Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tangguh haji bukan kehilangan, sebaliknya hikmah menanti

Undang-undang diperketat demi kebaikan ramai, rahmat Allah meliputi setiap hamba yang ikhlas
Dec 12, 2025 | 5:30 AM
haji, arab saudi, muis, islam
Bagi mereka yang tidak dapat menunaikan haji, pahala tetap diperoleh melalui niat ikhlas, memudahkan orang lain dan menunaikan amal dengan hati yang bersih. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Kerajaan Arab Saudi baru-baru ini mengeluarkan surat pekeliling baru berkaitan peraturan kesihatan bagi jemaah haji.

Surat pekeliling itu menekankan kepentingan memastikan setiap anggota jemaah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah haji.

Ini bagi memastikan jemaah bebas daripada sebarang penyakit yang boleh menjejas keselamatan atau kelancaran ibadah.

Antara penyakit yang termasuk dalam senarai tersebut adalah:

– Kegagalan organ utama (seperti jantung, buah pinggang, hati dan lain-lain)

– Keadaan neurologi dan psikiatri yang menjejas daya pemikiran serta pergerakan

– Warga emas dengan keadaan nyanyuk

– Wanita mengandung yang sarat atau berisiko

– Penyakit berjangkit serius

– Pesakit barah yang sedang menjalani rawatan kemoterapi atau rawatan penekan sistem imun (imunosupresan)

Tunda ibadah haji

Rentetan daripada surat pekeliling tersebut, Jabatan Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut mengeluarkan fatwa seseorang yang telah tiba gilirannya untuk menunaikan haji, namun tidak dapat melakukannya, boleh menunda ibadah tersebut mengikut sebab tertentu:

– Pentadbiran: Contohnya tidak memperoleh visa haji; atau

– Kesihatan: Sekiranya sakit namun masih ada harapan untuk sembuh, ibadah haji boleh ditangguhkan sehingga pulih.

Namun, jika penyakitnya tidak ada harapan sembuh dan beliau mempunyai kemampuan kewangan, beliau boleh melantik orang lain untuk menunaikan haji bagi pihaknya.

Perbuatan itu dikenali sebagai haji badal, yang tidak perlu dilakukan segera, malah boleh diwasiatkan.

Sekiranya tiada kemampuan kewangan, kewajipan menunaikan haji gugur sama sekali, kerana salah satu syarat wajib haji adalah kemampuan.

Hal itu berdasarkan firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 97:

“Dan Allah mewajibkan manusia menunaikan ibadah haji ke Baitullah bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya...”

Hikmah bagi golongan tidak dapat tunai haji

Justeru, seseorang tidak dianggap kurang dari segi agama sekiranya tidak mampu menunaikan haji.

Malah, banyak teks agama, termasuk hadis Nabi saw, memberi khabar gembira kepada mereka yang kurang berpeluang menunaikan sesuatu ibadah, namun tetap boleh memperolehi ganjarannya.

Antaranya, hadis Nabi saw:

Sesungguhnya dunia ini bagi empat orang

1) Seorang hamba yang diberi Allah harta dan ilmu, lalu beliau bertakwa kepada Allah dengan apa yang diberikan, menyambung silaturahim dan mengetahui hak Allah. Inilah darjat yang terbaik.

2) Seorang hamba yang diberi ilmu, namun tidak diberi harta, lalu beliau berniat dengan ikhlas: “Jika aku ada harta, aku akan melakukan seperti si fulan”. Beliau beramal berdasarkan niatnya sehingga pahala kededuanya setara.

3) Seorang hamba yang diberi harta, namun tidak diberi ilmu, lalu beliau terperosok dalam hartanya tanpa bertakwa kepada Allah, tidak menyambung silaturahim dan tidak mengetahui hak Allah. Inilah darjat yang sangat rendah.

4) Seorang hamba yang tidak diberi harta dan ilmu, lalu beliau berniat: ‘Jika aku memiliki harta, aku akan melakukan seperti si fulan.’ Beliau berbuat sesuai dengan niatnya sehingga dosa kededua mereka setara.” (HR Tirmizi).

Daripada hadis ini, dapat dirumuskan niat baik seseorang untuk melakukan kebaikan, walaupun keadaannya tidak mengizinkan, tetap diberi pahala seolah-olah melakukan kebaikan tersebut.

Keutamaan niat

Para ulama menyebut adakala niat seorang Mukmin itu lebih utama daripada amalannya.

Ini kerana amalan seseorang mungkin terjejas pahalanya akibat lalai, secara tidak sengaja ingin menunjuk, atau melakukan perkara yang mengurangkan pahala, malah ada yang terbatal sama sekali.

Sebaliknya, niat melakukan sesuatu amal lazimnya membayangkan cara paling sempurna menunaikannya.

Jika niat tersebut benar-benar ikhlas kerana Allah swt, pahala tetap diberikan kepada orang yang berniat.

Demikian yang disebut dalam hadis di atas sebagai ilmu – iaitu pengetahuan yang disertakan dengan ketaatan dan keinginan mendapatkan keredaan Allah swt.

Selain itu, membantu orang lain mencapai kebaikan juga termasuk amalan mulia. Nabi saw bersabda:

“Orang yang menunjuk, mengajak, atau membimbing kepada kebaikan, sama seperti orang yang melakukannya.” (HR Baihaqi).

Hadis ini merupakan berita baik bagi mereka yang terbatas keupayaannya untuk melakukan kebaikan.

Cara raih pahala

Seseorang mungkin menghadapi kekangan untuk menunaikan sesuatu amal, namun masih terdapat cara untuk memperoleh ganjaran, seperti dengan menggalakkan, membantu, memudahkan, menaja, atau kaedah lain yang membolehkan orang lain menyempurnakan amalnya.

Contohnya, orang yang tidak mampu berpuasa kerana uzur yang dibenarkan syarak, masih berpeluang mendapat pahala berpuasa melalui hadis:

“Siapa yang memberi makan (untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” (HR Tirmizi).

Konsep itu merangkumi semua jenis kebajikan, termasuk perbuatan badal haji.

Dengan menjadi sebab seseorang lain dapat menyempurnakan ibadahnya, pahala seolah-olah turut diperoleh oleh orang yang memudahkannya.

Oleh itu, sekiranya anda tidak dapat menunaikan haji atas sebarang sebab, carilah jalan lain untuk memperoleh ganjarannya.

Jangan berasa dunia telah berakhir atau agama tidak sempurna kerana tidak dapat menunaikan salah satu rukun Islam.

Sebaliknya, terimalah keadaan dengan reda dan lihat pada gambaran yang lebih besar: Apakah yang anda inginkan sebenarnya – ibadah haji atau keredaan Allah swt?

Jika yang dicari adalah keredaan Allah swt, ketahuilah Tuhan sentiasa dekat dengan hamba-Nya, bukan terikat hanya kepada Tanah Haram atau ibadah haji semata-mata.

Ubah perspektif dengan niat ingin memudahkan urusan jemaah lain, membolehkan tempat kita diambil oleh orang yang dapat menunaikan ibadah dengan lebih lancar dan menerima keringanan yang Allah swt berikan dengan penuh syukur.

Nabi saw bersabda:

“Sesungguhnya Allah suka rukhsah-Nya (keringanan yang diberikan) diambil sebagaimana Allah suka ‘azimah-Nya (hukum asal) ditunaikan.” (HR Ibnu Hibban).

Kesimpulan

Bagi mereka yang berhasrat atau menanam niat untuk menunaikan haji, nyatakan keikhlasan niat tersebut dengan turut menjaga kesihatan diri agar dapat beribadah dengan lebih baik.

Kesihatan fizikal: Jaga sendi, tulang dan otot dengan banyak bergerak seperti berjalan, meregangkan otot, bersenam dan kekal aktif.

Kesihatan dalaman: Perhatikan pemakanan dengan mengurangkan gula, garam, makanan segera dan diproses, serta ambil suplemen tambahan jika perlu.

Kesihatan rohani: Sentiasa bersangka baik kepada makhluk dan Allah swt, tanamkan kerinduan untuk menjejakkan kaki ke Baitullah dengan menziarahi masjid berhampiran.

Dalam pada itu, banyakkan doa agar dikurniakan kesempatan menunaikan haji dalam keadaan sebaik-baik kesihatan dan keafiatan.

Sebagaimana doa: “Ya Allah, bantulah kami untuk mengingati-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan memperbaiki ibadah kami kepada-Mu.”

Justeru, menjaga kesihatan adalah wajib, sebagaimana menunaikan haji, berdasarkan kaedah fiqah:

“Perkara yang menjadi penyempurna perkara wajib, hukumnya juga wajib.”

Dengan pendekatan ini, setiap usaha dalam menjaga kesihatan menjadi sebahagian ibadah dan persiapan menyempurnakan haji dengan sebaik-baiknya.

Penulis bertugas sebagai pegawai Jabatan Dakwah (Ibadah dan Khidmat Keagamaan) di Masjid Al-Muttaqin. Beliau mempunyai ijazah sarjana dalam pengajian Thawabit Diniyah daripada Kuliah Sastera Dhar Mehraz, di Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah, di Fes, Maghribi.

“... Sekiranya anda tidak dapat menunaikan haji atas sebarang sebab, carilah jalan lain untuk memperoleh ganjarannya. Jangan berasa dunia telah berakhir atau agama tidak sempurna kerana tidak dapat menunaikan salah satu rukun Islam. Sebaliknya, terimalah keadaan dengan reda dan lihat pada gambaran yang lebih besar: Apakah yang anda inginkan sebenarnya – ibadah haji atau keredaan Allah swt? Jika yang dicari adalah keredaan Allah swt, ketahuilah Tuhan sentiasa dekat dengan hamba-Nya, bukan terikat hanya kepada Tanah Haram atau ibadah haji semata-mata.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg