Dunia hari ini bergerak begitu pantas.
Tuntutan semasa dalam usaha menyara kehidupan yang baik dan selesa semakin mencabar.
Bagi yang berkerjaya dan telah mendirikan rumah tangga, tuntutan mengecapi keseimbangan antara kerjaya dengan keluarga amat mencabar bagi sebahagian keluarga Islam.
Tuntutan mempunyai kerjaya cemerlang dan stabil, di samping membina keluarga yang berjaya, sering dilihat sukar untuk diselaraskan.
Namun, dengan keupayaan, disiplin serta perancangan rapi, keseimbangan yang diharapkan tetap mampu dicapai.
Islam menitikberatkan prinsip keseimbangan dalam semua perkara – daripada aspek pemakanan, minuman dan gaya hidup, sehingga dalam urusan ibadah. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya tubuh badan kamu itu mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah kepada setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu haknya.” (HR Tirmidzi).
Melalui hadis ini, Rasulullah saw mengingatkan umatnya tentang kepentingan keseimbangan dalam memenuhi tuntutan dan keperluan kehidupan.
Baginda juga menegaskan keperluan bersikap adil serta tidak menzalimi hak orang lain, kerana setiap sesuatu mempunyai haknya yang tersendiri.
Sebagaimana pekerjaan merupakan satu amanah yang mempunyai tanggungjawabnya, begitu juga hubungan kekeluargaan – ia adalah amanah yang tidak boleh diabaikan.
Berpandukan nilai dan prinsip yang digariskan dalam hadis ini, kita dapat mengambil beberapa petunjuk sebagai panduan mencapai keseimbangan antara kerjaya dengan keluarga.
Ibadah bermaksud mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Esa.
Ia dicapai melalui ketaatan kepada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Ibadah tidak hanya terbatas kepada amalan rohani seperti solat dan puasa, malah ia bersifat menyeluruh apabila kita memahami makna dan tujuan kehidupan. Allah swt berfirman dalam Surah Az-Zariyat, ayat 56:
“Dan tidaklah Kami (Allah) menjadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaku.”
Persoalannya, bagaimana kerjaya dan kehidupan berkeluarga dapat dijadikan satu bentuk ibadah?
Pertama, melalui kesedaran tuntutan bekerja adalah perintah daripada Allah dan Rasul-Nya.
Setiap perintah Allah dan Rasul-Nya merupakan ibadah apabila dilaksanakan dengan niat yang benar.
Allah swt memerintahkan kita mencari rezeki bagi diri sendiri serta mereka yang berada di bawah tanggungan, seperti isteri dan anak. Firman Allah swt dalam Surah Al-Jumu‘ah, ayat 10:
“Dan apabila kamu telah selesai mengerjakan solat (Jumaat), maka bertebarlah di bumi ini untuk mencari kurniaan Allah. Ingatlah Allah sebanyaknya supaya kamu berjaya.”
Sabda Baginda saw: “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila beliau mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang di bawah tanggungannya.” (HR Abu Daud).
Kedua, melalui kesedaran tanggungjawab menguruskan keluarga juga merupakan perintah daripada Allah dan Rasul-Nya, sekali gus dianggap sebagai ibadah.
Menguruskan keluarga merangkumi pemberian pendidikan kepada anak serta memenuhi keperluan emosi dan rohani mereka. Rasulullah saw bersabda:
“Tiadalah pemberian seorang bapa kepada anaknya yang lebih baik daripada adab yang baik.” (HR Tirmidzi).
Pengurusan masa adalah aspek penting dalam menangani kesibukan harian.
Tidak dapat dinafikan, sesetengah pekerjaan menuntut agar kita sentiasa bersedia bertugas pada bila-bila masa, termasuk pada hari rehat.
Namun, keutamaan tetap perlu diberikan kepada kebajikan dan keperluan keluarga.
Jika pengurusan masa dilakukan dengan baik, insya-Allah hasilnya akan positif.
Sebaliknya, pengabaian boleh menimbulkan kesan negatif dalam jangka panjang.
Rasulullah saw disifatkan sebagai seorang yang bijak mengimbangi hari-harinya.
Sayidatina Aisyah ra pernah ditanya oleh Al-Aswad tentang kegiatan Baginda di rumah.
Aisyah berkata: “Adalah beliau (Rasulullah) itu sentiasa bertugas untuk anggota keluarganya. Apabila waktu solat tiba, beliau segera tunaikan solat.” (HR Bukhari).
Selain masa, aspek tenaga juga penting.
Penggunaan tenaga secara berlebihan, sama ada fizikal atau mental, terhadap kerja boleh memberi kesan negatif pada hubungan dan sikap kita terhadap keluarga.
Begitu juga sebaliknya, jika terlalu dikerahkan untuk keluarga, tenaga kita untuk pekerjaan mungkin terjejas.
Justeru, bagaimana caranya untuk mengimbangi kedua-duanya?
Cadangan amali ialah dengan menyusun jadual.
Tetapkan waktu khusus untuk bersama keluarga, sama ada mingguan atau harian jika mampu.
Maklumkan jadual itu kepada anggota keluarga supaya mereka dapat bersedia, menghargai dan menyokong komitmen anda.
“Doa itu adalah senjata orang Mukmin,” begitulah pesanan Nabi kita, Nabi Muhammad saw.
Akhirnya, apa yang kita harapkan adalah agar setiap urusan dipermudahkan oleh-Nya.
Kita memohon agar Allah sentiasa menganugerahkan taufik (panduan dan pertolongan) dan hidayah-Nya (bimbingan-Nya) dalam menunaikan amanah yang berat sebagai ketua keluarga.
Dialah sumber kekuatan kita, dan hanya Dia yang akan menunjukkan jalan.
Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat-Nya, amin.
Penulis ialah Timbalan Pendaftar dan Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg