Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajal sudah ditentukan

Aug 22, 2025 | 5:30 AM
Ambillah langkah keselamatan yang wajar, berdoalah kepada Allah swt agar anda dilindungi, dan lawan rasa takut dengan memperkukuh kepercayaan anda kepada takdir.
Ambillah langkah keselamatan yang wajar, berdoalah kepada Allah swt agar anda dilindungi, dan lawan rasa takut dengan memperkukuh kepercayaan anda kepada takdir. - Foto ISTOCKPHOTO

Surah Ali ‘Imran ayat 154 hingga 155 merakamkan peristiwa selepas kekalahan umat Islam dalam Perang Uhud.

Allah swt telah menetapkan rasa dukacita dalam menghadapi musibah susulan kekalahan, agar hati mereka menjadi lebih tabah dalam menghadapi ujian dan supaya mereka menjadi lebih kuat menempuh kesulitan.

Namun, golongan munafik tidak dikurniakan ketenangan itu.

Sebaliknya, mereka hanya memikirkan keselamatan diri sendiri dan bersangka buruk terhadap Allah swt, sambil meyakini bahawa Islam akan tewas.

Sangkaan tersebut lahir daripada keraguan mereka bahawa Islam tidak akan menang dan umat Islam pasti kecundang.

Kemuncak perasaan mereka itu terserlah dalam ucapan mereka:

“Kalau kami ada kuasa, kami tidak akan kalah dan terbunuh.”

Maka Allah swt menjelaskan bahawa ajal seseorang tetap akan sampai kepadanya, walaupun dia tidak keluar berperang, kerana setiap jiwa telah ditetapkan ajalnya.

Ini menunjukkan bahawa ujian dan kegagalan dalam peperangan adalah sebahagian daripada takdir Allah swt.

Ia berfungsi sebagai saringan untuk membersihkan hati serta membezakan antara mereka yang benar-benar beriman dengan mereka yang memiliki penyakit hati dan ciri-ciri kemunafikan.

Antara pengajaran besar daripada ayat ini ialah keyakinan terhadap takdir dan ajal, bahawa sesiapa yang telah ditentukan ajalnya di sesuatu tempat, dia tetap akan meninggal dunia di situ, walau bagaimana sekalipun dia cuba menghindarinya.

Kita membaca laporan berita tentang banyak kemalangan dan bencana alam yang berlaku.

Ada yang menjadi terlalu paranoia kerana takut mati, sampai membatalkan rancangan untuk ke luar negara, atau bersikap keterlaluan dalam menjaga keselamatan.

Perlu kita fahami, terdapat perbezaan antara sikap berwaspada dengan perasaan paranoia.

Apabila seseorang berazam untuk melakukan sesuatu, adalah lumrah untuk mengambil kira aspek keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga.

Namun, ini tidak bermakna seorang Muslim menjadi terlalu takut atau bergantung sepenuhnya kepada usaha zahir, kerana kematian adalah pasti.

Kita seharusnya menepis ketakutan tersebut dengan memperbaharui keyakinan kepada takdir Ilahi.

Langkah berjaga-jaga tidak mampu menghalang takdir, dan sekuat mana pun perancangan manusia, ia tidak akan dapat menandingi ketentuan Allah swt.

Tidak kira berapa usia kita, atau di mana kita berada, jika ajal tiba, kita pasti akan kembali kepada-Nya.

Oleh itu, ambillah langkah keselamatan yang wajar, berdoalah kepada Allah swt agar dilindungi, dan lawan rasa takut dengan memperkukuh kepercayaan kepada takdir.

Itulah kunci ketenangan seorang mukmin.

Laporan berkaitan
Timba pengajaran Perang UhudAug 4, 2025 | 8:06 PM
Istighfar ringankan musibahJul 28, 2025 | 6:54 PM
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg