TAFSIR SURAH ALI IMRAN
Ayat 141 hingga 148 Surah Ali Imran menerangkan bahawa Allah swt menimpakan ujian dan kesusahan ke atas orang-orang beriman sebagai satu proses penyucian jiwa dan penghapusan dosa.
Ujian juga berperanan membezakan antara mereka yang benar-benar beriman dengan yang munafik.
Allah swt turut menjelaskan punca kekalahan mereka dalam Perang Uhud walhal mereka berada di pihak yang benar.
Lalu Allah swt menjelaskan bahawa kekalahan itu berlaku dengan izin-Nya, dan bertujuan untuk mendidik serta membersihkan umat Islam daripada kelemahan dalaman.
Allah swt mengingatkan agar orang beriman agar tidak menjadi lemah semangat atau bersedih hati kerana jika mereka benar-benar beriman, maka merekalah sebenarnya golongan yang lebih tinggi di sisi Allah swt walaupun di mata manusia mereka dianggap rendah.
Dalam ayat seterusnya, dijelaskan bahawa kekalahan dan kemenangan itu adalah silih berganti sebagai satu sunnatullah (ketetapan Allah) yang mengajar manusia supaya tidak bergantung pada kekuatan duniawi semata-mata.
Di antara pengajaran yang boleh diambil daripada senarai ayat itu, adalah dua yang dipanjatkan oleh orang-orang yang berjuang di jalan Allah swt, firman-Nya:
“Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata:
“Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan)”.
Para pejuang Muslim menyedari bahawa dosa dan sikap melampaui batas merupakan antara punca utama kegagalan.
Justeru, mereka memohon keampunan Allah swt terlebih dahulu agar layak menerima pertolongan dan kemenangan.
Ini mengajar kita bahawa kebanyakan musibah yang menimpa adalah akibat perbuatan buruk kita sendiri.
Salah satu cara untuk memudahkan urusan hidup ialah dengan memohon keampunan melalui taubat dan memperbanyakkan istighfar, sebagaimana yang difahami daripada ayat ini.
Ulama menyatakan bahawa dalam menghadapi musibah, seorang mukmin diperintah supaya bersabar dan beristighfar.
Kedua-duanya perlu digabungkan kerana ujian sering kali datang sebagai akibat dosa, dan jalan keluar daripadanya ialah dengan kembali kepada Allah swt melalui kesabaran dan taubat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg