Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengajaran peristiwa Israk Mikraj bagi umat

Baginda diperlihat pelbagai kejadian luar biasa di langit termasuk gambaran segelintir manusia yang diazab kerana dosa-dosa tertentu
Jan 24, 2025 | 5:30 AM
Antara pengajaran besar yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah memahami dengan lebih mendalam perkara yang disaksikan oleh Baginda serta betapa beratnya balasan daripada dosa-dosa yang dilakukan manusia semasa hayatnya.
Antara pengajaran besar yang dapat diambil daripada peristiwa Israk Mikraj ialah memahami dengan lebih mendalam perkara yang disaksikan oleh Baginda serta betapa beratnya balasan daripada dosa-dosa yang dilakukan manusia semasa hayatnya. - Foto hiasan

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan salah satu mukjizat terbesar Nabi Muhammad saw yang memperlihatkan kekuasaan Allah swt.

Dalam perjalanan luar biasa ini, Baginda dibawa dari Makkah ke Baitulmakdis, kemudian merentasi tujuh lapisan langit sehingga bertemu dengan Allah swt.

Sepanjang perjalanan ini, Baginda juga diperlihatkan pelbagai kejadian luar biasa di langit termasuk gambaran segelintir manusia yang diazab kerana dosa-dosa tertentu yang akan berlaku pada hari kiamat nanti.

Antara pengajaran besar yang dapat diambil daripada peristiwa ini ialah memahami dengan lebih mendalam perkara yang disaksikan oleh Baginda serta betapa beratnya balasan daripada dosa-dosa tersebut.

Ini seharusnya menjadi pengajaran bagi kita agar dapat menjauhi perbuatan yang membawa kepada kemurkaan Allah swt.

Elak daripada mengabaikan kewajipan rukun Islam

Antara perkara yang disebut dalam kitab-kitab sirah ialah ketika Baginda diperlihatkan satu kaum yang kepala mereka dihentak dengan batu.

Setiap kali kepala mereka dihentak, ia kembali seperti sediakala, lalu dihentak semula berulang kali.

Baginda bertanya: “Wahai Jibrail, siapakah mereka ini?” Jibrail menjawab: “Mereka adalah golongan yang berat untuk menunaikan solat.”

Kemudian, Baginda melewati satu kaum yang koyak di hadapan dan belakang tubuh mereka, dan mereka merayau-rayau seperti haiwan ternakan sambil memakan pohon berduri dari buah zaqqum serta bara api dari neraka.

Baginda bertanya: “Wahai Jibrail, siapakah mereka ini?” Jibrail menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang tidak menunaikan zakat.”

Kedua-dua gambaran ini mengingatkan kita akan kepentingan menunaikan kewajipan agama, bermula dengan lima rukun Islam.

Dalam peristiwa ini, solat dan zakat diberikan penekanan kerana solat merupakan ibadah yang perlu dilakukan setiap hari manakala zakat pula ditunaikan setiap tahun.

Solat melambangkan hubungan peribadi kita dengan Allah swt.

Keutamaan yang kita berikan kepada solat mencerminkan sejauh mana cinta dan keikhlasan kita kepada-Nya.

Zakat pula melambangkan hablum minannas – tanggungjawab sosial kita sebagai seorang Muslim untuk membantu anggota masyarakat yang memerlukan.

Islam bukan sekadar tentang perjalanan rohani individu, tetapi juga menitikberatkan hal ehwal orang lain sehingga membantu orang lain termasuk usaha kita untuk mencapai syurga Allah swt.

Disebabkan kepentingan yang besar ini, Allah swt memperlihatkan kepada Baginda azab yang amat dahsyat bagi mereka yang mengabaikan kewajipan ini, supaya ia menjadi iktibar buat umat Islam.

Oleh itu, marilah kita mengambil peringatan ini secara serius dengan menitikberatkan solat lima waktu dan menunaikan zakat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang dilihat oleh Baginda.

Balasan mereka yang mengkhianati amanah

Selain tanggungjawab kita kepada Allah swt, antara peristiwa yang diperlihatkan kepada Baginda ialah seorang lelaki yang mengumpulkan satu bebanan besar yang tidak mampu dipikulnya, namun dia tetap berusaha menambah lagi barang di atasnya.

Baginda bertanya: “Wahai Jibrail, siapakah lelaki ini?” Jibrail menjawab: “Ini adalah seorang lelaki daripada umatmu yang memikul amanah yang tidak mampu ditunaikannya, namun dia tetap menambah beban tersebut.”

Kemudian, Baginda juga diperlihatkan satu kaum yang bibir mereka seperti bibir unta, dan telah ditugaskan kepada mereka seseorang yang menarik bibir mereka, lalu memasukkan batu dari api neraka ke dalam mulut mereka sehingga ia keluar melalui bahagian bawah tubuh mereka.

Baginda bertanya: “Wahai Jibrail, siapakah mereka ini?” Jibrail menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim.”

Melalui gambaran ini, Allah swt mengingatkan umat Islam akan kepentingan menjaga amanah yang diberikan kepada mereka.

Amanah bukan sekadar tanggungjawab, tetapi juga satu bentuk janji yang kita pikul atas dasar kepercayaan.

Mengkhianati amanah bererti mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan, sama ada dalam pekerjaan, dalam persahabatan atau dalam hubungan kekeluargaan.

Kisah ini mengingatkan kita agar tidak mengambil tanggungjawab yang berada di luar kemampuan kita sehingga akhirnya kita gagal menunaikannya dengan baik.

Jangan menjadi seorang yang sentiasa berkata “ya”, atau sekadar ingin menyenangkan hati orang lain, tetapi fokuslah kepada tugas yang benar-benar mampu dilaksanakan dengan baik.

Dengan cara ini, kita akan menjadi seorang Muslim yang dipercayai dan berintegriti dalam setiap amanah yang kita pikul.

Gambaran kedua menunjukkan akibat yang mengerikan apabila amanah disalah gunakan.

Seseorang yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga harta anak yatim memikul satu amanah besar kerana anak yatim masih kecil dan lemah, serta tidak berdaya mempertahankan haknya.

Oleh itu, ancaman terhadap mereka yang menghabiskan atau merampas harta anak yatim secara zalim adalah lebih berat dan keras.

Hanya manusia yang jahat akan mengambil kesempatan ke atas anak kecil yang tidak berdaya untuk memenuhi kepentingan dirinya sendiri.

Oleh itu, mereka yang mengkhianati kepercayaan ini akan menerima balasan yang setimpal.

Adalah lebih baik untuk tidak menerima sesuatu amanah jika kita tidak mampu menunaikannya, daripada menerima amanah tetapi kemudian mengkhianatinya, kerana setiap amanah akan dipersoalkan di hadapan mahkamah Allah swt kelak.

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa

Baginda juga melewati satu kaum yang memiliki kuku daripada tembaga, dan mereka mencakar wajah serta dada mereka sendiri.

Baginda bertanya: “Wahai Jibrail, siapakah mereka ini?” Jibrail menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan daging manusia dan mencemarkan maruah serta kehormatan orang lain (dengan mengumpat dan membuat fitnah).”

Gambaran sebelumnya menunjukkan dosa yang melibatkan hak Allah swt dan hak manusia, manakala gambaran ini pula memperlihatkan akibat dahsyat bagi mereka yang berdosa terhadap orang lain melalui lidah mereka.

Nasib yang mengerikan menanti mereka yang melakukan fitnah tanpa bukti dan suka mengumpat berkenaan urusan orang lain.

Dalam dunia moden dengan suara kita semakin diperkukuh oleh media sosial, kita perlu lebih berhati-hati dengan setiap kata yang kita ucapkan atau tulis tentang orang lain.

Jika kita mengumpat atau memfitnah seseorang di laman media sosial, dosa kita menjadi lebih besar kerana ia tersebar kepada lebih ramai orang.

Lebih buruk lagi apabila seseorang membuka aib ahli keluarganya sendiri, yang sepatutnya dijaga dan dilindungi.

Oleh itu, kita harus sentiasa berfikir sebelum mengucapkan sesuatu agar tidak membawa kebinasaan kepada diri sendiri dan orang lain.

Iktibar peristiwa

Apa yang telah dibincangkan jarang dikongsi kerana lebih banyak perhatian biasanya diberikan kepada pertemuan Baginda dengan para nabi lain ketika mengingat peristiwa agung ini.

Namun, gambaran azab yang ditunjukkan kepada Baginda merupakan peringatan penting bagi kita untuk berhenti sejenak dan bermuhasabah.

Ia mengajak kita untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik, yang bukan sahaja menjaga hubungan dengan Allah swt tetapi juga dengan sesama manusia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg