Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hidupkan nilai Islam dalam urus pendapat berbeza

Teladani sikap para nabi ketika berdepan khilaf demi jaga ukhuwah
Jun 8, 2025 | 5:30 AM
debate, perbezaan pendapat
Antara pengajaran penting daripada kisah Nabi Musa as ialah: walaupun kita yakin kebenaran berpihak kepada kita, cara penyampaian mestilah penuh hikmah, berhemah dan mencerminkan akhlak Islam yang tinggi. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Sebagai orang beriman yang diamanahkan sebagai khalifah di atas muka bumi, setiap di antara kita mempunyai matlamat hidup yang sama – untuk melaksanakan setiap perintah Allah swt dan memperolehi keredaan-Nya.

Untuk memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Allah swt, kita dibekalkan oleh Rasulullah saw dengan dua perkara yang akan terus membimbing kita: Al-Quran serta sunah Baginda saw.

Pesan Baginda saw, selagi mana kita berpegang teguh pada kededua sumber ini, maka kita tidak akan tersesat selamanya.

Namun, berpegang kepada sumber tersebut bukanlah sekadar memahami makna ayat-ayat Al-Quran dan hadis Baginda saw sahaja.

Sebaliknya, ia memerlukan penghayatan yang lebih mendalam dan mengetahui ilmu-ilmu yang terkait seperti asbabun nuzul (sebab penurunan ayat Al-Quran) dan sebagainya.

Di sini, peranan ulama yang mendalami pelbagai bidang ilmu agama sangat dibutuhkan oleh setiap lapisan masyarakat untuk membantu memastikan pemahaman Al-Quran dan sunah berada di landasan yang benar.

Namun begitu, sebagai manusia berdaya fikiran yang mempunyai latar belakang ilmu dan pengalaman yang berbeza, sudah tentu terdapat perbezaan pendapat yang timbul dalam memahami teks agama yang sama.

Perbezaan pendapat bukanlah satu perkara yang luar biasa.

Ia bukanlah petanda kelemahan ilmu, sebaliknya ia adalah lumrah penciptaan manusia.

Perbezaan pendapat bukan sekadar berlaku dalam kalangan insan biasa, tetapi juga pernah berlaku dalam kalangan sahabat serta para utusan Allah swt.

Tatkala berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan kita, sangat penting untuk setiap individu meleraikannya dengan meletakkan tepi sikap “akulah yang benar”.

Kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as ketika Bani Israel telah diselewengkan oleh Samiri – seorang daripada kalangan mereka yang mencetuskan fitnah dan menyesatkan kaum dengan tipu dayanya – mempunyai pengajaran yang boleh dijadikan sebagai panduan dalam hal ini.

Di dalam surah Al-A’raaf, ayat 150, Allah swt menceritakan bagaimana tatkala Nabi Musa as kembali kepada kaumnya dan mendapati mereka telah tersesat semasa ketiadaannya.

Baginda segera mendekati saudaranya, Nabi Harun as, lalu mempersoalkan tindakannya.

Pada ketika itu, Nabi Musa as menyangka bahawa saudaranya telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya dan membiarkan kaumnya terjerumus dalam kesesatan.

Namun setelah Nabi Harun as menjelaskan bahawa beliau telah menasihati mereka, bahkan diancam untuk dibunuh, maka barulah Nabi Musa as menyedari keadaan sebenar.

Lantas, beliau memohon ampun kepada Allah swt, bukan sahaja bagi dirinya tetapi juga bagi Nabi Harun as, seperti yang dirakamkan dalam ayat 151 dalam surah yang sama.

Jika kesalahan Nabi Harun as adalah kerana tidak mampu menghalang kaumnya daripada mengikuti Samiri, apakah kesalahan Nabi Musa as yang mendorongnya untuk memohon keampunan daripada Allah swt dalam kisah tersebut?

Antaranya ialah sikap baginda yang menuduh saudaranya dengan melulu ketika melihat kaum mereka telah sesat sewaktu ketiadaannya.

Nabi Musa as telah memohon pengampunan daripada Allah swt kerana prasangkanya terhadap seorang nabi yang lain.

Setelah itu, kededua mereka telah berhadapan dengan Samiri untuk menyelesaikan masalah yang ada ketika itu.

Nabi Musa as, yang terkenal dengan kekuatan fizikalnya, beranggapan bahawa kesesatan kaumnya boleh ditegah dari awal dengan pendekatan tegas dan ketegasan fizikal.

Sebaliknya, Nabi Harun as, yang tidak memiliki kekuatan yang sama, memilih untuk bersabar dan menunggu kepulangan saudaranya.

Tujuannya adalah agar penyelesaian dapat dicapai tanpa pertumpahan darah dan kerosakan yang lebih besar.

Bagi kita yang hidup di akhir zaman yang penuh dengan khilaf dan salah faham yang mudah tersebar luas melalui wadah teknologi dan laman sosial, pengajaran daripada kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as ini sangat penting untuk kita menelusuri kehidupan di dunia.

Setiap daripada kita menginginkan kebenaran, namun adakah kebenaran yang kita pegang itu menafikan sama sekali pandangan pihak lain, terutamanya jika mereka juga saudara seagama?

Dengan kita berada dalam bulan Zulhijah, sebahagian daripada kita dijemput oleh Allah swt untuk menjadi tetamu-Nya dan menunaikan ibadah haji.

Bagi yang lain pula, kita digalakkan memperbanyakkan amal soleh dalam 10 hari pertama Zulhijah – seperti berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijah) dan melaksanakan ibadah korban.

Setiap amal ibadah yang kita lakukan adalah ikhlas kerana Allah swt dan berdasarkan pemahaman agama yang dimiliki.

Justeru, janganlah kita cemari nilai ibadah ini dengan sikap memperlekehkan amalan orang lain atau mencetuskan perbalahan, sehingga menghilangkan keberkatan dan ganjaran yang disediakan.

Antara pengajaran penting daripada kisah Nabi Musa as ialah: walaupun kita yakin kebenaran berpihak kepada kita, cara penyampaian mestilah penuh hikmah, berhemah dan mencerminkan akhlak Islam yang tinggi.

Ingatlah, kebenaran itu mutlak milik Allah swt.

Kita sebagai manusia hanya mampu berusaha menggapainya, setakat yang diizinkan ilmu dan kemampuan kita.

Tugas sebagai khalifah bukan untuk menghukum siapa benar atau salah, tetapi untuk memahami, menyampaikan dan menghayati kebenaran itu dengan penuh amanah dan adab.

Penulis seorang pendakwah bebas yang berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai ketua komunikasi strategik dan pelibatan masyarakat di Masjid En-Naeem.

“Bagi kita yang hidup di akhir zaman yang penuh dengan khilaf dan salah faham yang mudah tersebar luas melalui wadah teknologi dan laman sosial, pengajaran daripada kisah Nabi Musa as dan Nabi Harun as ini sangat penting untuk kita menelusuri kehidupan di dunia. ... Walaupun kita yakin kebenaran berpihak kepada kita, cara penyampaian mestilah penuh hikmah, berhemah dan mencerminkan akhlak Islam yang tinggi.”
– Penulis.
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg