Hidupkan masa Syaaban dengan amal soleh
Allah swt bersumpah dengan masa dalam Surah al-‘Asr, suatu sumpah yang sangat besar nilainya, lalu Allah menegaskan bahawa manusia berada dalam kerugian.
Kerugian ini bukan kerana kekurangan harta atau kedudukan, tetapi kerana masa yang dikurniakan sering tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Ramai manusia menghabiskan masa untuk berlalai, bermaksiat, atau menangguhkan tanggungjawab, sehingga peluang untuk beramal dan mendekatkan diri kepada Allah berlalu begitu sahaja.
Peredaran masa adalah satu peringatan yang sangat mendalam – bahawa usia yang kita miliki sedang berkurang, dan detik pulang kepada Allah semakin hampir.
Masa itu adalah modal seorang mukmin
Bagi seorang mukmin, masa bukan sekadar peredaran masa dan hari, tetapi ia adalah modal kehidupan.
Para ulama silam memandang masa sebagai aset paling berharga, kerana dengannya seseorang boleh “berdagang” untuk memperoleh ganjaran yang kekal di akhirat.
Masa yang sama boleh membawa seseorang ke syurga atau menjerumuskannya ke arah penyesalan.
Sahabat Nabi Abdullah bin Mas‘ud ra, pernah berkata bahawa beliau tidak pernah menyesali sesuatu sebagaimana penyesalannya terhadap satu hari yang berlalu dan berkurang umurnya, namun tidak bertambah amalannya.
Ungkapan ini menunjukkan betapa sensitifnya para sahabat terhadap masa, sehingga satu hari yang berlalu tanpa kebaikan dirasakan sebagai kerugian yang amat besar.
Begitu juga al-Hasan al-Basri berkata: “Wahai anak Adam, sesungguhnya engkau hanyalah kumpulan hari. Apabila satu hari berlalu, maka sebahagian daripada dirimu turut pergi.”
Kata-kata ini menyedarkan kita bahawa masa bukan sesuatu yang terpisah daripada diri kita, bahkan ia adalah diri kita itu sendiri.
Oleh sebab itu, seorang Muslim yang bijak perlu membahagikan masanya dengan seimbang antara urusan dunia dengan akhirat.
Memanfaatkan masa merangkumi segala amalan yang diredai Allah.
Membaca Al-Quran, berzikir, bersolat dan berdoa adalah bentuk ibadah yang jelas tetapi bukan terbatas kepada ini sahaja.
Amalan baik seperti membantu orang yang berada dalam kesusahan, menunaikan hajat orang lain, berbakti kepada ibu bapa, pasangan dan keluarga, serta menjalankan amanah pekerjaan dengan jujur dan bersungguh-sungguh juga tergolong dalam amalan soleh.
Bahkan usaha memperbaiki diri dengan menuntut ilmu agama, mempelajari kemahiran baru dan meningkatkan keupayaan diri yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat juga adalah sebahagian daripada ibadah apabila diniatkan kerana Allah.
Para ulama terdahulu begitu menjaga masa sehingga ada yang membaca kitab walaupun ketika berjalan, kerana tidak mahu membiarkan masa berlalu tanpa meraih manfaat.
Masa yang sering dilalaikan
Namun realitinya, terdapat waktu-waktu tertentu yang sering dilalaikan oleh manusia.
Antara prinsip penting dalam Islam ialah berusaha melakukan ibadah dan kebaikan ketika orang lain berada dalam kelalaian.
Amalan seperti ini lebih berat bagi jiwa, tetapi lebih dicintai oleh Allah.
Salah satu contoh yang sangat jelas ialah semasa Syaaban.
Bulan ini berada di antara dua bulan yang besar, iaitu Rejab dan Ramadan, menyebabkan ramai yang tidak memberi perhatian yang sewajarnya terhadap bulan ini.
Imam Ibn Rajab menjelaskan bahawa Syaaban adalah bulan yang sering dilupakan kerana manusia sibuk dengan kemuliaan Rejab sebagai bulan haram dan persediaan menyambut Ramadan sebagai bulan puasa.
Akibatnya, Syaaban menjadi bulan yang sepi daripada amal, walaupun sebenarnya ia memiliki keistimewaan yang besar.
Ibn Rajab turut menjelaskan bahawa mengisi waktu-waktu ketika manusia lalai dengan ketaatan merupakan amalan yang sangat dicintai oleh Allah kerana ia lebih mencabar nafsu.
Manusia cenderung meniru keadaan sekelilingnya; apabila ramai beribadah, ibadah menjadi lebih muda kerana adanya sokongan.
Namun apabila kelalaian berleluasa, mereka yang ingin kekal konsisten akan berasa berat kerana ramai yang berada dalam keadaan lalai dan tidak bersungguh-sungguh untuk beramal.
Justeru, amalan yang dilakukan ketika ramai sedang lalai mempunyai nilai yang lebih besar di sisi Allah.
Sebahagian ulama silam menyatakan bahawa mereka yang mengingati Allah dalam kalangan mereka yang lalai adalah seperti seseorang yang mempertahankan barisan yang hampir kalah dalam peperangan.
Maka, janganlah kita menjadikan Syaaban ini kosong hanya dengan alasan bahawa kita boleh menjadi rajin apabila Ramadan tiba.
Persediaan buat bulan suci
Ramai beranggapan bahawa ibadah bersungguh-sungguh hanya perlu dilakukan apabila Ramadan tiba.
Hakikatnya, minda seperti ini perlu diperbaiki.
Syaaban sepatutnya menjadi medan latihan untuk membentuk tabiat yang baik sebelum memasuki bulan yang mulia.
Amalan yang dimulakan semasa Syaaban akan lebih mudah diteruskan dan diperkukuhkan ketika Ramadan.
Tanpa persediaan, mungkin kita lebih berat untuk melakukan yang terbaik semasa Ramadan.
Antara persediaan paling utama ialah membiasakan diri dengan berpuasa.
Aisyah ra meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Baginda berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadan, dan tidak pernah melihat Baginda paling banyak berpuasa dalam sesuatu bulan selain Syaaban.
Ini menunjukkan bahawa Syaaban adalah bulan latihan rohani, khususnya dalam ibadah puasa.
Bagi kita, latihan ini boleh dimulakan secara berperingkat, seperti berpuasa Isnin dan Khamis atau berpuasa pada hari-hari putih, iaitu tanggal 13, 14 dan 15.
Dengan latihan ini, tubuh dan jiwa akan lebih bersedia untuk menghadapi puasa Ramadan tanpa kejutan yang berat.
Selain berpuasa, hubungan dengan Al-Quran juga perlu dihidupkan sebelum setibanya Ramadan.
Ramadan dikenali sebagai bulan Al-Quran, bulan di mana wahyu diturunkan dan Al-Quran dibaca dengan lebih meluas.
Namun, seseorang yang jarang membaca Al-Quran sebelum Ramadan mungkin akan berasa berat untuk berinteraksi dengannya secara konsisten apabila Ramadan tiba.
Diriwayatkan daripada Anas ra bahawa para Muslim terdahulu apabila masuk Syaaban, mereka akan menumpukan perhatian kepada mushaf dan membacanya dengan bersungguh-sungguh.
Kesimpulannya, masa adalah nikmat yang amat besar dan ia adalah modal utama seorang Mukmin.
Syaaban, sebagai bulan yang sering dilalaikan, membuka peluang besar untuk mereka yang ingin menghidupkan masa menerusi ketaatan.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

