Manfaat baki Ramadan buru lailatulqadar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Manfaat baki Ramadan buru lailatulqadar

Rahmat Ramadan tidak terbatas pada ibadah tertentu, rangkumi setiap kebaikan dilakukan dengan penuh ikhlas
Mar 13, 2026 | 5:30 AM

Manfaat baki Ramadan buru lailatulqadar

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
ramadan, lailatulqadar
Rahmat Ramadan tidak terbatas pada ibadah tertentu sahaja, ia merangkumi setiap kebaikan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Setiap kali tiba Ramadan, terutama pada 10 malam terakhir, akan kedengaran keluhan daripada sebahagian anggota masyarakat.

Bukan kerana kesedihan meninggalkan bulan penuh rahmat dan pengampunan, namun kerana rasa bersalah apabila berasa terlepas peluang meraih segala ganjaran yang dijanjikan Allah swt pada Ramadan, khususnya pada 10 malam terakhir.

Keluhan itu sering tercetus daripada mereka yang:

– Tidak mendapat cuti pada 10 hari terakhir Ramadan, sekali gus terlepas peluang menikmati nikmat beribadah pada malam hari dan berehat pada siangnya.

– Perlu bekerja pada waktu malam, lalu terlepas peluang beribadah di masjid seperti bertarawih, bertadarus dan qiamullail.

– Masih bersekolah, sehingga tiada peluang beribadah pada siang atau malam hari. Ini kerana waktu siang diluangkan di sekolah, manakala malam perlu digunakan untuk menyiapkan tugasan dan berehat agar bertenaga keesokan harinya.

Perkara yang wajar diberi perhatian

Sesungguhnya agama sangat menjunjung nilai amanah dan itqan (ketekunan) di dalam menyelesaikan sesuatu tanggungjawab – baik pada Ramadan, mahupun di luarnya.

Baik pada 10 malam terakhir Ramadan mahupun malam pertama Syawal.

Maka itu, agak mengecewakan apabila sesetengah pihak mengusulkan perkara yang tidak sesuai dengan jiwa seorang Muslim yang amanah dan jujur.

Saranan yang saya anggap bermasalah termasuk:

– Menggalakkan para pekerja yang tidak mendapat cuti agar bertemu doktor dan mendapatkan cuti sakit (MC) sedangkan tidak sakit.

– Menasihati anak supaya tidak terlalu terikat dengan urusan sekolah yang bersifat duniawi berbanding Ramadan – tugasan boleh ditunda atau disiapkan seadanya.

3 perkara penting perlu difahami

Keluhan daripada golongan yang saya sebutkan di atas, serta saranan yang bermasalah, berpaksi pada tiga kepentingan dasar.

Kepentingan ini sering terlepas pandang apabila kita menanggapi Ramadan, 10 malam terakhirnya dan kehidupan kita selepas berlalunya bulan serta malam agung tersebut.

1) Penting tahu hukum agama

Bagi yang sering berkeluh-kesah kerana masih perlu bekerja pada siang ataupun malam hari pada Ramadan, ketahuilah mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarga merupakan kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan.

Tanpa meremehkan ibadah bertarawih, bertadarus dan qiamullail yang sering dilaksanakan pada Ramadan, ibadah tersebut tetap berstatus sunat berbanding kewajipan mencari nafkah untuk keluarga.

Seseorang yang ponteng kerja, apatah lagi menipu untuk mendapatkan ‘cuti’ tersebut tidak boleh dianggap sebagai ‘berkorban demi agama’ namun telah mencuaikan amanah agama itu sendiri walaupun atas alasan melaksanakan ibadah sunat yang disebutkan.

Bahkan lebih daripada menjejas hubungan dengan Allah swt, perbuatan tidak jujur kita akan mengeruhkan imej agama di mata masyarakat.

Bayangkan sikap kita yang kononnya mementingkan amalan sendiri menyebabkan orang lain pula perlu bertungkus lumus mengambil alih dan menyelesaikan tugas yang kita abaikan.

Mungkin sahaja mereka terpaksa mengorbankan masa yang berharga untuk kesihatan dan keluarga mereka sedangkan kita khusyuk berzikir di masjid dengan surat MC terlipat elok di dalam kocek jubah.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah saw bersabda:

“Cukuplah seseorang itu berdosa apabila ia menahan pemberian nafkah buat orang yang menjadi tanggungannya.”

2) Penting fahami keluasan pada sesuatu kebaikan

Kita semua maklum Ramadan merupakan bulan pengampunan dosa dan juga dilipatgandakan pahala.

Tentu sekali ini tidak mengecualikan mereka yang bertungkus lumus menegakkan perintah Allah swt dan Rasul-Nya untuk memberikan nafkah kepada keluarga.

Sering kali, mereka yang berkeluh-kesah kerana berasa lelah terlepas peluang meraih ganjaran Ramadan – terutama dalam merebut lailatulqadar – sebenarnya membataskan pengertian ‘kebaikan’.

Mereka cenderung melihat penerimaan pahala hanya terhad kepada aspek ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya.

Sedangkan Rasulullah saw sendiri bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Thabarani bahawa terdapat dosa yang tidak dapat dihapuskan melainkan dengan kerisauan mencari nafkah untuk keluarga.

Begitu juga anak kita yang menuntut ilmu di sekolah, dengan niat memanfaatkan akal yang diberi Allah swt sebaik-baiknya, memperoleh ilmu bermanfaat demi kemaslahatan sesama manusia dan menenangkan hati ibu bapa mereka.

Apakah usaha itu tidak turut memungkinkan mereka mendapat ganjaran pada Ramadan dan lailatulqadar?

Maka fahami rahmat Allah swt pada Ramadan, pada malam lailatulqadar dan pada bulan dan malam-malam seterusnya bukan hanya tercurah buat hamba-Nya yang memakmurkan masjid, malah buat mereka yang memakmurkan bumi-Nya dengan khidmat dan jasa.

3) Penting waspada menilai sesama insan

Terdapat kecenderungan daripada sebahagian anggota masyarakat untuk berlaku sinis terhadap mereka yang dianggap ‘kurang beribadah’ pada Ramadan terutama pada 10 malam terakhir.

Sering kali yang menjadi sasaran sindiran mereka pada 10 malam terakhir adalah mereka yang dianggap ‘cinta dunia’ kerana bekerja pada malam Ramadan.

Di sini kita perlu selalu berwaspada terhadap dua perkara:

– Berasa kita sahaja berada di dalam kebaikan

– Memandang rendah akan keadaan orang lain

Seperti yang dibincangkan, mencari nafkah demi menanggung keperluan keluarga dan menuntut ilmu atas niat memakmurkan dunia adalah perbuatan yang terpuji di sisi Allah swt.

Bagaimanakah kedudukan kita di sisi Allah swt jika kita memandang rendah kepada orang yang dimuliakan Allah?

Manfaatkan Ramadan yang berbaki

Berdasarkan perbincangan di atas, mari kita mengorak langkah ke arah memanfaatkan Ramadan yang berbaki tanpa berasa diri kita dibatasi oleh realiti kehidupan masing-masing.

1) Bahagi masa menurut Imam Al Ghazali

Sering kali kita gagal menghargai betapa banyaknya masa yang dikurniakan Allah swt kepada diri kita.

Kegagalan menyedari hakikat ini membuat kita berasa diri kita sering kali serba kekurangan di dalam menjalin hubungan bermakna dengan Allah swt.

Antara cara membahagikan masa menurut Imam Al Ghazali adalah dengan:

– Memulakan hari dengan wirid yang tetap dan tekal memberi kekuatan rohani untuk menghadapi hari yang terbentang di hadapan kita.

Kita boleh merujuk kepada kumpulan wirid yang disusun ulama, antaranya Wirdul Latif oleh Al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad dan Al-Ma’thurat yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna.

– Menghadiri majlis ilmu yang mendorong kita mengenali agama dengan lebih mendalam.

Ia termasuk kelas yang menyentuh bab akidah, fiqah, akhlak, tafsir, tajwid dan sirah Rasulullah saw.

Sebagai permulaan, hadiri satu atau dua majlis setiap minggu secara tekal bersama keluarga tersayang.

– Beribadah secara tekal.

Ini meliputi pelaksanaan ibadah sunat seperti solat sunat dan sedekah agar dapat ‘menampal’ kekurangan yang ada pada ibadah wajib.

– Berkhidmat untuk ulama dan masyarakat.

Ia termasuk mengamalkan apa yang telah kita pelajari di majlis ilmu.

Berkhidmat kepada masyarakat juga bermakna menunjukkan sifat tekun dan amanah dalam melaksanakan tugasan harian, termasuk di tempat kerja.

– Tidak menjadi mudarat kepada masyarakat dengan tingkah laku kita.

2) Jika tidak dapat semua kebaikan, usah tinggalkan semua

Salah satu kaedah dalam Islam ialah anjuran agar kita tidak meninggalkan sesuatu kebaikan hanya kerana kita tidak melaksanakannya sepenuhnya.

Maka bagi mereka yang perlu bekerja atau belajar di sekolah pada siang hari Ramadan atau menyiapkan tugasan pada 10 malam terakhir, jangan membiarkan kekecewaan menghalang kita daripada beribadah walaupun dalam keadaan kita bertugas.

Ia boleh dilakukan dengan sentiasa memastikan lidah kita berzikir, berselawat dan membaca ayat Al-Quran yang telah kita hafalkan.

Jauhi kebiasaan berbual perkara yang sia-sia ataupun mengumpat.

Luangkan beberapa minit untuk berdoa kepada Allah swt.

Gantikan ketidakmampuan kita melaksanakan ibadah tarawih dengan penghayatan yang lebih pada solat fardu.

Semoga kesungguhan kita beribadah tanpa mengabaikan kewajiban tugas harian menjadikan sebab Allah swt mengurniakan rahmat dan kasih sayang-Nya menerusi Ramadan dan lailatulqadar yang kita idamkan.

Rasulullah saw bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari:

“Barangsiapa berniat melakukan kebaikan lalu tidak (mampu atau berkesempatan) mengerjakannya, maka Allah menulis itu di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna.”

3) Niat segala perkara yang ingin dilakukan kerana Allah

Niat adalah perbuatan hati yang sering kita abaikan atau pandang remeh.

Sedangkan menanam niat dengan bersungguh-sungguh di dalam hati bukan sahaja menjadikan perbuatan kita seterusnya berpahala, malah menjadikan insan lebih tertumpu dan beriltizam.

Seseorang yang bekerja dengan niat meraih pendapatan bagi memberi nafkah buat keluarganya dan sedekah kepada masyarakat melakukan pekerjaannya dengan tujuan lebih bermakna.

Beliau juga berniat agar kesungguhannya bekerja menggambarkan keindahan ajaran Islam di samping kepakarannya dapat memperbaiki keperluan masyarakat.

Dengan niat sedemikian, bukan sahaja beliau memperoleh pahala berlipat ganda, malah turut mengundang keberkatan dalam kehidupannya.

Kesimpulan

Justeru, rahsia bagi menerima anugerah lailatulqadar tergantung kepada hati.

Hati yang sentiasa bersangka baik kepada Allah swt akan berasa keluasan rahmat-Nya walaupun di dalam kesempitan realiti yang kita hadapi.

Manakala hati yang mengehadkan rahmat Allah swt akan sentiasa berkeluh-kesah dan memandang rendah orang lain walaupun di dalam bulan yang penuh rahmah.

Semoga Allah swt mengurniakan kita keluasan jiwa dan minda agar senantiasa kekal di dalam kebaikan walaupun sesudah Ramadan.

Ini kerana seseorang yang mendapat anugerah lailatulqadar akan menjiwai keindahannya walaupun setelah lama berlalu malam yang agung ini.

Penulis ialah guru sejarah di sebuah institusi pendidikan tempatan. Beliau lulusan bidang Sejarah dengan ijazah kepujian daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg