Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemuliaan Zulhijah dan makna pengorbanan sebenar

Ibadah haji, korban dilakukan lambang pengabdian kita kepada Allah
Jun 1, 2025 | 5:30 AM
Haji, Islam
Pengorbanan paling utama dalam agama ialah pengorbanan demi keredaan Allah swt. Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas, berserta niat yang murni, pasti tidak akan disia-siakan oleh-Nya.  - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

“Labbaikallahumma labbaik.”

Inilah seruan yang sering kita dengar apabila tiba musim haji, seruan yang diulang-ulang, sama ada dalam perjalanan atau ketika berada di tanah suci Makkah.

Lebih-lebih lagi apabila kita berada dalam Zulhijah, bulan yang menyaksikan umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu ibadah haji.

Kemuncak ibadah haji terletak pada Hari Arafah, iaitu pada 9 Zulhijah.

Ia adalah hari yang sangat penting dan mustahak bagi jemaah haji, kerana pada hari inilah mereka akan berwukuf (berhenti dan berada di Arafah).

Tanpa wukuf, ibadah haji seseorang tidak sah.

Zulhijah merupakan salah satu daripada bulan haram dan di dalamnya terkandung hari-hari yang begitu istimewa buat umat Islam, khususnya Hari Raya Aidiladha.

Perayaan ini disambut pada 10 Zulhijah dan dikenali juga sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.

Ia memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim as, yang bersedia menyembelih anaknya, Nabi Ismail as, demi mentaati perintah Allah swt.

Maksud korban

Perkataan korban berasal daripada perkataan Arab, qurban, yang bermaksud mendekatkan diri kepada Allah swt.

Dalam konteks ibadah, korban merujuk kepada penyembelihan haiwan tertentu seperti kambing, lembu atau unta pada Hari Raya Aidiladha dan hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah), sebagai bentuk pengabdian dan ketaatan kepada Allah swt.

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail

Kisah Nabi Ibrahim as menerima wahyu melalui mimpi untuk menyembelih anaknya adalah antara peristiwa teragung dalam sejarah Islam.

Nabi Ibrahim as menerima perintah tersebut melalui mimpi sebanyak tiga kali.

Sebagai seorang nabi, baginda memahami bahawa mimpi itu adalah wahyu daripada Allah swt.

Dengan penuh keimanan, baginda menyampaikan perkara itu kepada anaknya, Nabi Ismail as, yang ketika itu masih remaja.

Menakjubkan, Nabi Ismail as langsung tidak membantah. Sebaliknya, dengan hati yang reda dan taat, baginda berkata:

“Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah, engkau akan mendapati aku dalam kalangan orang yang sabar.”

Saat Nabi Ibrahim as hampir melaksanakan perintah itu, Allah swt menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas (domba) sebagai tanda bahawa pengorbanan dan ketaatan mereka telah diterima.

Peristiwa penuh keinsafan ini tercatat dalam Surah As-Saffat, ayat 102.

Keajaiban, rahmat Allah

Allah swt menunjukkan kasih sayang-Nya dengan menggantikan Nabi Ismail as dengan seekor kibas (domba).

Peristiwa penuh keinsafan ini merupakan lambang ketaatan dan pengorbanan yang luar biasa.

Surah As-Saffat ayat 107 hingga 108 menyebut:

“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian.”

Peristiwa agung ini bukan sekadar catatan sejarah. Ia menjadi asas kepada ibadah korban dalam Islam yang kita hayati setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.

Hati seorang ayah mana yang tidak berasa sedih apabila zuriat yang sekian lama dinantikan perlu dikorbankan dan dirinya sendiri pula yang harus melaksanakan perintah itu.

Namun, Nabi Ibrahim as tetap akur. Tidak kurang juga, ketelusan ketaatan Nabi Ismail as.

Beliau tidak membantah, bahkan mendorong ayahnya untuk taat kepada perintah Allah swt.

Nabi Ismail as berserah diri sepenuhnya kepada kehendak Allah swt walaupun nyawanya menjadi taruhan.

Sikapnya mencerminkan keimanan, keberanian dan kerelaan berkorban yang luar biasa, meskipun masih muda.

Korban dekatkan diri dengan Tuhan

Ibadah korban dapat mendekatkan diri kepada Allah swt melalui beberapa cara.

Pertama, ia adalah bentuk ketaatan dan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan-Nya.

Menyembelih haiwan korban merupakan amalan yang diwajibkan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi tanda kepatuhan kepada Allah swt.

Saat menyembelih, disunatkan untuk menyebut nama Allah swt serta membaca bismillah, zikir dan takbir.

Kedua, ibadah korban menyemai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama manusia, khususnya golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan, melalui pembahagian daging korban.

Ia menjadi lambang perkongsian rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita, untuk turut dinikmati bersama oleh mereka yang kurang berkemampuan.

Ketiga, ia dapat mengikis sifat tamak dan melatih diri menjadi insan yang dermawan.

Ia membentuk peribadi yang lebih peka terhadap keperluan orang lain, khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Pengorbanan sebenar

Dalam kehidupan, setiap manusia pasti perlu melalui proses pengorbanan.

Sebagai contoh, untuk meraih keputusan cemerlang, seorang pelajar perlu mengorbankan masa bersantai bersama rakan-rakan dan menumpukan masa untuk ulang kaji.

Begitu juga seseorang yang ingin memiliki rumah atau kereta, perlu menahan diri daripada perbelanjaan tidak penting seperti mengorbankan keinginan kecil demi mencapai matlamat yang lebih besar.

Namun, di sebalik semua itu, ada satu bentuk pengorbanan yang paling utama, iaitu pengorbanan demi keredaan Allah swt.

Sebagai Muslim, kita sedar bahawa tujuan hidup kita adalah untuk mendapat reda-Nya.

Maka, setiap keputusan dan tindakan kita harus berpandukan ajaran Islam.

Hakikatnya, tidak semua yang kita inginkan adalah terbaik untuk kita, walaupun ia halal dan tidak melanggar syarak.

Contohnya, apabila kita berniat menunaikan haji, kita perlu merancang kewangan dengan teliti kerana ia menelan belanja yang tinggi.

Jika setiap tahun kita melancong ke luar negara tanpa menabung untuk haji, maka tibalah masa untuk kita menilai semula keutamaan.

Pengorbanan adalah apabila kita sanggup mengurangkan perbelanjaan melancong demi menabung untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Kita mengorbankan keinginan dan hawa nafsu demi keredaan Allah swt.

Kita membuat pilihan harian dengan meletakkan Allah swt sebagai tujuan utama.

Setiap amal yang dilakukan dengan ikhlas, berserta niat yang murni, pasti tidak akan disia-siakan oleh-Nya.

Ketahuilah, setiap pengorbanan yang dilakukan kerana-Nya, walau kecil sekalipun, pasti dihitung dan diberi ganjaran.

Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik hari dalam dunia adalah 10 hari terawal Zulhijah.”

Maka dengan kita berada dalam Zulhijah yang mulia ini, mari bersama manfaatkan peluang dengan memperbanyakkan amalan kebaikan.

Buatlah senarai semakan amalan harian seperti membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan membantu meringankan urusan orang lain.

Semoga Allah swt mempermudahkan segala urusan kita dan mengurniakan kemampuan untuk benar-benar memahami dan menghayati makna sebenar sebuah pengorbanan.

Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.

Pengorbanan yang terpenting

“Namun, di sebalik semua itu, ada satu bentuk pengorbanan yang paling utama, iaitu pengorbanan demi keredaan Allah swt. Sebagai Muslim, kita sedar bahawa tujuan hidup kita adalah untuk mendapat reda-Nya. Maka, setiap keputusan dan tindakan kita harus berpandukan ajaran Islam. Hakikatnya, tidak semua yang kita inginkan adalah terbaik untuk kita, walaupun ia halal dan tidak melanggar syarak.”
Penulis.
Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg