Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak sebagai penyejuk mata, amanah ibu bapa

Oct 3, 2025 | 5:30 AM
ibu bapa, anak
Al-Quran menyingkap teladan kanak-kanak soleh yang memberi pengajaran berharga tentang tarbiah, akhlak dan hubungan erat antara ibu bapa dengan anak. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Ramai yang mungkin menyangka bahawa kisah-kisah dalam Al-Quran hanya menyentuh tentang kehidupan orang dewasa.

Namun, Allah swt telah menyingkap beberapa watak kanak-kanak di dalam Al-Quran yang menonjolkan sifat-sifat terpuji, yang boleh dijadikan teladan dalam usaha kita membesarkan generasi pewaris masa depan.

Setiap ibu bapa pasti menginginkan anak mereka menjadi qurratu a‘yun (penyejuk mata) sebagaimana digambarkan dalam doa yang disebutkan di dalam Surah Al-Furqan, ayat 74:

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa’.”

Dalam proses mentarbiah anak agar menjadi penyejuk mata, terdapat beberapa matlamat penting yang mesti dicapai.

Pertama, anak perlu dididik supaya memiliki nilai dan akhlak murni.

Kedua, mereka harus membesar dalam suasana gembira dan penuh kasih sayang.

Ketiga, mereka dibimbing supaya bersimpati terhadap orang lain.

Keempat, anak perlu diasuh agar bijak bergaul serta cerdas secara sosial.

Kelima, mereka hendaklah dilatih supaya selesa dengan diri sendiri, menghargai potensi yang dimiliki dan sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran.

Keenam, kanak-kanak juga wajar dididik menjadi berani, berkeyakinan serta tidak takut menegakkan kebenaran.

Sebahagian daripada matlamat ini dapat dilihat melalui kisah beberapa kanak-kanak yang dirakamkan di dalam Al-Quran.

Kisah Nabi Ismail

Salah satu contoh agung yang dirakamkan dalam Al-Quran ialah kisah Nabi Ismail as bersama ayahnya, Nabi Ibrahim as.

Dalam Surah As-Saffat, ayat 102, Allah swt menggambarkan bagaimana Nabi Ibrahim bermimpi bahawa Baginda diperintahkan menyembelih anaknya.

Apabila mimpi itu disampaikan kepada Nabi Ismail as, jawapan yang keluar daripada anak kecil itu sungguh luar biasa:

“Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya-Allah engkau akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”

Ketaatan Nabi Ismail as bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan atau tanpa didikan, tetapi hasil daripada tarbiah yang diberikan oleh Nabi Ibrahim as sejak kecil lagi.

Nabi Ismail as telah dibiasakan dengan ajaran agama sejak usia muda, termasuk ketika diajak membantu ayahnya dalam pembinaan Kaabah, serta dididik untuk mengutamakan perintah Allah swt melebihi segala-galanya.

Kisah itu mengajar kita bahawa anak yang dibesarkan dalam suasana keimanan akan membesar dengan kesediaan untuk berbakti dan berkorban demi agama.

Hakikatnya, ketaatan Nabi Ismail as mencerminkan keperibadian ayahnya sendiri, yang sejak usia muda sudah memiliki kecerdikan dan kepintaran apabila menasihati kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala selain Allah swt.

Gabungan kecerdikan yang dipandu dengan iman itulah merupakan formula terbaik untuk melahirkan insan berwawasan, yang akhirnya akan membesar menjadi seorang ayah hebat serta mampu membimbing generasi berikutnya ke jalan benar.

Kisah Nabi Yusuf

Kisah Nabi Yusuf as ketika kecil juga memberi pengajaran besar tentang hubungan anak dengan ibu bapa.

Dalam Surah Yusuf, ayat 4, Nabi Yusuf as menceritakan mimpinya kepada bapanya, Nabi Ya‘qub as:

“Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat 11 bintang, matahari dan bulan, aku melihat mereka sujud kepadaku.”

Peristiwa itu menunjukkan bagaimana seorang anak kecil menaruh kepercayaan penuh kepada bapanya untuk menceritakan perkara yang mengganggu fikiran dan emosinya.

Nabi Yusuf as tidak menyembunyikan perasaannya, sebaliknya memilih bapanya sebagai tempat luahan.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa anak sentiasa memerlukan saluran komunikasi yang terbuka bersama ibu bapa.

Sebaliknya, masalah timbul apabila anak tidak berani atau tidak selesa berkongsi dengan ibu bapa mereka.

Akibatnya, mereka mencari tempat luahan lain, yang kadangkala membawa kepada pengaruh tidak baik.

Justeru, ibu bapa hari ini perlu membina kepercayaan dengan anak, mendengar luahan hati mereka dengan penuh kasih sayang tanpa cepat menghukum atau marah, serta tidak meremehkan perasaan dan pengalaman yang mereka lalui.

Mungkin ada perkara yang anak simpan di dalam hati, yang pada pandangan mereka kelihatan remeh, tetapi sebenarnya boleh memberi kesan besar.

Kisah saudara Nabi Yusuf as adalah contoh jelas, di mana mereka menyimpan perasaan iri hati terhadap Yusuf tanpa meluahkan atau menguruskan emosi mereka dengan betul.

Akhirnya, salah faham emosi dan gagal berkomunikasi membawa kepada tindakan buruk.

Hanya dengan komunikasi yang terjalin atas dasar kepercayaan bersama, hubungan antara ibu bapa dengan anak akan menjadi kukuh dan selamat.

Kisah Nabi Yahya

Al-Quran turut menceritakan tentang Nabi Yahya as, seorang anak yang soleh sejak kecil.

Allah swt menganugerahkan nama yang unik kepadanya, sebagaimana disebut dalam Surah Maryam, ayat 7:

“Wahai Zakaria, sesungguhnya Kami memberi khabar gembira kepadamu dengan seorang anak bernama Yahya, yang sebelumnya Kami tidak pernah menciptakan nama seumpamanya.”

Nama itu sendiri membawa harapan besar bahawa anak itu akan membawa kehidupan berlandaskan iman kepada masyarakatnya.

Ini mengajarkan kepada kita bahawa pemilihan nama yang baik untuk anak adalah bentuk doa dan harapan yang terbaik buat masa hadapan mereka.

Allah memuji Nabi Yahya as dalam Surah Maryam, ayat 12 hingga 15, sebagai seorang anak yang diberikan hikmah sejak kecil, lembut hatinya, bersih jiwanya, serta amat berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya.

Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa untuk menanamkan sifat berbakti sejak kecil, kerana anak yang membesar dengan rasa hormat kepada ibu bapanya akan lebih mudah menghormati orang lain.

Ibu bapa juga harus mendidik mereka melalui perbuatan lebih daripada kata-kata.

Apabila mereka sendiri berbakti kepada orang tua mereka, anak akan melihatnya secara langsung.

Seorang anak mungkin bertanya: “Mengapa aku harus berbakti kepadamu, sedangkan engkau sendiri melayan ayahmu dengan kasar?”

Maka, teladan yang ditunjukkan ibu bapa melalui perbuatan adalah kunci untuk membentuk anak yang benar-benar memahami dan mengamalkan nilai berbakti.

Kanak-kanak sebagai nikmat, amanah

Kanak-kanak adalah nikmat terbesar dalam kehidupan seseorang, tetapi pada masa yang sama, merupakan amanah besar daripada Allah swt.

Gambaran anak dalam Al-Quran sebenarnya mencerminkan hakikat diri ibu bapa itu sendiri.

Anak yang baik adalah cerminan ibu bapanya yang mencurahkan perhatian, kasih sayang dan bimbingan agama sejak kecil.

Sebaliknya, jika ibu bapa lalai dalam mendidik, bagaimana mungkin mereka mengharapkan anak itu membesar menjadi insan yang berjaya dan soleh?

Anak, sebagaimana digambarkan dalam Al-Quran, boleh menjadi penyejuk mata jika diasuh dengan didikan yang benar, namun juga boleh menjadi ujian yang berat jika tidak dipedulikan.

Walaupun anak kelak membina masa depan mereka sendiri, ibu bapa tetap menjadi tangan pertama yang mencorak sebelum jalan itu terbentuk sepenuhnya.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg