu bukan terbatas kepada para ulama atau pendakwah semata-mata, bahkan mencakupi seluruh umat Islam, menurut kemampuan dan keadaan masing-masing.

Menyambung dakwah bererti meneruskan usaha Rasulullah saw dalam mengajak manusia kepada kebaikan, memperkukuh keimanan, serta menebarkan nilai kasih sayang dan keadilan sebagaimana yang diajar Islam.

1. Tegak tauhid, iman yang benar

Asas kepada setiap dakwah para nabi adalah tauhid, iaitu menyeru manusia agar menyembah Allah swt semata-mata serta menjauhi segala bentuk kesyirikan.

Allah swt berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 125: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik…”

Tauhid merupakan akar kepada segala kebaikan.

Tanpanya, sebanyak mana amal yang dilakukan tidak akan bernilai di sisi Allah swt.

Justeru, umat Islam perlu sentiasa memelihara kemurnian akidah, di samping mengajak manusia kepada keesaan Allah swt dengan penuh hikmah.

Hikmah dalam berdakwah bererti menyampaikan kebenaran berlandaskan ilmu, disertai kelembutan serta kepekaan terhadap keadaan individu yang menerima dakwah tersebut.

Dakwah yang kasar kerap menimbulkan penolakan, sedangkan pendekatan yang lembut lebih mudah menyentuh hati dan membuka ruang kepada perubahan yang ikhlas.

2. Teladani akhlak Rasulullah

Dakwah bukan sekadar melalui kata-kata, malah terpancar melalui akhlak dan perbuatan.

Rasulullah saw digelar Al-Amin (yang dipercayai) kerana kejujuran dan amanah Baginda dalam setiap urusan.

Bahkan, mereka yang memusuhi Baginda saw turut mengakui kejujuran tersebut.

Sebagai umat Baginda saw, kita seharusnya menjadikan akhlak Rasulullah sebagai panduan hidup – jujur dalam perniagaan, adil dalam membuat keputusan serta sabar menghadapi ujian.

Dengan berakhlak mulia, kita bukan sahaja meneladani Nabi saw, malah menjadi cerminan Islam kepada orang lain.

Mungkin seseorang belum mengenal agama melalui Al-Quran, tetapi mereka boleh mengenal Islam melalui akhlak baik yang terpancar daripada diri seorang Muslim.

3. Sebar kebaikan, cegah kemungkaran

Umat Islam digelar umat terbaik kerana memikul tanggungjawab besar, sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Ali Imran, ayat 110:

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar…”

Amar makruf nahi mungkar (perintah supaya mengerjakan perbuatan yang baik dan menjauhi perbuatan atau amalan yang jahat) bukanlah tugas para ustaz atau tokoh agama sahaja. Ia tanggungjawab setiap Muslim.

Antara contoh amalan amar makruf termasuk:

– Menolong orang lain ketika mereka dalam kesusahan.

– Memberi sedekah dan membantu golongan fakir miskin.

– Mengajak rakan menunaikan solat berjemaah.

– Berkongsi kandungan positif dan bermanfaat di media sosial.

Manakala contoh nahi mungkar termasuk:

– Menegur dengan cara yang baik apabila melihat kemungkaran.

– Melaporkan perbuatan salah seperti buli, rasuah atau penindasan.

– Mengelakkan serta menegur penyebaran berita palsu atau kandungan lucah di media sosial.

Amar makruf nahi mungkar bukan bertujuan mencari kesalahan orang lain, namun untuk menegakkan kebenaran dan menjaga kemaslahatan masyarakat.

4. Dakwah dengan hikmah, kasih sayang

Dakwah yang benar tidak boleh dipaksa, namun, perlu disampaikan dengan kasih sayang, kesabaran dan kelembutan.

Rasulullah saw merupakan contoh terbaik dalam hal ini.

Baginda saw tidak pernah memarahi orang awam kerana kejahilan mereka, sebaliknya membimbing mereka dengan penuh hikmah.

Begitulah pendekatan dakwah yang berkesan, bukan menghukum, tetapi menyentuh hati.

Kesimpulan

Tanggungjawab menyambung dakwah Nabi saw merupakan amanah yang perlu dipikul bersama.

Setiap daripada kita, walaupun dengan cara yang kecil sekalipun – melalui senyuman, perkataan yang baik, atau membantu sesama manusia – sebenarnya sedang menyambung risalah Baginda saw.

Semoga dengan usaha yang ikhlas, kita tergolong dalam kalangan yang dicintai Allah swt dan Rasul-Nya, serta diberi kekuatan untuk terus menegakkan kebenaran dan menyebarkan akhlak mulia di muka bumi ini.

Penulis ialah lulusan Mahaad Qiraat Mansoura, Mesir, dan guru di Madrasah Tahfiz Sekolah Ugama Radin Mas.