Akhlak, amanah bentuk etika kerja Muslim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Akhlak, amanah bentuk etika kerja Muslim

Jan 9, 2026 | 5:30 AM

Akhlak, amanah bentuk etika kerja Muslim

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
workplace, kerja, islam
Islam menekankan kepentingan menepati amanah, bekerja dengan jujur, bersungguh-sungguh dan berwibawa sebab ia bukan sahaja mencerminkan keimanan, malah menjadi salah satu cara menunjukkan kebaikan Islam kepada masyarakat. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Akhlak dan adab merupakan antara ajaran agama paling menyerlah.

Rasulullah saw sendiri menegaskan tujuan utama Baginda diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Namun, akhlak dalam Islam tidak terhad kepada cara seseorang berbicara, berpakaian, atau berinteraksi dengan orang lain semata-mata.

Ia turut merangkumi cara seseorang melaksanakan tanggungjawab, memikul amanah dan menjalankan tugas dalam kehidupan seharian, termasuk di tempat kerja.

Etika dan kewibawaan di tempat kerja bukan perkara sampingan dalam Islam, malah ia adalah sebahagian daripada manifestasi keimanan.

Hakikat ini terserlah melalui generasi para sahabat yang meneruskan legasi Baginda saw selepas kewafatannya.

Mereka menjadi pemimpin dan pentadbir yang berkewibawaan tinggi, hasil didikan Baginda.

Abu Bakr As-Siddiq, sebagai khalifah pertama, memikul amanah besar dalam memastikan keperluan umat dijaga dengan mengarahkan pengumpulan Al-Quran di dalam mushaf bagi mengelakkan kehilangan wahyu.

Umar ibn Al-Khattab memperkenalkan kalendar hijrah sebagai sistem pentadbiran tersusun untuk memudahkan urusan umat Islam.

Uthman ibn ‘Affan pula memperkenalkan azan Jumaat pertama bagi memenuhi keperluan masyarakat yang sibuk di pasar, manakala Ali ibn Abi Talib menggunakan kebijaksanaan dan kuasa pentadbirannya untuk mengelakkan perpecahan dalam umat pada zamannya.

Semua contoh itu menunjukkan kewibawaan dan ketelusan bukan sahaja ditegakkan dalam ibadah, malah dalam urusan kerja.

Ini membuktikan etika kerja adalah sebahagian ajaran Islam yang lengkap dan menyeluruh.

Tepati amanah sebahagian daripada ibadah

Namun, terdapat satu kecenderungan yang perlu diwaspada, iaitu mereka yang rajin dan tekun beribadah tetapi cuai dalam pekerjaan.

Sesetengah individu menitikberatkan solat tepat pada waktunya, memperbanyakkan amalan sunat dan kelihatan tekun dalam ibadah, namun apabila melibatkan tanggungjawab kerja, mereka leka, mengambil mudah, membuang masa dan tidak melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh.

Ada yang melengah-lengahkan tugasan, mengabaikan amanah, malah ada yang menerima gaji tanpa menunaikan tanggungjawab dengan sepatutnya.

Sikap sebegini bertentangan dengan prinsip Islam yang menuntut keseimbangan antara ibadah dengan amanah duniawi.

Kita perlu sedar sebagaimana Allah swt akan menghitung solat, puasa dan sedekah kita, Allah swt juga akan mempersoalkan amanah kerja yang diberikan. Firman-Nya dalam Surah An-Nisa’, ayat 58:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).”

Ibn Kathir menjelaskan ayat ini merangkumi semua bentuk amanah, sama ada hak Allah swt seperti solat, zakat dan puasa, mahupun hak sesama manusia seperti tanggungjawab, simpanan dan urusan yang dipercayakan kepada seseorang tanpa disaksikan oleh orang lain.

Allah swt memerintahkan agar semua amanah itu ditunaikan dan sesiapa yang gagal menunaikannya di dunia akan dipersoalkan di akhirat.

Rasulullah saw menegaskan semua hak akan dikembalikan kepada pemiliknya pada Hari Kiamat, bahkan binatang yang dizalimi turut mendapat keadilan.

Ini menunjukkan betapa seriusnya amanah dalam pandangan Islam, termasuk melaksanakan pekerjaan dengan baik dan tekun.

Jawatan satu amanah besar

Selain tugasan harian, jawatan dan pangkat yang diberikan kepada kita juga merupakan amanah besar.

Jawatan bukan untuk dibanggakan atau ditunjuk-tunjuk, sebaliknya ia adalah anugerah yang akan dipersoalkan.

Semakin tinggi jawatan, semakin besar amanah yang dipikul.

Islam tidak menolak kepimpinan atau kedudukan, namun, menuntut agar ia diberikan kepada mereka yang benar-benar layak dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Allah swt menekankan dalam Surah Al-Qasas ayat 26 dua ciri penting dalam pelantikan jawatan: kemampuan dan kekuatan untuk melaksanakan tugas dengan baik, serta sifat amanah.

Kecekapan tanpa amanah boleh membawa penyalahgunaan kuasa, manakala amanah tanpa kemampuan pula berisiko menimbulkan kelemahan pentadbiran.

Rasulullah saw turut memberi peringatan tegas tentang hal tersebut.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Baginda menceritakan tentang seorang pegawai yang dilantik menjalankan tugas.

Setelah selesai, pegawai tersebut datang sambil berkata: “Ini untuk kamu, dan ini pula dihadiahkan kepadaku.”

Maka Rasulullah saw menegur dengan penuh ketegasan: “Mengapa tidak engkau duduk sahaja di rumah ayah dan ibumu, lalu lihat sama ada engkau akan diberi hadiah atau tidak?”

Baginda kemudian berkhutbah dan menegaskan sesiapa yang mengambil sesuatu daripada jawatannya secara tidak sah akan datang pada Hari Kiamat dengan memikul harta tersebut di lehernya – sama ada berupa unta, lembu atau kambing – sebagai bukti pengkhianatan amanah.

Hadis ini jelas menunjukkan kewibawaan dalam memegang jawatan bukan perkara kecil, bahkan membawa akibat yang sangat berat di akhirat kelak.

Pekerja Muslim cerminan agama

Dalam konteks masyarakat majmuk seperti Singapura, pekerja Muslim bukan sahaja membawa identiti peribadi, malah turut mencerminkan agamanya.

Cara seorang Muslim melaksanakan tugas – sama ada dengan jujur atau sebaliknya, bertanggungjawab atau culas – akan membentuk persepsi orang lain terhadap Islam.

Justeru, etika kerja yang baik merupakan antara bentuk dakwah yang paling berkesan.

Apabila seorang Muslim menepati janji, bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berwibawa, keindahan Islam akan terserlah secara semula jadi.

Sebaliknya, sikap malas, tidak jujur atau penyalahgunaan kedudukan oleh seorang Muslim boleh menyebabkan Islam dipandang serong, walaupun hakikat ajarannya tidak sedemikian.

Oleh itu, ketelusan dan kewibawaan di tempat kerja bukan sekadar tuntutan profesional, namun berkait rapat dengan tahap ketakwaan seseorang.

Ia mencerminkan sejauh mana seseorang memahami dan menghayati ajaran Islam secara menyeluruh.

Islam tidak mengajar kita menjadi hamba yang baik di masjid tetapi cuai dalam amanah pekerjaan.

Sebaliknya, Islam membentuk insan yang tekun dalam urusan dunia tanpa mengabaikan akhirat.

Apabila seseorang bekerja dengan telus, kepercayaan akan terbina, dan apabila beliau berwibawa, rezekinya diberkati serta kehidupannya dipelihara oleh Allah swt.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg