Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budaya membaca dapat bangun generasi berilmu

Jun 23, 2024 | 5:30 AM
Ustazah Norhidayah Mohamed Noor ialah pengarah pengasas Arabic Edu Hub (Bahasa Arab & Al-Quran).
Ustazah Norhidayah Mohamed Noor ialah pengarah pengasas Arabic Edu Hub (Bahasa Arab & Al-Quran). - Foto ihsan USTAZAH NORHIDAYAH MOHAMED NOOR

USTAZAH NORHIDAYAH MOHAMED NOOR

Pepatah lama ada mengatakan “banyak baca, banyak tahu”. Pepatah ini seolah-olah memberi motivasi kepada kita supaya rajin membaca agar ilmu terus bertambah.

Membaca adalah satu aktiviti asas yang penting dalam pembangunan intelektual dan rohani seseorang. Bagaimanapun, trend membaca dalam kalangan kanak-kanak seringkali dipengaruhi beberapa faktor termasuk penyediaan bahan bacaan yang menarik, peranan ibu bapa, dan persekitaran yang menggalakkan.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang didedahkan kepada aktiviti membaca sejak usia muda akan lebih cenderung dalam mengembangkan minat yang lebih mendalam terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam Islam, budaya membaca dianggap sebagai satu ibadah dan amat ditekankan dalam Al-Quran dan hadis. Sepertimana yang disebutkan dan diajarkan kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu pertama adalah perkataan Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ (Surah Al-Alaq: 1-5).

Ini menunjukkan betapa pentingnya budaya membaca dalam Islam. Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa menuntut ilmu itu wajib atas setiap Muslim (Hadis riwayat Ibn Majah).

Ini amat jelas bahawa budaya membaca itu amat digalakkan sama sekali pada semua peringkat umur.

Ingin saya kongsikan salah seorang cendiakawan Islam yang menjadi contoh kepada masyarakat Islam hari ini ialah Imam Syafii ra.

Imam Syafii, atau nama sebenarnya Muhammad ibn Idris al-Syafii, dikenali sebagai pengasas mazhab Syafii dalam Fikah Islam. Beliau adalah seorang ulama yang sangat mementingkan ilmu pengetahuan dan bacaan. Sejak kecil, beliau telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap Al-Quran dan hadis, dan mula menghafal Al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan juga menghafal kitab Muwatta’ Imam Malik pada usia 10 tahun. Subhanallah!

Cinta Terhadap Membaca

Imam Syafii terkenal dengan kecintaan beliau membaca dan menulis. Beliau sering mengembara untuk menimba ilmu daripada ulama terkenal pada zamannya. Antara karya pentingnya adalah Al-Risalah yang menjadi asas kepada usul fikah.

Imam Syafii juga mengumpulkan banyak bahan bacaan dan pengetahuan daripada pelbagai sumber, menjadikannya salah seorang ulama yang paling berpengaruh dalam sejarah Islam.

Jadi, apakah cabaran utama yang dihadapi dalam meningkatkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak Muslim?

Pentingnya membaca dan kesannya

Membaca adalah asas kepada pengetahuan dan pemahaman yang mendalam. Ia membuka minda kepada idea-idea baru, memperluaskan sudut pemikiran, dan mengasah kemahiran berfikir secara kritikal.

Dalam konteks Islam, membaca Al-Quran dan memahami maknanya adalah penting untuk membentuk akhlak yang baik dan panduan hidup yang benar.

Cara pupuk minat membaca

Memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak, remaja, dan orang dewasa memerlukan usaha yang berterusan dan kreativiti. Ia penting untuk memupuk sikap suka membaca sejak kecil lagi.

Dengan menyediakan pelbagai jenis bahan bacaan yang menarik, menggalakkan aktiviti membaca yang interaktif, dan mewujudkan persekitaran yang kondusif, kita boleh menghidupkan budaya membaca dalam masyarakat.

Nasihat saya, ambillah sedikit masa setiap hari untuk membaca, tidak kira apa jua buku atau bahasa yang diminati, kerana ia adalah pelaburan yang berharga untuk masa depan anak anda.

Cara menghidupkan suasana minat membaca adalah dengan menggalakkan anak-anak menyertai program, kelab atau kegiatan membaca yang dianjurkan oleh pelbagai tempat seperti perpustakaan atau pertubuhan. Sedikit sebanyak dengan melibatkan diri mereka dengan program sedemikian dapat terus memupuk cinta kepada buku dan membaca.

Membaca dan pembelajaran sepanjang hayat

Islam menekankan pentingnya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Dengan terus menimba ilmu dan mengamalkannya, umat Islam dapat membaiki diri, menyumbang kepada masyarakat, dan mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah swt. Melalui usaha berterusan dalam mencari ilmu, kita dapat memenuhi tuntutan agama dan menjadi individu yang lebih baik setiap hari.

Pembelajaran sepanjang hayat adalah konsep yang amat penting dalam Islam dan lebih relevan dalam era kecerdasan buatan (AI) yang serba canggih ini. Dengan sentiasa meningkatkan diri dan menimba ilmu, umat Islam dapat menghadapi cabaran zaman dengan lebih yakin dan berkesan.

Teknologi AI menawarkan peluang besar meningkatkan kualiti hidup, dan dengan panduan nilai-nilai Islam, ia boleh digunakan dengan cara yang bertanggungjawab, amanah dan bermanfaat. Marilah kita terus berusaha mencari ilmu dan memanfaatkan teknologi untuk kebaikan diri sendiri dan masyarakat.

Ustazah Norhidayah Mohamed Noor ialah pengarah pengasas Arabic Edu Hub (Bahasa Arab & Al-Quran). Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan pengiktirafan Tahap 1 Skim Pengiktirafan Asatizah.

Dalam Islam, budaya membaca dianggap sebagai satu ibadah dan amat ditekankan dalam Al-Quran dan hadis. Sepertimana yang disebutkan dan diajarkan kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu pertama adalah perkataan Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ (Surah Al-Alaq: 1-5). Ini menunjukkan betapa pentingnya budaya membaca dalam Islam.
Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg