Memandangkan Syawal sudah menjelma, ia telah menjadi adat dan budaya masyarakat Melayu di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia, Brunei, dan sebahagian Filipina, untuk menyambut Hari Raya sepanjang sebulan.

Adat itu amat unik bagi umat Islam di sini kerana kebanyakan umat Islam di Timur Tengah, seperti bangsa Arab dan Farsi, menyambut Hari Raya selama tiga hari atau paling lama seminggu.

Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama menegaskan adat masyarakat Melayu yang menyambut Lebaran sepanjang sebulan tidak menyalahi syariat.

Cabaran di sebalik sambutan Raya

Pada musim Lebaran inilah, masyarakat Melayu/Islam mengambil peluang mengeratkan persaudaraan sesama Muslim.

Di Singapura, sambutan Hari Raya juga berlangsung sepanjang sebulan.

Namun, disebabkan kesibukan mencari rezeki dan memenuhi tanggungjawab harian, kegiatan menziarahi keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja biasanya dilakukan pada hujung minggu.

Pada hari tersebut, kebanyakan daripada kita mengadakan rumah terbuka untuk menerima tetamu atau menerima jemputan ke rumah terbuka orang lain.

Saat itu, kita beramah mesra, berinteraksi dan mengukuhkan silaturahim sesama Muslim.

Namun, di sebalik keriangan sambutan, terselit juga perasaan cemburu, kebanggaan diri, atau kekecewaan yang diam-diam hadir, menjadikan Lebaran bukan sekadar sambutan penuh kegembiraan, malah ujian untuk mengekalkan kerendahan hati dan keikhlasan dalam berinteraksi.

Elak perbandingan

Antara faktor utama yang kadangkala menyebabkan Lebaran berubah menjadi kesempatan bagi mereka yang berbangga diri atau merendah hati adalah sifat peribadi dan watak kita sendiri.

Kita harus menerima hakikat kedudukan sosial setiap individu berbeza, dipengaruhi jawatan, kekayaan, latar belakang keluarga dan tahap pendidikan.

Dalam kegembiraan beramah mesra dan berbual di rumah terbuka, secara tidak sengaja, perasaan bangga diri terhadap pencapaian sendiri atau merendahkan pencapaian orang lain boleh timbul.

Tidak terlepas juga pencapaian anak, cucu, atau kerjaya pasangan sering dijadikan alat untuk meluahkan kebanggaan.

Apabila perbandingan mula berlaku antara si pembicara dan pendengar, Lebaran yang sepatutnya menjadi hari kebahagiaan dan pengukuh silaturahim, boleh bertukar menjadi detik yang menguji keikhlasan dan kerendahan hati.

Dari sinilah, bibit permusuhan antara keluarga dengan sahabat handai mula muncul.

Terdapat juga mereka yang berbangga diri secara tersirat, atau ‘humble brag’, iaitu merendah hati sambil menyembunyikan kesombongan.

Ia termasuk berbangga atas kerap melakukan ibadah seperti menunaikan umrah, sedangkan dalam Islam, kemuliaan seseorang di sisi Allah swt diukur berdasarkan ketakwaannya.

Ini sesuai dengan firman Allah swt dalam surah Al-Hujurat, ayat 13, yang bermaksud:

‘‘Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.”

Pada masa yang sama, ketakwaan seseorang bukan diukur melalui banyaknya ibadah yang dilakukan, namun melalui keadaan hati dan keikhlasan seseorang terhadap Tuhannya.

Hanya Allah swt yang mengetahui dan berhak menilai betapa tulusnya ketakwaan itu dalam hati seseorang.

Peluang erat silaturahim

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 2:

‘‘Dan tolong-menolong dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.’’

Daripada firman Allah swt, jelas menunjukkan bahawa Dia menganjurkan hamba-Nya untuk saling membantu antara satu sama lain dalam melakukan kebaikan.

Oleh itu, ketika suasana keramaian pada Lebaran, kita seharusnya bijak mengambil peluang untuk berbincang dan berkongsi maklumat – sama ada dalam kerjaya, perniagaan, atau bidang yang boleh diceburi.

Terutama dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan banyaknya pusat data serta syarikat yang berkembang di Singapura, perbincangan itu boleh memberi manfaat praktikal dan inspirasi.

Sekurang-kurangnya, kita dapat saling bertukar pengalaman dan pandangan hidup, seterusnya mengambil iktibar daripada kejayaan atau cabaran masing-masing.

Apabila kita belajar antara satu sama lain dengan matlamat memperbaiki kedudukan keluarga dalam masyarakat, ia secara tidak langsung menyumbang kepada menegakkan syiar Islam.

Kejayaan individu atau keluarga dalam masyarakat Islam Singapura bukan sahaja bermanfaat bagi diri sendiri, malah boleh berbakti kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Dengan membentuk semangat bantu-membantu dalam melakukan kebaikan – sama ada melalui pandangan, nasihat, pengalaman, atau sumbangan kewangan – dan diiringi dengan keinginan untuk belajar serta berusaha, maka keramaian pada Lebaran bukanlah sekadar hiburan atau berpotensi mencetuskan konflik.

Sebaliknya, ia berpeluang menjadi suasana harmoni, yang secara menyeluruh dapat membina masyarakat yang kukuh dan bersatu.

Penulis ialah mantan Pembantu Penyelidik di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengenai hubungan Uthmaniyyah-Singapura dan memiliki ijazah Sarjana daripada Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam di Universiti Cukurova di Adana, Turkey. Beliau juga telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Penulis kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).