Kerencaman atau kepelbagaian adalah fitrah dalam ciptaan Allah swt.
Ia wujud dalam pelbagai bentuk dan rupa, sama ada yang bernyawa seperti haiwan dan manusia, ataupun ciptaan tidak bernyawa seperti gunung-ganang.
Firman Allah swt dalam Surah Faathir, ayat 27, yang bermaksud:
“Tidakkah engkau lihat bahawa Allah telah menurunkan dari langit air (hujan) maka Kami keluarkan daripadanya buah-buahan yang berlainan warnanya”.
Ayat yang sama turut menyentuh kepelbagaian warna dan bentuk gunung-ganang – menandakan bahawa kerencaman adalah satu kebijaksanaan ciptaan Tuhan, bukan kebetulan semata-mata.
Allah swt berfirman dalam Surah Hud, ayat 118:
“Dan jika Tuhanmu kehendaki, pasti Dia menciptakan manusia sebagai umat yang satu (tanpa perbezaan dan kepelbagaian)”.
Namun realiti yang kita saksikan hari ini menunjukkan manusia datang daripada pelbagai bangsa, bahasa, budaya dan latar belakang – walaupun semuanya berasal daripada keturunan Nabi Adam as.
Jadi apakah hikmah di sebalik kepelbagaian ini?
Allah swt menjawab persoalan itu dalam Surah Al-Hujurat, ayat 13, dengan menyatakan bahawa tujuan kepelbagaian ini adalah “supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain”.
Maka, hidup bermasyarakat dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan manusia merupakan sebahagian daripada sunatullah, iaitu hukum yang Allah swt tetapkan dalam mengatur keadaan ciptaan-Nya.
Bahkan, jika kita fahami dengan lebih mendalam maksud ayat 56 daripada Surah Az-Zariyat – yang mana Allah swt menyebutkan tujuan ciptaan jin dan manusia adalah semata-mata untuk menyembah-Nya – tidak salah untuk kita katakan hidup bermasyarakat merupakan antara bentuk ibadah umum yang harus kita laksanakan.
Apabila kita merenung kehidupan di Singapura – sebuah masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama – kita sebenarnya berada dalam kedudukan yang amat baik untuk menghayati perintah Ilahi ini.
Tiada hari berlalu tanpa pertemuan atau perbualan antara individu berlainan bangsa dan kepercayaan.
Sebagai contoh, penggubalan Dasar Integrasi Etnik dalam estet perumahan di Singapura bererti kita tidak hidup terpisah dan terpencil daripada masyarakat lain.
Mungkin ada dalam kalangan kita yang tidak setuju dengan dasar tersebut, namun matlamatnya selari dengan apa yang disebutkan di dalam Al-Quran.
Kewujudan pertubuhan yang menggalakkan keharmonian kaum dan agama seperti Pusat Harmoni di Masjid An-Nahdhah dan Harmony Circle di kelab masyarakat serata Singapura juga memberi kesempatan untuk mengetahui dan memahami lebih lanjut tentang adat dan budaya masyarakat Singapura secara menyeluruh.
Perkara ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam sejarah Islam. Sebaliknya, ia telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad saw ketika Baginda berhijrah ke Madinah.
Meskipun kebanyakan penduduk Madinah pada waktu itu beriman kepada Baginda saw dan melantiknya sebagai ketua negara, Baginda tetap menyertakan orang Yahudi dan Arab yang belum beriman dalam penggubalan sistem pentadbiran di Madinah.
Piagam Madinah jelas memperlihatkan bagaimana Rasulullah saw menjamin kesaksamaan dan perlindungan kepada seluruh penduduk Madinah tanpa mengira bangsa atau agama.
Setiap aduan dibicarakan secara adil, tanpa layanan istimewa buat orang Islam. Penduduk Madinah juga hidup dan berdagang secara terbuka, tanpa sekatan agama.
Ini dapat dilihat menerusi hadis tentang seorang Yahudi yang menuntut hutang daripada Rasulullah saw, dan bagaimana Baginda menegur tindakan kasar Umar ra terhadap lelaki itu, yang sekadar menuntut haknya.
Bahkan, amalan berpuasa pada Hari Asyura juga memperlihatkan keterbukaan Rasulullah saw terhadap tradisi agama lain.
Ketika Baginda saw melihat orang Yahudi berpuasa bagi memperingati hari Nabi Musa as diselamatkan daripada Firaun, Baginda saw bersabda:
“Aku lebih berhak ke atas Musa daripada kamu.”
Lalu Baginda saw mula berpuasa dan memerintahkan umat Islam berpuasa pada Hari Asyura.
Kededua kisah itu mencerminkan bahawa keharmonian kaum dan hubungan saling mengenali telah pun wujud sejak zaman Rasulullah saw.
Sayangnya, kefahaman tentang nilai ini seolah-olah semakin dilupakan dan tidak lagi diberi perhatian sewajarnya.
Dalam dunia yang penuh konflik – sama ada di Timur Tengah mahupun Eropah – perintah Allah swt untuk saling mengenali antara satu sama lain menjadi benteng penting agar kemelut yang sedia ada tidak merebak dan menjadi lebih keruh.
Daripada menuding jari, bukankah lebih baik bagi kita mencontohi sunah Rasulullah saw – memulakan langkah perdamaian, membawa pihak bertelagah ke meja rundingan dan terus menegakkan keadilan serta kesaksamaan.
Pada masa sama, usaha mengekalkan keharmonian kaum dan agama perlu diteruskan – bahkan boleh diterajui masyarakat Islam setempat.
Anggaplah ia sebagai satu bentuk dakwah, dengan menonjolkan akhlak dan nilai yang kita perolehi daripada Al-Quran dan sunah Rasulullah saw.
Jika sebelum ini kita menganggap keharmonian kaum sebagai sesuatu yang asing daripada ajaran Islam, ubahlah tanggapan itu.
Kepelbagaian adalah ciptaan Allah swt dan perintah untuk saling mengenali adalah tanggungjawab kita.
Hanya dengan saling menghormati dan memelihara hubungan, kita dapat merealisasikan tujuan sebenar ciptaan ini.
Penulis seorang pendakwah bebas yang berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg