Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keutamaan puasa enam Syawal

Apr 6, 2025 | 5:30 AM
Puasa enam hari pada Syawal berperanan menyempurnakan kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan.
Puasa enam hari pada Syawal berperanan menyempurnakan kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan. - Foto hiasan ADOBE STOCK

Minal ‘aidin wal faizin, taqaballahu minna wa minkum wa solih al-a’mal.

Pada pagi Syawal, ucapan ini sering kita dengar – ungkapan yang bukan sekadar tradisi, namun doa agar kita kembali kepada fitrah dan semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah swt.

Pada pagi Aidilfitri, umat Islam berkumpul di masjid berhampiran untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, mengenakan pakaian yang indah, sering kali ditempah khas untuk meraikan hari kemenangan ini.

Tidak lengkap juga tanpa hidangan istimewa yang memeriahkan meja – ketupat, lontong dan rendang, ditemani kuih-muih tradisional seperti tat nenas, suji dan makmur.

Selain menikmati pelbagai juadah, Syawal juga menjadi kesempatan terbaik untuk menziarahi keluarga dan sanak saudara, menyuburkan kembali silaturahim yang mungkin terabai oleh kesibukan kehidupan.

Kemenangan yang sebenar

Sabda Rasulullah saw: “Barang siapa yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh keimanan dan harapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Dengan itu, kita meraikan kemenangan yang sebenar, setelah melalui ‘proses penyucian’ selama sebulan.

Kita kembali kepada fitrah sebagai hamba Allah swt, yang diciptakan untuk menyembah-Nya.

Alhamdulillah atas anugerah Allah swt yang memberi kita Ramadan, sebagai peluang untuk menyucikan dan memperbaiki diri, baik dari segi jasmani mahupun rohani.

Dalam kita berseronok menziarahi keluarga, sahabat handai, serta guru-guru yang sudah lama tidak kita temui, jangan lupa untuk berpuasa enam hari pada Syawal.

Puasa enam Syawal adalah puasa sunat yang dilakukan selama enam hari selepas Hari Raya Aidilfitri.

Puasa ini memiliki keutamaan besar, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Rasulullah saw:

“Barang siapa yang berpuasa Ramadan, kemudian mengikutinya dengan enam hari pada Syawal, maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim).

Hikmah puasa enam

Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitab Latha’if al-Ma’arif menjelaskan beberapa hikmah di sebalik puasa sunat enam hari Syawal:

Pertama, berpuasa enam hari Syawal selepas Ramadan akan menyempurnakan ganjaran seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

Kedua, puasa Syawal dan puasa Syaaban boleh diibaratkan seperti solat sunat rawatib – sama ada sebelum (qabliyah) atau selepas (ba’diyah) solat fardu.

Amal sunat seperti ini berperanan menyempurnakan kekurangan yang mungkin terdapat dalam ibadah wajib kita.

Setiap manusia pasti memiliki kelemahan dalam amal ibadahnya dan amalan sunat ini yang menjadi pelengkap dan penyempurnanya.

Ketiga, kebiasaan meneruskan puasa selepas Ramadan adalah tanda bahawa puasa Ramadan seseorang itu diterima oleh Allah swt.

Ini kerana apabila Allah swt menerima amal seseorang, Dia akan memberi petunjuk dan kemudahan untuknya terus beramal soleh.

Keempat, setelah Allah swt memberi petunjuk serta kemudahan untuk kita menunaikan puasa Ramadan dan menjanjikan pengampunan dosa, wajar bagi kita mensyukurinya dengan meneruskan ibadah puasa selepas Ramadan.

Rasa syukur seharusnya tidak terhad kepada Ramadan sahaja, malah berterusan sepanjang hayat kita.

Para ulama salaf turut menunjukkan contoh ini – jika malam mereka dihiasi dengan solat malam, siang mereka diisi dengan puasa sebagai tanda syukur kepada Allah swt.

Kelima, puasa mengajar kita mengawal hawa nafsu, menjaga lisan, serta meningkatkan kesabaran dalam kehidupan seharian.

Setelah sebulan berjaya mendidik diri pada Ramadan, usaha itu tidak seharusnya terbatas kepada satu bulan sahaja.

Sebaliknya, kita perlu terus membina kesabaran dan disiplin sehingga ia menjadi sebahagian daripada keperibadian kita.

Keenam, dari sudut kesihatan, puasa membantu nyah toksik tubuh, meningkatkan metabolisme, serta mengekalkan keseimbangan berat badan.

Ketika meraikan Lebaran, dengan ramai yang cenderung makan secara berlebihan, puasa enam Syawal boleh menjadi kaedah terbaik untuk mengembalikan pola pemakanan yang lebih sihat.

Apabila kesihatan terjaga, tubuh akan lebih ringan untuk beribadah – bukan sahaja memudahkan kita untuk tekal, malah memberi semangat untuk meningkatkan lagi amal ibadah.

Puasa enam tanda penghargaan nikmat Tuhan

Berpuasa selama setahun bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas terik di Singapura yang boleh menjadi cabaran besar.

Namun Allah swt, dengan kasih sayang-Nya, telah ‘menghadiahkan’ kita dengan puasa enam Syawal, yang ganjarannya menyamai pahala berpuasa sepanjang tahun.

Ibaratnya, kita diberi peluang mendapatkan sesuatu yang sangat berharga dengan ‘diskaun’ yang luar biasa – sudah tentu kita tidak akan melepaskan peluang ini kerana manfaatnya begitu besar.

Mari bersama kita niat melaksanakan puasa enam Syawal dan berdoa agar Allah swt mempermudahkannya bagi kita.

Segala amalan yang baik bermula dengan niat yang ikhlas, dan dengan pertolongan-Nya, pasti kita mampu melaksanakannya.

Akhir sekali, semakin bertambah usia kita, seharusnya mutu ibadah kita juga semakin meningkat, seiring dengan ilmu yang telah kita pelajari dan amalkan.

Ramadan yang berlalu tidak seharusnya sekadar menjadi satu rutin tahunan, namun perlu menjadi titik tolak untuk mendekatkan diri kepada Allah swt dan memperbaiki diri agar kita sentiasa berada dalam perjalanan menuju keredhaan-Nya.

Berpuasa selama setahun bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi dengan cuaca panas terik di Singapura yang boleh menjadi cabaran besar. Namun Allah swt, dengan kasih sayang-Nya, telah ‘menghadiahkan’ kita dengan puasa enam Syawal, yang ganjarannya menyamai pahala berpuasa sepanjang tahun. Ibaratnya, kita diberi peluang mendapatkan sesuatu yang sangat berharga dengan ‘diskaun’ yang luar biasa – sudah tentu kita tidak akan melepaskan peluang ini kerana manfaatnya begitu besar.
Penulis.

Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg