Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cintai negara sebagai amanah: Satukan hati, terap nilai murni

Penting semai nilai persefahaman antara kaum dan agama kerana ia merupakan perintah serta amanah Ilahi
Aug 15, 2025 | 5:30 AM
Hidayah, cintai negara, nilai murni
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, penulis berpendapat sudah tiba masanya kita merenung kembali apakah nilai yang harus kita teruskan demi menjunjung amanah Ilahi, serta sebagai tanda cinta kita kepada-Nya dan terhadap Singapura. - Foto fail
Allah swt tidak pernah melarang seseorang daripada mencintai negara. Tetapi apa yang akan dipersoalkan kelak ialah terhadap amalan serta amanah dan tanggungjawab kita semasa hayat.
Allah swt tidak pernah melarang seseorang daripada mencintai negara. Tetapi apa yang akan dipersoalkan kelak ialah terhadap amalan serta amanah dan tanggungjawab kita semasa hayat. - Foto fail

Singapura menyambut kemerdekaannya yang ke-60 tahun pada 2025.

Maka kini, tiba masanya kita merenung kembali apakah nilai yang harus kita teruskan demi menjunjung amanah Ilahi, sebagai tanda cinta kita kepada-Nya dan terhadap Singapura.

Tujuannya adalah supaya negara ini dicintai bukan daripada sudut kebendaannya sahaja, tetapi kita sedar bahawa ia juga sebagai amanah daripada Allah swt.

Sempena Hari Kebangsaan Singapura, menarik juga kalau kita bersama-sama melihatnya dari lensa agama dalam kita memupuk cinta pada negara serta sebagai satu amanah daripada Ilahi.

Sudah pastinya, Allah swt tidak pernah melarang seseorang daripada mencintai negara.

Tetapi, apa yang akan dipersoalkan kelak ialah terhadap amalan serta amanah dan tanggungjawab kita semasa hayat.

Memandangkan kita sebagai rakyat Singapura, sudah pasti mempunyai amanah dalam menjaga keharmonian serta kemakmuran negara ini.

Ini kerana, jika kita tidak menjaga amanah dalam memastikan keharmonian serta kemakmuran negara, sudah pasti amanah terhadap keluarga, ibu bapa serta anak-anak juga akan terjejas.

Maka dengan itu, ada beberapa nilai murni yang harus terus diterapkan ke dalam diri kita serta generasi seterusnya.

Langkah itu adalah amanah dalam menjaga Singapura agar ia terus kekal harmoni dan makmur bagi tahun-tahun mendatang.

Nilai persefahaman antara kaum sebagai tanda takwa

Allah swt berfirman di dalam surah Surah Al-Hurujat (49:13) bermaksud:

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

Daripada ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa kita sebagai seorang Muslim harus sentiasa saling mengenali antara satu sama lain.

Daripada situlah timbul persefahaman antara kaum dengan bangsa, maka akan lahirlah keharmonian di dalam negara.

Pada waktu yang sama, ia turut menunjukkan bahawa menyantuni kepelbagaian itu sendiri adalah sebahagian daripada anugerah Ilahi.

Nilai persefahaman antara kaum dengan menyantuni kepelbagaian itu bukanlah sesuatu yang baru.

Di dalam rekod Turkey Uthmaniyah juga pernah menunjukkan bahawa mereka berasa kagum terhadap keharmonian kaum dan sikap persefahaman antara agama yang ditunjukkan oleh masyarakat Singapura.

Dalam erti kata lain, leluhur kita telah mengamalkan nilai persefahaman antara kaum dengan agama sejak zaman dahulu lagi.

Mereka saling menghormati budaya dan agama lain, demi menjunjung amanah dan perintah Ilahi sebagai tanda ketakwaan.

Maka dengan itu, kita sebagai masyarakat Singapura hari ini usah mengambil mudah tentang kepentingan menyemai nilai persefahaman antara kaum dengan agama.

Ini kerana, ia merupakan perintah dan amanah Ilahi.

Pada waktu yang sama, nilai itu merupakan tunjang keamanan terutama dalam negara berbilang agama dan bangsa seperti Singapura.

Nilai kerajinan kunci kemakmuran

Antara sunah Nabi Muhammad saw yang jarang dibahaskan ialah sunah beliau yang sangat rajin berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga serta kemakmuran masyarakat Islam pada ketika itu.

Baginda, melalui perniagaan dan perusahaannya bersama dengan para sahabatnya seperti Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Utsman bin Affan, telah banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam melalui hasil kewangan yang dijana daripada perniagaan dan perusahaan mereka dan lain-lain.

Daripada situlah, mereka mula mewakafkan tanah, perigi dan sebagainya demi pembangunan masyarakat Islam yang serba daif pada awal penyebaran Islam.

Atas nilai ketekunan mereka itu, Madinah menjadi kota yang makmur.

Madinah dan masyarakat Arab pada ketika itu menjadi masyarakat yang dihormati.

Pada masa yang singkat terbangunnya tamadun Islam sehingga tersebarnya agama itu ke Nusantara.

Sudah pastinya para sahabat pada waktu itu sudah menyedari pentingnya nilai ketekunan itu demi kemakmuran negara dan penyebaran agama Islam.

Dalam kerajinan mereka bekerja dan mencari rezeki, mereka juga tidak alpa dalam kepentingan ilmu serta penyebaran agama Islam.

Nilai ketekunan itu sangat penting kerana hanya melalui nilai ini baik dalam berusaha mahupun mencari ilmu, ia dapat memastikan kemakmuran negara serta masyarakatnya bukan sahaja daripada sudut ekonomi bahkan daripada sudut rohaninya.

Nilai ketekunan mencari rezeki serta menuntut dan menyebar ilmu juga tidak asing di dalam masyarakat Islam di Singapura.

Sebagai contoh, sifat rajin berusaha yang ditunjukkan oleh Syed Mohamed Alsagoff, serta keluarga Aljunied.

Gigih sumbang pembangunan masyarakat tanpa kenal agama dan bangsa

Ia termasuk kegigihan mereka dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat Singapura tanpa mengenal agama dan bangsa memang wajar dicontohi.

Maka daripada peristiwa dan contoh di atas, jelas menunjukkan bahawa leluhur kita sudah mempunyai nilai ketekunan di dalam jiwa mereka.

Mereka banyak berbakti kepada Singapura baik dari sudut ekonomi dan juga dari sudut kerohanian serta agama demi pembangunan masyarakat dan negara.

Oleh itu, hari ini, demi mengekalkan kemakmuran Singapura kita harus menanam sikap tekun berusaha di dalam diri.

Ini kerana bekerja mencari nafkah untuk keluarga serta pembangunan masyarakat dan kemakmuran negara adalah sebahagian daripada perintah Allah swt.

Sekali gus kita sebagai masyarakat Islam Singapura dapat menghindari diri daripada cabaran seperti kemiskinan harta dan jiwa selain membuka jalan untuk seseorang mengubah nasib dan kedudukan sosial kita.

▶Penulis ialah mantan Pembantu Penyelidik di Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) mengenai hubungan Uthmaniyyah-Singapura dan memiliki ijazah Sarjana daripada Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam di Universiti Cukurova di Adana, Turkey. Beliau juga telah mengikuti program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang dijalankan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan tersenarai di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS). Penulis kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) di Jabatan Pengajian Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg