Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kisah Safa dan Marwah papar banyak pelajaran keibubapaan

Jun 14, 2024 | 5:30 AM
Sai disyariatkan untuk memperingati peristiwa sejarah melibatkan Siti Hajar serta bayinya, Nabi Ismail as, ketika mereka ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim as di tempat yang sama, atas perintah Allah swt.
Sai disyariatkan untuk memperingati peristiwa sejarah melibatkan Siti Hajar serta bayinya, Nabi Ismail as, ketika mereka ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim as di tempat yang sama, atas perintah Allah swt. - Foto fail

Melakukan sai di antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali merupakan salah satu rukun dalam melaksanakan ibadah haji dan umrah.

Jemaah haji dan umrah dituntut berulang-alik di antara Safa dengan Marwah, dan disunatkan berlari-lari ketika mereka sampai ke pertengahan kawasan tersebut, yang sekarang ini ditandakan dengan lampu hijau.

Ibadah ini disyariatkan untuk memperingati peristiwa sejarah melibatkan Siti Hajar serta bayinya, Nabi Ismail as, ketika mereka ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim as di tempat yang sama, atas perintah Allah swt.

Terkandung dalam kisah mereka ini beberapa pelajaran keibubapaan yang boleh kita ambil dan terapkan dalam usaha memperbaiki diri kita sebagai ibu bapa.

Kepercayaan penuh kepada Allah

Allah swt menghikayatkan doa Nabi Ibrahim as dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (tanah suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya.” (Surah Ibrahim: 37).

Ketika Nabi Ibrahim as melaksanakan perintah Allah swt untuk meninggalkan isteri dan anaknya di pertengahan padang pasir, baginda meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada Allah swt.

Tidak akan ada seorang ayah yang mampu meninggalkan isteri dan anaknya yang masih bayi, di sebuah tempat yang tiada penghuni dan tanaman di sekelilingnya.

Tambahan pula, dengan bekalan yang tidak mencukupi untuk mereka berdua.

Isterinya, iaitu Siti Hajar, juga sanggup melaksanakan perintah tersebut kerana beliau yakin Allah swt akan menjaga mereka dengan baik.

Beliau bertawakal kepada Allah swt, dengan kepercayaan bahawa Allah swt tidak akan memudaratkannya ketika melaksanakan perintah-Nya.

Sikap ini sangat diperlukan oleh pasangan ibu bapa, kerana akan datang suatu ketika apabila mereka akan dilanda ujian yang berat, baik dari segi kewangan mahupun ujian-ujian tertentu.

Maka hanya dengan meletakkan kepercayaan kepada Allah swt akan hilang perasaan takut dan bimbang, kerana jika Allah swt berkuasa untuk menguji hamba-Nya, sudah tentu Allah swt juga yang mampu menyelamatkan mereka, sepertimana Siti Hajar meletakkan kepercaayannya kepada Allah swt, sehingga Allah swt memberikan air zamzam kepada beliau dan anaknya ketika mereka kehausan.

Ibu bapa yang mendoakan anak mereka

Di antara ciri keibubapaan yang boleh diambil daripada kisah ini juga adalah sikap Nabi Ibrahim as yang mendoakan keturunannya ketika beliau sampai ke tanah suci Makkah.

Allah swt merakam doa Nabi Ibrahim as dalam firmannya:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah berhala.”

Allah berfirman lagi: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim: 35 dan 40).

Ibu bapa harus mencontohi sikap ini bukan hanya dengan mendoakan kejayaan anak mereka di dunia, bahkan mendoakan anak mereka agar menjadi anak soleh yang mampu mendoakan mereka setelah mereka meninggal dunia.

Ramai dalam kalangan ibu bapa menitikberatkan kejayaan duniawi sehingga mereka terlupa mendoakan kesejahteraan agama anak-anak mereka.

Ingatlah, jika anak-anak anda menjadi orang yang mengamalkan ajaran Allah swt, keberkatan dan kebaikan amalan mereka akan kembali kepada seluruh keluarga.

Pengorbanan yang ikhlas

Apa yang dilakukan Siti Hajar ketika beliau berulang-alik di antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah itu merupakan bukti dan tanda kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya.

Ibu bapa sanggup berkorban demi anak-anak mereka supaya merek membesar dengan baik.

Ini dilakukan sama ada dengan memenuhi keperluan mereka atau melengkapkan mereka dengan pendidikan yang cukup sehingga mereka menjadi insan yang berjaya.

Namun, segala pengorbanan yang telah dicurahkan harus dilakukan dengan keikhlasan dan kasih sayang terhadap anak tersebut.

Ibu bapa yang soleh tidak akan mengungkit pengorbanan mereka untuk mendapatkan meraih manfaat daripada anak mereka ketika mereka sudah dewasa.

Ingatlah wahai ibu bapa bahawa membesarkan seorang anak itu merupakan tanggungjawab yang telah Allah swt wajibkan ke atas anda.

Hindari sikap mengungkit dan mengimbas kebaikan anda dan memanipulasi anak itu agar mereka patuh dan tunduk kepada kemahuan anda.

Jadi contoh teladan

Antara sebab kisah ini menjadi pedoman buat ibu bapa adalah kerana kedua-dua Nabi Ibrahim as dan isterinya, Siti Hajar, melaksanakan perintah agama dengan ikhlas dan menjadi contoh yang baik kepada anak-anak mereka.

Ini satu sikap yang sangat penting ketika ibu bapa berada dalam kedudukan menjadi contoh kepada anak-anak mereka.

Jika ibu bapa inginkan anak mereka menjadi insan yang baik dan soleh, sudah tentu mereka harus mengamalkan apa yang mereka ajarkan.

Sebahagian ibu bapa melarang anak mereka daripada sesuatu perbuatan yang keji, seperti memaki hamun, namun mereka sendiri menzahirkan tabiat yang sama di depan anak mereka.

Ini menyebabkan anak itu enggan mentaati perintah kededua ibu bapanya kerana “emak ayah pun buat juga, apa bezanya kita”.

Jika kita tampilkan persona yang baik dan melaksanakan apa yang kita sendiri perintahkan kepada anak kita, insya-Allah kita akan lebih mudah diikuti dan ditaati oleh anak-anak.

Kisah Nabi Ibrahim as dan Siti Hajar merupakan kisah yang penuh makna kepada pembentukan model ibu bapa yang ideal.

Jika kita ingin menjadi ibu bapa yang disayangi, ditaati dan dikasihi pada masa usia lanjut, haruslah kita mencontohi para nabi dan rasul, dan memperbanyakkan doa kepada Allah swt agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik.

Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

TAMPILKAN PESONA YANG BAIK UNTUK DIIKUTI ANAK-ANAK

“Jika kita tampilkan persona yang baik dan melaksanakan apa yang kita sendiri perintahkan kepada anak kita, insya-Allah kita akan lebih mudah diikuti dan ditaati oleh anak-anak. Kisah Nabi Ibrahim as dan Siti Hajar merupakan kisah yang penuh makna kepada pembentukan model ibu bapa yang ideal. Jika kita ingin menjadi ibu bapa yang disayangi, ditaati dan dikasihi pada masa usia lanjut, haruslah kita mencontohi para nabi dan rasul, dan memperbanyakkan doa kepada Allah swt agar kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik.”
– Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg