Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendidikan anak amanah bersama ibu bapa, guru

Sep 19, 2025 | 5:30 AM
pelajar, pendidikan, ibu bapa, guru, sekolah
Pendidikan adalah amanah dan tanggungjawab bersama ibu bapa, guru dan masyarakat untuk membentuk generasi berakhlak, berilmu dan berjaya di dunia dan akhirat. - Foto fail

Pendidikan merupakan salah satu amanah terbesar yang Allah swt letakkan di bahu manusia.

Ia bukan sekadar proses memperoleh ilmu akademik, namun lebih daripada itu.

Pendidikan dalam Islam melibatkan pembentukan jati diri, keimanan dan akhlak anak.

Kejayaan generasi masa depan sangat bergantung pada cara amanah itu dilaksanakan.

Dalam konteks ini, pendidikan adalah tanggungjawab menyeluruh yang dipikul oleh ibu bapa, guru, masyarakat dan institusi pendidikan.

Setiap pihak memainkan peranan yang saling melengkapi kerana pendidikan adalah usaha bersama untuk membentuk insan seimbang dunia dan akhirat.

Pendidikan dalam Islam

Islam memandang pendidikan sebagai kunci utama kejayaan dan keselamatan umat.

Melalui pendidikan, manusia mengenal Allah swt, memahami tujuan hidup dan mampu membezakan antara hak dengan batil.

Allah swt berfirman dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka.”

Ali bin Abi Talib mentafsirkan ayat ini dengan berkata: “Maksud ayat ini ialah, ajarilah mereka ilmu yang dapat menyelamatkan mereka daripada neraka.”

Rasulullah saw juga bersabda: “Setiap daripadamu adalah pemimpin, dan setiap daripadamu akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Ayat dan hadis ini menegaskan bahawa mendidik keluarga, khususnya anak, adalah kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan.

Pendidikan menjadi benteng utama yang melindungi mereka daripada kesesatan dan kehancuran, bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Dalam konteks ini, ibu bapa merupakan madrasah pertama dalam kehidupan anak.

Segala nilai, adab dan akhlak bermula dari rumah.

Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat kain putih yang belum tercorak.

Mereka adalah amanah berharga yang dititipkan Allah swt kepada kedua ibu bapa.

Hati mereka ibarat permata yang suci, bersih daripada sebarang noda.

Jika mereka dibiasakan dengan kebaikan dan diajarkan perkara yang bermanfaat, mereka akan membesar dengan membawa kebaikan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Namun, jika mereka dibiarkan tanpa bimbingan dan diabaikan pendidikannya, hati mereka mudah dicemari, akhlak mereka rosak dan hidup mereka binasa, terdedah kepada pengaruh yang menyesatkan.

Segala kelalaian itu kembali sebagai tanggungjawab ibu bapa dan penjaga di sisi Allah swt.

Ulama dan ahli fiqah, Imam Ibn Qayyim, menegaskan bahawa mengabaikan pendidikan anak adalah kesalahan besar.

Menurut beliau, kebanyakan kerosakan generasi muda berpunca daripada kelalaian ibu bapa dalam memberikan asas agama, menanamkan nilai murni dan membimbing akhlak anak sejak kecil.

Tanggungjawab pendidikan merangkumi pelbagai aspek, termasuk mengajar anak membaca, menulis, mengenal rukun iman dan rukun Islam, serta membiasakan mereka dengan kewajipan solat sejak kecil.

Jika pendidikan asas itu diabaikan, anak akan membesar tanpa bimbingan yang betul, menjadi generasi yang hilang pedoman dan mudah terdedah kepada kemungkaran dan gejala maksiat.

Peranan bersama didik anak

Apabila anak membesar, tanggungjawab pendidikan bukan lagi terletak sepenuhnya di bahu ibu bapa.

Sekolah dan guru turut mengambil alih peranan sebagai penyambung dalam melaksanakan amanah mendidik.

Namun, ini tidak bermakna ibu bapa boleh lepas tangan kerana pendidikan adalah proses berterusan yang perlu disokong bersama.

Pada peringkat awal kanak-kanak, ibu bapa perlu menumpukan kepada pembentukan akhlak, kasih sayang dan keyakinan diri mereka.

Sekolah pula berperanan membantu mereka menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira.

Apabila mencecah usia remaja, cabarannya semakin berat.

Ibu bapa perlu mengeratkan komunikasi serta mendidik anak mengenai halal dan haram, menjaga maruah diri dan memahami batas pergaulan.

Pada masa yang sama, sekolah membantu memperkukuh pendidikan akademik dan kemahiran sosial pelajar tersebut.

Manakala apabila mencecah usia matang, pendidikan harus tertumpu kepada pembentukan identiti dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Pada tahap ini, kerjasama erat antara ibu bapa dengan guru sangat penting dalam memantau perkembangan sahsiah dan akademik anak.

Pendidikan sentiasa seiring dengan pembangunan anak – ia menuntut pendekatan berbeza pada setiap peringkat usia dan adalah satu tanggungjawab menyeluruh.

Kepentingan didikan ibu, bapa dan sekolah

Sering kali kita melihat budaya menyalahkan satu sama lain antara ibu bapa dengan guru apabila anak menghadapi masalah disiplin.

Hakikatnya, tiada sesiapa boleh memikul tanggungjawab itu bersendirian kerana pendidikan adalah hasil gabungan pengaruh rumah, sekolah dan persekitaran.

Setiap pihak memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah dan masa depan anak.

Oleh itu, daripada saling menyalahkan, tumpuan sebenar ialah membentuk pendekatan bersama.

Guru, ibu bapa dan masyarakat perlu bersatu dalam memberikan sokongan akademik, emosi dan moral kepada anak.

Kita tidak boleh memisahkan pendidikan di sekolah daripada pendidikan di rumah kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Anak yang mendapatkan bimbingan seimbang di rumah dan di sekolah akan lebih kuat menghadapi cabaran persekitaran.

Namun, jika mereka tidak memperoleh sokongan emosi khususnya di rumah atau di sekolah, sudah tentu mereka akan mencarinya di luar.

Itulah yang boleh membuat mereka terdedah kepada pengaruh buruk jika memilih rakan yang salah.

Lebih daripada itu, kita perlu menyedari bahawa anak adalah cermin ibu bapa.

Mereka memerhati, meniru dan menyerap setiap perlakuan orang dewasa di sekeliling mereka.

Jika di rumah mereka melihat pertengkaran dan kekasaran, mereka akan membawa budaya itu ke sekolah dan meniru kelakuan tersebut.

Sebaliknya, jika mereka melihat kelakuan yang baik, ia akan membentuk peribadi dan menjadi norma hidup mereka.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu menekankan kepentingan menghormati guru.

Guru kini berhadapan dengan cabaran lebih besar dengan media sosial, termasuk risiko rakaman video tular yang boleh memalukan dan menjatuhkan maruah mereka.

Budaya memperlekehkan pendidik hanya akan meruntuhkan institusi pendidikan itu sendiri.

Masyarakat perlu dididik untuk menghormati hak guru dan memelihara kewibawaan mereka sebagai penyampai ilmu.

Rasulullah saw sangat menekankan kepentingan menghormati orang berilmu, seperti sabda Baginda:

“Bukanlah daripada umatku orang yang tidak memuliakan orang tua kami, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengetahui hak orang alim dalam kalangan kami.” (HR Ahmad).

Tanpa guru, cahaya itu akan malap, dan tanpa penghormatan kepada ilmu, generasi akan kehilangan arah.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg