Topik diikuti
Pergi ke BHkuBersikap adil terhadap perihal kiamat
Iman kepada hari kiamat serta tanda-tandanya tidak mensyaratkan umat Islam mencari dan berusaha membongkar setiap tanda bilakah ianya akan berlaku
Seringkali apabila berlaku peperangan atau konflik, sama ada sesama umat Islam atau bukan Islam, akan timbul bersamanya bicara tentang hari kiamat.
Hal ini berlaku kerana Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga dua kelompok besar saling berperang dan banyak yang terbunuh di antara dua kelompok tersebut, yang seruan mereka adalah satu, dan sehingga dibangkitkan para Dajjal lagi pendusta sekitar 30 orang.
Semuanya mengaku bahawa dirinya Rasulullah, dicabutnya ilmu, banyak terjadi gempa, zaman semakin cepat, muncul fitnah, banyak terjadi pembunuhan, berlimpah ruahnya harta sehingga para pemilik harta bingung terhadap siapa yang akan menerima zakatnya sehingga dia berusaha menawarkannya kepada seseorang namun orang itu berkata: ‘Saya tidak memerlukannya’. Manusia berlumba-lumba dalam meninggikan bangunan.
Apabila seseorang melalui kawasan kubur saudaranya dia berkata: ‘Alangkah baik jika saya berada di tempatnya’; terbitnya matahari dari sebelah barat dan apabila ia berlaku manusia melihatnya, mereka semua beriman tetapi itulah waktu yang tidak bermanfaat keimanan bagi setiap orang yang sebelumnya tidak beriman atau dia tidak melakukan kebaikan dengan keimanannya,” H.R. Imam al-Bukhari.
Hadis ini menjelaskan beberapa tanda kiamat yang kecil dan besar. Hadis ini jelas menyatakan bahawa akan berlaku peperangan di antara dua kumpulan yang besar.
Inilah yang membuatkan sebahagian daripada para pendakwah memberi peringatan tentang hari kiamat dan persiapan menghadapinya.
Namun persoalannya, adakah kiamat akan berlaku esok hari atau dalam jangka waktu yang terdekat?
Beriman kepada kiamat dan tanda-tandanya
Beriman kepada hari kiamat merupakan rukun iman yang wajib diimani oleh setiap Muslim.
Ia jelas disebutkan di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw.
Firman Allah di dalam surah Ghafir ayat 59 yang bermaksud: “Sesungguhnya al-Sa’ah (kiamat) itu pasti datang, tiada keraguan padanya.”
Allah sendiri bersumpah dengan hari kiamat pada ayat pertama dari surah al-Qiyamah.
Seterusnya Nabi saw bersabda di dalam hadis yang masyhur mengenai rukun iman apabila ditanya Jibril mengenainya:
“(Iman) itu dengan kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikatnya, kitab-kitabnya, para rasulnya, hari akhirat dan qada’ serta qadarnya.” H.R. Imam Muslim
Menurut Imam Masjid al-Nabawi, Syeikh Salih al-Maghamisi, tanda kiamat besar bermula dengan munculnya Imam Mahdi, kemudian keluarnya Dajjal, seterusnya turunnya Nabi Isa dari langit yang akan membunuh Dajjal, setelah itu keluarnya Yakjuj dan Makjuj hinggalah akhir sekali keluarnya al-Dabbah.
Pendirian dan penilaian yang adil terhadap tanda-tanda kiamat
Terlalu banyak nas-nas Al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw yang menyebut tentang hari kiamat dan tanda-tandanya sehingga tidak dapat disangkal lagi kebenarannya.
Sebagai seorang muslim yang beriman, soal hari kiamat dan petanda-petandanya tidak lagi dipertikaikan.
Namun, sejauh mana umat Islam perlu mendalami dan asyik membicarakan tentang hal itu?
Adakah menjadi satu tanggungjawab umat Islam untuk mencari dan membongkar gerangan sebenar Dajjal dan Imam Mahdi?
Bilakah Nabi Isa akan turun, dari arah mana sebenarnya Yakjuj Makjuj keluar dan sebagainya?
Umat Islam perlu bezakan antara keimanan terhadap berlakunya kiamat dan tanda-tandanya dengan waktu terjadinya kiamat dan munculnya tanda-tanda kiamat tersebut.
Iman kepada hari kiamat serta tanda-tandanya tidak mensyaratkan umat Islam mencari dan berusaha membongkar setiap tanda bilakah ianya akan berlaku.
Ini jelas disebutkan di dalam al-Quran surah al-A’raf ayat ke-187 yang bermaksud:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai hari kiamat bilakah akan berlaku. Katakanlah sesungguhnya ilmu pengetahuan mengenainya hanya di sisi Tuhanku, tidak dijelaskan waktunya terjadinya kecuali hanya Dia Yang Mengetahuinya.”
Syeikh Salih al-Maghamisi juga menekankan bahawa tanda-tanda kiamat yang disebut di dalam hadis-hadis bukanlah bermaksud sebagai perintah untuk umat Islam terlalu asyik sehingga mencari-cari bila masanya keluar semua tanda-tanda tersebut.
Seorang tokoh ilmuan Kuwait, Syeikh Uthman al-Khamis, mengatakan bahawa tanda-tanda kiamat yang disebutkan di dalam hadis-hadis Nabi saw tiada kaitannya dengan keadaan yang melanda dunia hari ini.
Seharusnya manusia mempersiapkan diri untuk menghadapi kiamat kecil iaitu kematian dengan melakukan ketaatan dan kebaikan.
Seorang anggota majlis tertinggi ulama Arab Saudi, Syeikh Abdullah al-Mutlaq, apabila ditanya mengenai peperangan-peperangan yang berlaku, adakah ia dari tanda-tanda kiamat yang besar.
Beliau menjawab dengan mengatakan bahawa peperangan telah banyak berlaku dan ia bukan tanda-tanda utama yang terkait dengan kiamat.
Sejak dari zaman khilafah Islam dahulu telah berlaku peperangan tetapi tidak pula menyebabkan tanda-tanda kiamat yang disebutkan muncul di hadapan manusia.
Pendekatan yang wajar
Bahan-bahan dan peringatan mengenai perihal kiamat perlu diteruskan. Ia merupakan ilmu yang memberi panduan dan peringatan bagi manusia mempersiapkan diri dalam menghadapi hari akhirat yang kekal abadi.
Kesedaran terhadap pentingnya membuat persiapan bagi kehidupan akhirat akan membawa manusia kepada usaha yang gigih dan berterusan di dunia ini.
Usaha-usaha itu bukan hanya bersifat ibadat khusus sahaja seperti memperbanyakkan zikir, solat sunat, puasa sunat dan sebagainya, tetapi usaha-usaha bagi melangsungkan kehidupan dunia yang elok dan baik juga perlu diteruskan.
Tidak wajar urusan dunia dihentikan hanya kerana tanda-tanda kiamat telah muncul.
Jika benar sekalipun telah muncul Imam Mahdi seperti yang disifatkan oleh Nabi saw, ia tidak bermaksud urusan dunia sudah terhenti.
Bahkan, jika dituruti hadis-hadis berkenaan dengan kemunculan Imam Mahdi, keadaan hidup manusia ketika itu menjadi baik dan urusan kehidupan berjalan seperti biasa.
Malah Nabi saw pernah mengingatkan dalam satu hadis yang bermaksud:
“Jika berlaku kiamat dan ditanganmu masih terdapat benih kurma maka campakkanlah ia ke tanah.” H.R. Imam al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa selagi ada ruang masa hidup di dunia ini, manusia perlu terus menabur bakti dan berusaha.
Justeru, dalam menyampaikan pengkhabaran mengenai hal ehwal kiamat yang tanda-tandanya perlu disampaikan secara adil dengan tidak menetapkan bila waktunya serta tidak dijadikan sebagai bahan untuk menakut-nakutkan orang ramai supaya meninggalkan urusan dunia dan memberi tumpuan terus kepada urusan akhirat sahaja.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
