Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanggungjawab, keadilan di tempat kerja menurut panduan syarak

Tegak nilai amanah, ihsan bagi wujud persekitaran diberkati, harmoni
Nov 14, 2025 | 5:30 AM
tempat kerja, keadilan, islam
Menjalankan tugas dengan jujur, adil dan penuh keikhlasan bukan sahaja membina integriti, malah menjadikannya sebagai bentuk ibadah yang membawa keberkatan dalam kehidupan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar dan berdaya saing, nilai seperti amanah, tanggungjawab dan keadilan sering kali diketepikan oleh segelintir individu yang lebih mementingkan keuntungan peribadi berbanding kemaslahatan bersama.

Hakikatnya, tempat kerja adalah ekosistem yang memerlukan kerjasama, tolak ansur dan sikap saling menghormati antara satu sama lain.

Islam memberikan garis panduan jelas dalam membentuk persekitaran kerja yang sihat dan diberkati.

Konsep amanah dalam Islam

Amanah dalam pekerjaan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

Islam menekankan setiap tanggungjawab yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan jujur dan penuh keikhlasan. Firman Allah swt dalam Surah Al-Mu’minun, ayat 8:

“Dan mereka (orang yang beriman) menunaikan amanah dan janjinya.”

Ayat ini menegaskan bahawa menepati tanggungjawab adalah ciri orang beriman.

Dalam konteks pekerjaan, ini bermakna menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, tidak lalai dan tidak mengambil kesempatan atas kelemahan sistem atau orang lain.

Mengabaikan tugas, bermalasan dan menyerahkan beban kepada rakan sekerja tanpa alasan yang wajar adalah pengkhianatan terhadap amanah.

Begitu juga bagi pemimpin atau majikan.

Mereka bukan hanya bertanggungjawab ke atas prestasi organisasi, malah lebih penting lagi, mereka memikul amanah terhadap kesejahteraan pekerja di bawah jagaan mereka.

Adil dalam kepimpinan

Dalam Islam, keadilan merupakan asas kepada kepimpinan yang berjaya. Nabi Muhammad saw bersabda:

“Sesiapa yang melakukan kezaliman terhadap saudaranya, sama ada terhadap kehormatannya atau hartanya, hendaklah beliau memohon maaf daripadanya hari ini, sebelum tiba hari di mana tiada lagi dinar dan dirham (Hari Akhirat).” (HR Ibn Hibban).

Zalim di tempat kerja boleh berlaku dalam pelbagai bentuk – daripada diskriminasi, penindasan, hingga ketidakadilan dalam pembahagian tugas atau kenaikan pangkat.

Bahkan, terdapat majikan yang menunda atau menahan gaji pekerja sebagai cara ‘mengajar’ mereka atau menuntut lebih banyak kerja tanpa bayaran tambahan.

Sedangkan Nabi saw menyampaikan dalam sebuah hadis Qudsi:

“Allah berkata: ‘Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat: (di antaranya)... seorang lelaki yang mengupah pekerja lalu mengambil manfaat penuh daripadanya tetapi tidak memberikan upahnya.’’ (HR Bukhari).

Hadis ini menunjukkan betapa seriusnya perbuatan menzalimi pekerja, sehingga Allah swt menyatakan diri-Nya sebagai musuh kepada majikan sebegini di Hari Kiamat.

Kerja berpasukan

Tempat kerja bukanlah medan pertandingan individu. Ia seharusnya menjadi ruang kerjasama antara pelbagai pihak dalam usaha bersama membantu syarikat meningkatkan prestasi.

Islam menekankan pentingnya syura, iaitu perundingan atau mesyuarat untuk mencapai keputusan bersama.

Firman Allah swt dalam Surah Asy-Syura, ayat 38:

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami beri kepadanya.”

Amalan menuding jari, menyalahkan orang lain tanpa bukti, atau memanipulasi keadaan demi kepentingan peribadi adalah bertentangan dengan semangat syura dan prinsip etika kerja Islam.

Perlu difahami, politik pejabat yang bersifat toksik – seperti mencetuskan konflik, menyebar fitnah, atau menjatuhkan reputasi rakan sekerja – bukan sahaja merosakkan persekitaran kerja, malah merosakkan hati individu yang melakukannya.

Perbuatan ini adalah bentuk kezaliman yang nyata dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Etika kerja dalam Islam

Nilai etika kerja yang digariskan dalam Islam merupakan prinsip hidup yang perlu diamalkan.

Ia adalah rangka kerja yang lengkap untuk melahirkan pekerja dan pemimpin berintegriti.

Antara nilai yang digariskan oleh para ulama termasuk:

• Menjadikan tugasan sebagai ibadah untuk meraih keredaan Allah swt

• Melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan kejujuran

• Bersikap adil dalam setiap tindakan dan keputusan

• Mengharapkan ganjaran yang diberkati hasil usaha yang halal

• Mewujudkan suasana kerja yang seimbang dan harmoni antara majikan dengan pekerja

Etika ini menekankan setiap peranan – besar atau kecil – adalah nikmat dan juga ujian.

Seorang pekerja yang jujur boleh memberi kesan positif kepada rakan sekerja, manakala seorang yang leka dan tidak bertanggungjawab boleh melemahkan semangat pasukan.

Begitu juga seorang pemimpin yang adil akan melahirkan organisasi yang diberkati, manakala pemimpin yang zalim akan mencipta suasana penuh tekanan dan kebencian.

Hubungan bersama Tuhan, manusia

Setiap tanggungjawab yang dipikul di tempat kerja bukan sahaja mencerminkan hubungan kita dengan sesama manusia (hablum minannas), malah turut menunjukkan bagaimana kita berhubung dan bertanggungjawab kepada Allah swt (hablum minallah).

Kedua-dua hubungan itu sama pentingnya – menjaga amanah di dunia kerja bukan sekadar urusan duniawi, malah merupakan bentuk ibadah dan pengabdian kepada Pencipta.

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan suatu pekerjaan, beliau melakukannya dengan itqan (bersungguh-sungguh dan sempurna).” (HR At-Tabarani).

Dengan menjalankan tugas dengan penuh keikhlasan dan amanah, kita bukan sahaja menunaikan hak manusia, malah meraih keredaan Allah swt.

Pekerjaan yang dilaksanakan dengan demikian akan menjadi ladang pahala, membuka pintu rezeki yang luas dan membawa keberkatan dalam kehidupan.

Justeru, menjaga hubungan baik dengan Allah swt dan sesama manusia adalah asas kepada tanggungjawab kita di tempat kerja, sekali gus memperkukuh nilai keadilan, amanah dan integriti dalam diri setiap individu.

Penulis bertugas sebagai penyunting di Berita Harian/Berita Minggu. Beliau berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Tafsir dan Usuluddin daripada Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg