Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ambil peduli, prihatin akan perkembangan isu semasa

Persiap diri lebih awal hadapi perubahan yang berlaku di luar sana
Apr 18, 2025 | 5:30 AM
Satu pengajaran penting sebagai seorang Muslim yang ingin menjadi lebih prihatin ialah memastikan kita mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, dan menjauhkan diri daripada menjadi individu yang suka menyebarkan ketakutan. 
Satu pengajaran penting sebagai seorang Muslim yang ingin menjadi lebih prihatin ialah memastikan kita mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih, dan menjauhkan diri daripada menjadi individu yang suka menyebarkan ketakutan.  - Foto PIXABAY

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengumumkan pada 2 April perubahan dasar berkaitan tarif yang dikenakan ke atas beberapa negara, termasuk Singapura.

Beberapa negara kemudian memberikan reaksi susulan pengumuman tersebut.

Bagi sesetengah pihak, berita itu mungkin kelihatan tidak penting kerana ia tidak memberikan kesan secara langsung kepada kehidupan peribadi mereka.

Ada yang mempersoalkan berita itu dan terjebak dalam perbincangan teori konspirasi, malah ada juga yang memperlekehkannya atau menganggapnya sebagai bahan jenaka.

Lebih menyedihkan, terdapat segelintir anggota masyarakat yang langsung tidak menyedari tentang isu ini kerana kurangnya pendedahan kepada perkembangan semasa.

Persoalan besar yang timbul: Adakah seorang Muslim hanya perlu mengambil berat tentang keluarganya dan sekelilingnya sahaja dan tidak perlu mengambil tahu tentang apakah yang berlaku di luar sana?

Sudah tentu tidak. Buktinya, ramai anggota masyarakat Islam kita yang mengikuti ataupun sekurang-kurangnya sedar dengan perkembangan terkini di Gaza.

Hal ini membangkitkan persoalan penting: Sejauh manakah seorang Muslim sepatutnya prihatin terhadap isu semasa dan apakah yang seharusnya dilakukannya?

Sahabat Nabi dan isu semasa

Para sahabat Nabi pada zaman Baginda sangat peka terhadap apakah yang berlaku di sekeliling mereka, walaupun perkara tersebut tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan peribadi mereka.

Sebagai contoh, peristiwa peperangan antara kerajaan Rom dengan Parsi, dua kuasa besar dunia pada ketika itu, tetap menarik perhatian mereka.

Ibnu Abbas meriwayatkan:

“Ketika itu, orang-orang Musyrikin Makkah menyukai kemenangan Parsi kerana mereka penyembah api dan tidak mempunyai kitab, mirip dengan orang Musyrik.

“Sebaliknya, orang-orang Islam menyukai agar Rom menang kerana mereka ialah Ahli Kitab.

Maka turunlah ayat:

“Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya.

“Dalam masa tidak sampai 10 tahun. Kepada Allah jualah terpulang segala urusan sebelum dan selepasnya. Dan pada ketika berlakunya kemenangan Rom itu, orang-orang yang beriman akan bergembira.” (Surah Ar-Rum, 1–4).

Para sahabat mengambil tahu tentang perkembangan dunia luar kerana setiap peristiwa besar pasti membawa kesan kepada seluruh dunia secara umum, terutama dari segi aspek ekonomi dan keselamatan.

Sebagai contoh, ketika dunia dilanda wabak Covid-19, kita menyaksikan bagaimana semua tertumpu kepada berita terkini, sama ada melalui media sosial mahupun televisyen, untuk mendapatkan laporan.

Maka, seorang Muslim juga perlu peka terhadap apakah yang berlaku di sekelilingnya, kerana ia pasti memberi kesan, walaupun tidak serta-merta dirasai.

Ini tidak bermakna kita perlu menjadi pakar atau memberi pandangan seolah-olah kita begitu tahu mengenai isu tersebut.

Cukuplah sekadar kita mengambil tahu dan mengikuti berita melalui saluran yang benar supaya kita tidak terputus daripada realiti semasa.

Ambil iktibar

Seperti yang disebutkan tadi, apabila pandemik Covid-19 berlaku, kebanyakan daripada kita sering mengikuti perkembangan berita dari semasa ke semasa.

Kita mahu tahu mengenai jumlah kes harian, perkembangan vaksin bagi merawat mereka yang terkesan dan juga menantikan sebarang nasihat atau arahan terkini daripada pemerintah.

Satu pengajaran penting sebagai seorang Muslim yang prihatin ialah memastikan kita mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan menjauhkan diri daripada menjadi individu yang suka menyebarkan ketakutan.

Allah swt mencela mereka yang menyebarkan berita palsu sehingga menyebabkan kecemasan dalam kalangan masyarakat.

Firman-Nya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada ‘ulil amri’ (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka.” (Surah An-Nisa’, ayat 83)

Begitu juga dalam Surah Al-Hujurat, Allah swt berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini.” (Surah Al-Hujurat, ayat 6)

Inilah satu bentuk yang bersifat keterlaluan dan perlu kita jauhi, iaitu menjadi Muslim yang prihatin terhadap berita semasa, namun dalam masa yang sama menyebarkan maklumat daripada sumber yang meragukan.

Pandangan alternatif itu baik untuk diteliti, tetapi kita perlu menilai setiap maklumat dan tidak menerima teori konspirasi seolah-olah ia fakta mutlak.

Siap hadapi keadaan tidak dijangka

Berita terkini mengenai tarif yang diumumkan oleh Encik Trump, menekankan perlunya seorang Muslim sentiasa bersiap sedia menghadapi yang terbaik dan berusaha ke arah perkara yang bermanfaat.

Nabi saw bersabda:

“Mukmin yang kuat, lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah terhadap apa yang memberi manfaat kepadamu, mohonlah pertolongan Allah dan jangan lemah.” (HR Muslim).

Seorang Muslim yang peduli akan terlebih dahulu mengambil tahu tentang perkembangan semasa di sekelilingnya melalui berita dan seterusnya menilai sama ada berita tersebut memberi kesan di peringkat sejagat.

Jika ia melibatkan dirinya, maka beliau seharusnya berfikir tentang tindakan terbaik yang boleh diambil dengan merancang lebih awal.

Khususnya jika berkaitan dengan kewangan peribadi, maka sewajarnya beliau mula memanjatkan doa kepada Allah swt setiap hari agar diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk menghadapi sebarang ujian.

Usahlah kita menjadi golongan yang hanya mula menadah tangan selepas ditimpa musibah.

Berita tentang tarif itu juga memperkukuh akidah seorang Muslim bahawa Allah swt sahajalah yang menguasai segala sesuatu dan memiliki kunci rezeki.

Bagi mereka yang banyak melaburkan harta, perlu sedar kekayaan itu bukan milik mutlak yang boleh dikawal sepenuhnya kerana terdapat faktor luaran yang berada di luar kuasa manusia.

Inilah yang membawa kita kepada pentingnya bertawakal kepada Allah swt.

Tawakal bermaksud menyerahkan urusan kepada Allah swt dengan sepenuh kepercayaan, yang akhirnya memberikan ketenangan jiwa dalam menghadapi apa jua keadaan.

Kita menerima berita baik atau buruk dengan tenang kerana yakin kita berada dalam jagaan dan perancangan Allah swt.

Jika berlaku perkara yang menyukarkan, kita percaya bahawa Allah swt sedang merancang sesuatu yang lebih baik buat kita di kemudian hari.

Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Usah jadi golongan yang minta bantuan Allah swt hanya selepas ditimpa musibah

Seorang Muslim yang peduli akan terlebih dahulu mengambil tahu tentang perkembangan semasa di sekelilingnya melalui berita dan seterusnya menilai sama ada berita tersebut memberi kesan di peringkat sejagat. Jika ia melibatkan dirinya, maka beliau seharusnya berfikir tentang tindakan terbaik yang boleh diambil dengan merancang lebih awal. Khususnya jika berkaitan dengan kewangan peribadi, maka sewajarnya beliau mula memanjatkan doa kepada Allah swt setiap hari agar diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk menghadapi sebarang ujian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg