Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ajar anak jaga privasi, adab minta izin, hormat pada yang lain

Adab bukan sekadar tanda sopan, bertujuan jaga maruah anggota keluarga
May 23, 2025 | 5:30 AM
Islam menekankan kepentingan menjaga privasi dalam rumah. Didikan mengenai privasi boleh dimulakan apabila anak masih kecil dan bertujuan menyemai perasaan malu dan hormat dalam diri si cilik.
Islam menekankan kepentingan menjaga privasi dalam rumah. Didikan mengenai privasi boleh dimulakan apabila anak masih kecil dan bertujuan menyemai perasaan malu dan hormat dalam diri si cilik. - Foto ISTOCKPHOTO

Islam ialah agama yang amat menekankan tentang adab dan etika.

Ini kerana akhlak merupakan salah satu ajaran teras yang ditunjukkan secara sempurna oleh Rasulullah saw – insan yang menjadi contoh akhlak terunggul.

Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Ahmad).

Antara adab penting yang disebut dalam Al-Quran ialah adab meminta izin ketika berada dalam rumah.

Ramai yang menyangka adab meminta izin hanya perlu diamalkan ketika mengunjungi rumah orang lain.

Namun, hakikatnya, Islam turut mengajar kita tentang adab khusus yang perlu diamalkan dalam rumah sendiri.

Adab itu bukan sekadar tanda kesopanan, malah bertujuan menjaga maruah dan privasi anggota keluarga.

Dalam kehidupan harian, kita sering leka bahawa rumah juga mempunyai batas dan sempadan yang perlu dihormati, agar hubungan kekeluargaan sentiasa harmoni dan dengan sikap saling hormat-menghormati.

Ajar anak kecil minta izin

Allah swt memberikan panduan yang sangat jelas berkaitan adab dalam rumah melalui surah An-Nur ayat 58.

Firman-Nya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba-hamba yang kamu miliki dan kanak-kanak yang belum baligh di antara kamu meminta izin kepada kamu pada tiga waktu: sebelum solat subuh; ketika kamu menanggalkan pakaianmu pada tengah hari; dan selepas solat isyak. Itulah tiga ‘waktu aurat’ bagi kamu. Selain daripada waktu-waktu itu, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi kamu dan mereka, untuk saling keluar masuk antara kamu. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Ayat ini secara khusus memerintahkan orang-orang yang beriman supaya mereka mendidik anak kecil yang belum baligh dan pembantu rumah supaya meminta izin sebelum memasuki ruang peribadi anggota keluarga dan bilik ibu bapa dalam tiga waktu tertentu.

Para ulama menyatakan kanak-kanak kecil disunatkan meminta izin jika ingin masuk ke bilik ibu bapanya atau ruang peribadi anggota keluarga pada tiga waktu tertentu.

Waktu pertama ialah sebelum solat subuh.

Ini kerana pada waktu tersebut, manusia lazimnya masih berada dalam keadaan tidur atau baru bangun tidur, dan ada kemungkinan tidak berpakaian sempurna.

Waktu kedua, ialah pada tengah hari, waktu yang dikenali sebagai waktu qailullah atau tidur sebentar sebelum atau selepas solat zuhur.

Pada waktu itu, individu mungkin menanggalkan pakaian untuk berehat atau bersama pasangan.

Waktu ketiga pula ialah selepas solat isyak, iaitu waktu keluarga biasanya bersiap untuk tidur, menukar pakaian setelah balik bekerja, atau meluangkan masa peribadi bersama pasangan.

Ibn Abbas menerangkan adab itu dengan berkata: “Apabila seorang lelaki berada bersendirian dengan isterinya selepas solat isyak, maka tidak boleh seorang pembantu atau kanak-kanak masuk... melainkan dengan izin, sehingga dia solat subuh. Jika dia bersama isterinya pada waktu zuhur, maka keadaannya juga demikian.”

Allah swt menamakan tiga waktu itu sebagai ‘waktu aurat’ – menunjukkan bahawa Islam menekankan kepentingan menjaga privasi dalam rumah.

Allah swt mengajarkan adab itu kerana dikhuatiri mereka akan terlihat sesuatu yang tidak sepatutnya.

Arahan itu bukan sekadar menjaga aurat secara fizikal, malah bertujuan menyemai perasaan malu dan hormat dalam diri anak sejak kecil.

Menariknya, selepas menyenaraikan waktu-waktu itu, Allah swt menyatakan bahawa selain tiga waktu tersebut, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi anak-anak kecil dan pembantu rumah keluar masuk tanpa meminta izin.

Ini kerana mereka tinggal bersama dan terlibat dalam urusan harian rumah.

Jika mereka perlu meminta izin setiap masa, tentu ia akan menyukarkan kehidupan harian.

Oleh itu, Islam mengimbangi antara keperluan menjaga aurat dengan keperluan menjalani kehidupan harian yang lancar.

Bagaimana mereka yang sudah baligh?

Namun, apabila anak sudah mencapai usia baligh, mereka diwajibkan meminta izin pada setiap masa, bukan hanya dalam tiga waktu tadi.

Ini kerana anak yang telah baligh dianggap telah memasuki fasa dewasa dari sudut syariat.

Pada peringkat usia itu, mereka mempunyai tanggungjawab menjaga aurat dan menghormati privasi orang lain dalam setiap keadaan.

Ini termasuk jika mereka ingin memasuki bilik ibu bapa atau adik-beradik yang lain, meskipun bukan dalam ‘waktu aurat’.

Dalam masa yang sama, ibu bapa juga tidak terlepas daripada tanggungjawab menghormati privasi anak-anak yang telah baligh.

Sekiranya seorang anak menutup pintu biliknya atau berada dalam ruang peribadi, ibu bapa turut disarankan supaya mengetuk dan meminta izin sebelum masuk.

Ini menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf hak privasi setiap anggota keluarga, tanpa mengira usia atau kedudukan dalam rumah tangga.

Ini juga akan membantu ibu bapa membina hubungan berdasarkan rasa hormat, kerana ibu bapa menghormati waktu peribadi anaknya.

Pendidikan adab sejak kecil

Pendidikan adab perlu bermula sejak kecil.

Kita tidak sepatutnya menunggu hingga anak mencapai usia dewasa baru ingin mengajar mereka tentang aurat dan kepentingan menjaga privasi.

Sebaliknya, didikan itu boleh dimulakan dengan langkah mudah seperti mengajar mereka mengetuk pintu sebelum masuk, meminta izin walaupun sekadar ingin mengambil barang dan menunggu jawapan sebelum masuk ke bilik orang lain.

Sekiranya amalan itu dibiasakan sejak kecil, anak akan membesar dengan nilai hormat dan adab yang tinggi.

Selain itu, para ulama turut menekankan beberapa pengajaran tambahan daripada ayat itu.

Pertama, Islam menekankan penjagaan aurat dalam semua keadaan, termasuk di rumah sendiri.

Kedua, kanak-kanak yang belum baligh tidak dibenarkan melihat aurat orang lain dan aurat mereka juga perlu dijaga.

Ketiga, dalam menyampaikan hukum-hakam syariat, pendidik seperti ibu bapa perlu memberikan penjelasan, bukan sekadar menyebut hukum.

Ini agar mereka yang dididik memahami hikmah di sebalik perintah Allah swt.

Maka penting menjadikan ayat ini sebagai panduan dan peringatan dalam kehidupan harian.

Jika anda merupakan pasangan ibu bapa, ingatkanlah anak anda dengan hikmah tentang adab meminta izin.

Jika anda seorang anak, biasakan diri untuk mengetuk pintu dan meminta izin sebelum masuk ke bilik orang lain.

Jika anda tinggal bersama orang lain, hargai ruang peribadi mereka.

Dalam rumah tangga sekali pun, adab tetap menjadi asas utama dalam membina keharmonian dan kasih sayang.

▶ Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg