Didik rumah tangga, keluarga dengan akhlak mulia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Didik rumah tangga, keluarga dengan akhlak mulia

Setiap pasangan digalak semai akhlak mulia dalam rumah tangga bagi bina keluarga sejahtera, generasi berakhlak
Mar 11, 2026 | 12:57 PM

Didik rumah tangga, keluarga dengan akhlak mulia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
rumah tangga, keluarga, ibu bapa, ROMM
Anak sentiasa memerhati tingkah laku ibu bapa mereka. Gerak-geri dan cara berfikir suami isteri menjadi teladan yang membentuk peribadi anak. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz

Setiap orang yang mendirikan mahligai rumah tangga pasti menginginkan dan mencari sesuatu yang dapat diusahakan agar rumah tangganya itu dapat berkekalan dalam kebahagiaan, ketenangan dan kemesraan.

Perkara itu pula menjadi istimewa khususnya bagi seorang Muslim, kerana ianya adalah bekalan menuju ke alam akhirat di syurga kelak.

Ini terkadang menyebabkan perasaan letih dan berasa diri tidak larat.

Mungkin antara sebabnya adalah tidak melihat dengan jelas jalan penghujungnya.

Tidak hairan jika seseorang berasa letih apabila disuruh menempuh jalan yang tidak kelihatan penghujungnya, sedangkan beliau mengharapkan saat untuk berehat dan merasai nikmat sebuah pencapaian.

Tulisan ini bertujuan menyajikan beberapa panduan mudah dengan harapan pembaca dapat menikmatinya dalam pelayaran bahtera rumah tangga bagi suami dan isteri.

Pertama, contoh akhlak mulia yang harus disemai dalam kehidupan berumah tangga.

Kedua, memahami kepentingan menerapkan akhlak mulia ini.

Rasulullah saw berpesan kepada para suami: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Dan akulah yang paling baik di antara kamu dalam bermuamalah dengan keluargaku.”

Hadis ini adalah satu bentuk motivasi supaya golongan Adam berusaha bersungguh-sungguh memelihara dan mendorong dengan kebijaksanaan, agar anggota keluarga juga memiliki akhlak yang terpuji.

Dengan ini, penulis ingin menganjurkan kepada sang suami, dan juga sesuai sebagai peringatan sang isteri, iaitu suami harus lebih yakin dan bersedia dalam banyak situasi melibatkan isteri dan anak.

Pada akhirnya, percayalah bahawa tiada istilah suami atau isteri yang jahat.

Yang ada hanyalah suami dan isteri yang dahagakan bimbingan dan panduan, namun mereka sendiri tidak menyedarinya.

Hias diri dengan akhlak terpuji

Dalam sejarah alam kehidupan manusia sejagat, hanya satu insan yang wajar diambil hikmah dan tunjuk ajarnya, iaitu Rasulullah saw.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta beliau pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Daripada Baginda saw jugalah diajarkan cara beribadah sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt.

Salah satu bentuk ibadah itu ialah menghiasi diri dengan akhlak yang terpuji.

Berakhlak mulia bermula dengan hubungan kita dengan Allah swt, kemudian dizahirkan pula dalam hubungan sesama manusia.

Hal ini perlu sentiasa disebut dan diulang kerana Baginda saw telah berhabisan tenaga mendidik manusia agar menghiasi diri dengan sifat terpuji.

Sabda Baginda saw: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (HR Bukhari).

Sifat mulia dalam keluarga

1) Elak konflik

Terdapat satu prinsip yang berharga oleh ulama silam dalam menangani perhubungan sesama manusia, iaitu badzlul ma’ruf wa kafful adza (menyebarkan kebaikan dan menyekat keburukan).

Bahkan ini merupakan pendekatan yang sering diambil Baginda saw.

Apabila prinsip ini telah tertanam dalam benak, setiap tindakan akan cenderung memilih jalan yang membawa kepada keharmonian.

Seorang suami harus peka terhadap perasaan isterinya, sama ada dalam ucapan mahupun tingkah laku.

Jika disedari bahawa kata-kata yang ingin diucapkan boleh menggores hati isteri pada ketika itu, maka lebih baik beliau berdiam diri.

Di situlah terletaknya kematangan seorang suami pada tahap yang paling tinggi.

2) Berlaku adil

Sifat adil mendorong seseorang kepada ketakwaan.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Maidah, ayat 8: “Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa.”

Dalam kehidupan berumah tangga, kadangkala timbul situasi yang memerlukan suami bijak membuat pertimbangan.

Apabila isteri memiliki cita-cita, suami perlu memberi dorongan dan tidak mengecilkan usahanya.

Suami harus meraikan cita-cita isteri, bukan hanya cita-cita diri sendiri.

Selain itu, seorang suami perlu:

– Tidak membelakangkan atau menyembunyikan perkara penting daripada isteri tanpa keperluan. Libatkan isteri dalam setiap perkara yang memberi kesan kepada kehidupan bersama.

– Bersedia berbelanja demi keperluan isteri, anak dan diri sendiri mengikut kemampuan, tanpa membeza-bezakan.

Kepentingan akhlak mulia

Justeru, setiap keluarga Muslim perlu sedar akan kepentingan memupuk akhlak dalam diri masing-masing.

Setiap insan cenderung tertarik kepada kebaikan yang mendatangkan manfaat kepadanya.

Antara kebahagiaan dan kesedihan, naluri manusia pasti memilih hal yang membahagiakan.

1) Cipta keharmonian

Jadilah insan yang menghadirkan kegembiraan kepada orang lain melalui kehadiran kita.

Baginda saw bersabda: “Sesungguhnya lemah lembut tidaklah ada pada sesuatu kecuali akan menghiasinya, dan tidaklah dicabut daripada sesuatu kecuali akan memperkeruhnya.” (HR Abu Daud).

Sifat tenang adalah ciri khas para Nabi.

Lihatlah Nabi Ibrahim as ketika menghadapi ujian dilemparkan ke dalam api, dan ketika patuh kepada perintah Allah yang memerlukan beliau meninggalkan isteri serta anaknya, Nabi Ismail as, di lembah Makkah yang kontang.

Begitu juga ketika diperintahkan untuk menyembelih anaknya.

Terdapat juga contoh ringkas daripada Nabi Musa as ketika berdepan Firaun, Nabi Yusuf as ketika berdepan wanita yang ingin memperdayanya sehingga dipenjarakan dan Baginda saw ketika berhadapan dengan kejahatan kaum Quraisy pada zaman jahiliah.

Kesemua para Nabi akhirnya memperoleh ketenangan dan kebahagiaan.

Ketenteraman pasti mengiringi mereka yang cenderung kepada kedamaian.

2) Bentuk generasi yang baik

Anak sentiasa memerhati tingkah laku ibu bapa mereka.

Gerak-geri dan cara berfikir suami isteri menjadi teladan yang membentuk peribadi anak.

Oleh itu, setiap pasangan harus berusaha menanam benih akhlak terpuji dalam diri anak.

Hasilnya dapat dilihat apabila mereka membesar dan mampu mengharungi setiap cabaran hidup dengan bijaksana.

Suatu hari nanti, apabila anak membina keluarga mereka sendiri dan menerapkan prinsip akhlak yang telah ditanam, terbentuklah insan yang berakhlak mulia.

Pada hari itu, kita dapat mengukir senyuman dan mengucapkan syukur kepada Allah Azzawajalla.

Penulis ialah Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM). Beliau juga merupakan Ketua Jabatan Dakwah di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg