Perubahan adalah suatu perkara lumrah yang akan dilalui oleh setiap manusia, tidak kira di mana mereka berada – sama ada di sekolah, di tempat kerja atau dalam suasana tempat tinggal yang baru.
Walaupun ia adalah sesuatu yang pasti, tidak semua orang mampu melaluinya dengan mudah.
Sesetengah individu mungkin cepat menyesuaikan diri, manakala yang lain pula memerlukan masa yang lebih panjang sebelum benar-benar menerima perubahan yang berlaku.
Sebagai contoh, apabila seorang pegawai pentadbiran meletakkan jawatan dan digantikan dengan individu yang baru, sudah tentu akan berlaku perubahan dalam suasana kerja.
Terutama jika pekerja terdahulu lebih mesra, mudah dihubungi dan cekap dalam melaksanakan tugasnya, maka tidak hairanlah jika rakan sekerja memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan pendekatan dan gaya kerja yang baru.
Perubahan bukan sahaja berlaku di peringkat individu, malah berlaku pada skala yang lebih besar seperti di peringkat negara.
Proses urbanisasi misalnya, membawa banyak perubahan dalam kehidupan manusia, khususnya dari segi corak pekerjaan, gaya hidup, serta nilai-nilai sosial yang mendasari masyarakat.
Di tengah kesibukan menjalani kehidupan di kota Singa ini, penting untuk kita memastikan adanya keseimbangan antara keperluan duniawi dengan ukhrawi.
Perkembangan pesat yang berlaku di Singapura menuntut kita sebagai rakyatnya untuk lebih peka terhadap perubahan semasa, sambil berusaha menyesuaikan diri agar tidak terleka dalam mengejar kemajuan hingga mengabaikan nilai-nilai rohani.
1) Tekanan Ekonomi
Kehidupan di kota besar menuntut kerja keras demi menampung keperluan hidup yang semakin tinggi.
Dalam usaha mengejar kestabilan kewangan dan kehidupan yang selesa, ramai yang tanpa sedar terlalu menumpukan perhatian pada urusan duniawi hingga mengabaikan keperluan rohani.
2) Gaya Hidup Boros
Arus modernisasi turut membawa bersama budaya berbelanja secara berlebihan, di mana keinginan sering diutamakan berbanding keperluan sebenar.
Sikap ini mendorong seseorang untuk lebih mengejar kemewahan dan status sosial, sekali gus menanamkan sifat mementingkan dunia.
3) Kekangan Masa untuk Beribadah
Kesibukan harian yang padat dengan tugasan kerja, tanggungjawab keluarga dan sosial sering kali menyebabkan seseorang sukar memperuntukkan masa untuk beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
Ibadah menjadi sekadar rutin tanpa penghayatan, atau lebih menyedihkan, terus diabaikan.
1) Nilai keagamaan berkurangan
Pengaruh globalisasi dan gaya hidup moden turut menyumbang kepada sikap individualistik yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat, sekali gus mengurangkan kepekaan terhadap nilai-nilai agama.
Salah satu contoh ialah budaya kerja tanpa henti atau ‘hustle culture’ yang semakin menular dalam masyarakat moden.
Di Singapura, tekanan untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya sering kali mendorong individu bekerja berjam-jam tanpa rehat, semata-mata demi mengejar pencapaian profesional dan kewangan.
Dalam situasi sebegini, kewajipan agama seperti solat lima waktu, menghadiri majlis ilmu dan meluangkan masa untuk ibadah semakin terpinggir.
Apa yang lebih membimbangkan, budaya ini juga boleh menghakis semangat kebersamaan dalam masyarakat Islam.
Apabila kejayaan peribadi dan kemewahan duniawi menjadi fokus utama, nilai bantu-membantu dan kepedulian terhadap sesama Muslim turut terjejas.
Akibatnya, masyarakat menjadi lebih individualistik dan kurang terikat dengan ajaran Islam.
2) Pendidikan agama berkurang
Proses urbanisasi dan keutamaan terhadap kejayaan dalam bidang akademik serta ekonomi sering kali menyebabkan pendidikan agama diketepikan.
Sebagai contoh, ada keluarga yang lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen tambahan pada hujung minggu demi mempertingkatkan pencapaian akademik.
Malangnya, ini sering dilakukan dengan mengorbankan masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk menghadiri kelas agama seperti madrasah hujung minggu.
Mereka beranggapan bahawa keputusan akademik yang cemerlang akan membuka peluang kerjaya yang lebih baik dan menjamin pendapatan tinggi.
Namun, dalam jangka panjang, hal ini boleh menyebabkan generasi muda kurang faham tentang ajaran Islam.
Akhirnya, ilmu agama dianggap sebagai sesuatu yang tidak penting dan nilai-nilai Islam kurang dihayati dalam kehidupan seharian.
Anak-anak muda juga mula berasakan bahawa pengetahuan agama tidak begitu penting untuk dipelajari.
3) Kesibukan harian jejas kegiatan agama
Kehidupan yang sibuk dan serba pantas menjadikan usaha mendapatkan sokongan rohani daripada masyarakat sekeliling semakin mencabar.
Sebagai contoh, ramai yang menghadapi kesukaran untuk meluangkan masa menghadiri majlis ilmu atau kegiatan keagamaan di masjid kerana jadual harian yang padat.
Di Singapura, rentak hidup yang cepat, ditambah dengan waktu kerja yang panjang dan pelbagai tanggungjawab sosial, menyebabkan ramai keletihan selepas bekerja dan lebih cenderung berehat di rumah berbanding menghadiri kuliah agama, bertadarus atau solat berjemaah.
Tambahan pula, dalam suasana masyarakat moden yang semakin individualistik, tidak semua kawasan kediaman menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan rohani.
Ada yang tinggal di perumahan yang kurang interaksi antara jiran tetangga, menjadikan mereka terasa terasing daripada masyarakat Islam.
Jika suasana persekitaran tidak aktif dengan kegiatan keagamaan, maka seseorang itu akan berasa semakin jauh daripada masyarakat Islam dan sukar untuk memperoleh sokongan rohani dalam kehidupan hariannya.
1) Jalankan Prinsip ‘Dunia untuk Akhirat’
Islam tidak menolak dunia, malah menjadikannya sebagai jalan menuju kebahagiaan akhirat. Firman Allah swt dalam Surah Al-Qasas, ayat 77:
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia…”
Ayat ini mengajar kita supaya terus berusaha mencari rezeki dan menikmati nikmat dunia, namun tetap menjadikan akhirat sebagai tujuan utama.
2) Bijak atur waktu
Salah satu kunci utama keseimbangan ialah pengurusan masa yang baik. Antara langkah yang boleh diamalkan:
– Mengutamakan ibadah dalam rutin harian – seperti menunaikan solat tepat waktu, membaca Al-Quran dan berzikir.
– Manfaatkan teknologi untuk kebaikan – contohnya, dengar podcast agama semasa memandu atau bekerja.
– Amalkan doa harian agar hati sentiasa terhubung dengan Allah swt di tengah kesibukan.
3) Cari rezeki halal, diberkati
Pekerjaan bukan sekadar mencari pendapatan, tetapi juga medan untuk beribadah.
Bekerjalah dengan jujur dan hindari unsur haram seperti rasuah atau penipuan.
Salurkan sebahagian rezeki kepada kebaikan – bersedekah, membantu saudara seagama dan menyumbang kepada masyarakat.
Tanamkan niat ibadah dalam setiap pekerjaan agar ia menjadi amal yang bernilai di sisi Allah swt.
Selain itu, jagalah akhlak dan hubungan sesama manusia.
Berpeganglah pada nilai-nilai Islam – berkata benar, menjaga amanah dan tidak menzalimi orang lain.
4) Tuntut ilmu agama secara konsisten
Hadiri kelas-kelas agama atau majlis ilmu secara berkala.
Jika tidak mampu secara fizikal, manfaatkan kelas dalam talian.
Ilmu yang dipelajari bukan sahaja untuk diri sendiri, malah boleh dikongsi dan diamalkan bersama keluarga.
Setiap zaman datang dengan cabarannya yang tersendiri.
Namun, yang lebih penting adalah kesungguhan kita dalam mencari keseimbangan – memenuhi tuntutan dunia tanpa mengabaikan persiapan akhirat.
Andai ada hari kita terasa lebih cenderung kepada dunia, jangan putus asa.
Mohonlah keampunan daripada Allah swt dan pintalah petunjuk-Nya agar kita terus dipandu dalam mengharungi kehidupan yang sementara ini.
Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.
“
Di tengah kesibukan menjalani kehidupan di kota Singa ini, penting untuk kita memastikan adanya keseimbangan antara keperluan duniawi dengan ukhrawi. Perkembangan pesat yang berlaku di Singapura menuntut kita sebagai rakyatnya untuk lebih peka terhadap perubahan semasa, sambil berusaha menyesuaikan diri agar tidak terleka dalam mengejar kemajuan hingga mengabaikan nilai-nilai rohani.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg