Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hargai nikmat meski di kala musibah

Jul 11, 2025 | 5:30 AM
Tatkala musibah melanda, usahlah kita beranggapan bahawa dunia ini hanyalah tempat penderitaan kerana kenangan manis yang silam tetap wujud dan kebiasaannya, kejayaan hanya dapat dicapai selepas melalui kepayahan dan kesakitan. 
Tatkala musibah melanda, usahlah kita beranggapan bahawa dunia ini hanyalah tempat penderitaan kerana kenangan manis yang silam tetap wujud dan kebiasaannya, kejayaan hanya dapat dicapai selepas melalui kepayahan dan kesakitan.  - Foto PIXABAY

TAFSIR SURAH ALI IMRAN

Surah Ali Imran ayat 122 hingga 131 diturunkan berkenaan dengan peristiwa Perang Uhud, yang kisahnya sangat terkenal dalam sejarah Islam.

Dalam membicarakan tentang Perang Uhud, Allah swt turut menyebut peristiwa Perang Badar.

Antara hikmah penyertaan kisah Perang Badar di tengah-tengah ayat-ayat ini ialah untuk menegaskan janji Allah swt kepada orang-orang beriman bahawa jika mereka bersabar dan bertakwa, pertolongan-Nya pasti akan tiba, dan rancangan musuh akan sentiasa digagalkan.

Maka, Allah swt menampilkan kedua-dua peristiwa ini sebagai contoh jelas bahawa janji-Nya pasti ditepati.

Dalam Perang Badar, Allah swt memberikan kemenangan kepada umat Islam kerana kesabaran dan ketakwaan mereka, meskipun bilangan mereka sedikit.

Manakala dalam Perang Uhud, mereka mengalami kekalahan kerana terdapat dalam kalangan mereka yang telah mengabaikan nilai ketakwaan dan mengejar kepentingan dunia.

Allah swt berfirman: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).” (Surah Ali Imran 123).

Di dalam ayat ini, Allah swt ingin mendidik para hamba-Nya agar ketika mereka ditimpa ujian yang tidak disukai iaitu kekalahan pada peperangan Uhud, mereka tidak lupa untuk mengingati pula nikmat yang pernah mereka kecapi, iaitu kemenangan semasa peperangan Badar.

Dengan mengimbas kembali perkara yang mereka sukai, kesedihan akan terasa lebih ringan, dan hati akan terdorong untuk bersyukur atas kurniaan Allah swt yang jauh lebih besar.

Apabila dibandingkan antara nikmat yang telah dirasai dengan musibah yang menimpa, maka
ujian itu akan kelihatan kecil dan tidak seberapa jika dibandingkan dengan anugerah yang telah dimiliki.

Ini merupakan satu pengajaran penting buat kita.

Tatkala musibah melanda, usahlah kita beranggapan dunia ini hanyalah tempat penderitaan kerana kenangan manis yang silam tetap wujud.

Kebiasaannya, kejayaan hanya dapat dicapai selepas melalui kepayahan dan kesakitan.

Kesedaran ini akan membuatkan kita berasa lebih tenang kerana kita faham bahawa setiap kesusahan pasti diiringi dengan kemudahan, dan setiap cabaran dalam hidup membawa bersamanya suatu pelajaran yang berharga buat diri kita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg