USTAZ MD HANIFATUNNU‘MAN MD HASBI
“Labbaikallahumma Labbaik, Labbaika La Syarika Laka Labbaik, Innal Hamda Wan Ni’mata Laka Walmulka, La Syarika Lak.”
(“Aku menyahut seruan-Mu ya Allah aku sahut. Aku sahut seruan-Mu yang tiada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala pujian, segala nikmat dan kerajaan alam ini semuanya milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”)
Terasa teramat syahdu mendengarkan para duyufurrahman bertalbiah menerusi siaran rancangan televisyen dan rakaman-rakaman di pelbagai media sosial ketika mereka menyahut seruan Allah swt untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah.
Masa berlalu dengan pantas sehingga tidak terasa kita sudah pun tiba di kemuncak Zulhijah yang menyaksikan tetamu-tetamu Allah berkumpul di Arafah, Muzdalifah dan Mina dalam rangka melaksanakan Rukun Islam yang kelima ini.
Bagi calon-calon haji yang mendapat undangan buat pertama kali, pastinya pelbagai perasaan bermain dalam benak; gementar, syahdu, gembira, bimbang, bersyukur dan 1,001 macam perasaan.
Gementar kerana pertama kali melakukan ibadah agung ini, mungkin seorang diri, meninggalkan keluarga, isteri, anak-anak tersayang. Syahdu kerana akhirnya terpilih menjadi tetamu Allah walaupun merasakan kita bukanlah hamba Allah yang terbaik.
Gembira kerana peluang ini tidak datang setiap hari atau minggu atau tahun, malah terpaksa menunggu dekad. Bimbang kalau-kalau tidak melihat Kaabah kerana mendengar kisah anekdot orang. Bersyukur kerana tidak ada kata dapat menggambarkan perasaan ini setelah bertahun-tahun menunggu giliran.
Untuk yang pernah menunaikan ibadah umrah atau haji, pasti rindu suasana di tanah suci dan ingin kembali ke sana. Kenikmatan merasakan tumpuan dan tujuan hanya untuk beribadah dan menelusuri sifat kehambaan kepada Allah swt ketika melihat dan bertawaf mengelilingi Kaabah, serta menziarahi kekasih-Nya, Nabi Muhammad saw – ternyata yang demikian satu perasaan yang tidak ada taranya.
Perasaan rindu yang tidak akan terubat walaupun berulang-alik setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu. Ia perasaan yang tidak boleh digambarkan dan diungkapkan namun hanya boleh dirasakan melalui pengalaman peribadi.
Para tetamu Allah yang berihram disunatkan mengulangi sebutan talbiah – bahkan sebahagian ulama mewajibkan – iaitu sebutan: “Labbaikallahumma Labbaik, Labbaika La Syarika Laka Labbaik, Innal Hamda Wan Ni’mata Laka Walmulka, La Syarika Lak.”
Apabila kita renungi, hayati dan fahami lafaz-lafaz setiap kalimah tersebut, ternyata ia bukan hanya sebutan di lidah semata-mata, bahkan menzahirkan makna dan erti yang mendalam.
Ucapan yang selayaknya disebut bagi tetamu-tetamu Ar-Rahman yang datang dari setiap pelosok dunia; meninggalkan harta dan keluarga, berkorban untuk tampil ke tanah suci dengan setiap jalan yang ada, baik di darat, lautan mahupun udara; ada yang berjalan, berbasikal, berlayar, dan menaiki pesawat – masing-masing menanggalkan pakaian kemegahan, melucutkan segala jenama dan nama, berpakaian yang sama. mengucapkan sebutan yang sama, di tempat yang sama, menghadap kiblat yang satu bertujuan yang sama; mencari keredaan yang Maha Esa sebagaimana yang ditetapkan.
Sesungguhnya tidak ada dalam syarat-syarat haji dan umrah yang ditetapkan akal manusia. Semuanya adalah tuntutan dari Tuhan manusia. Maka tidak hairan jikalau ibadah haji menjadi sebahagian daripada Rukun Islam, kerana melaluinya seorang Muslim dapat mengalami sendiri indahnya menyerahkan diri pada Allah swt secara holistik dan menyeluruh.
Dan, tidak hairan sebahagian ulama mewajibkan juga ibadah haji kecil, atau dikenali sebagai umrah, untuk dilaksanakan oleh seorang Muslim apabila mampu sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk sama-sama mengucapkan tahniah kepada semua jemaah kerana dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.
Marilah kita mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan, kelancaran dan kekuatan untuk menjalani manasik haji dan umrah sebaik mungkin dan semoga setiap amalan mereka diterima Allah swt dan dikurniakan haji yang mabrur.
Sabda Rasulullah saw: “Barangsiapa yang menunaikan haji, kemudian tiada mendatangi isterinya, dan tiada melakukan dosa besar, pulang (suci tanpa dosa) dia sebagaimana dilahirkan ibunya.” (HR Bukhari).
Baginda Nabi saw bersabda lagi: “Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa di antara kededuanya. Dan haji yang mabrur tiada ganjaran baginya melainkan syurga.” (HR Bukhari).
Bergembiralah tetamu Allah atas undangan ini, dan bersyukurlah sebanyak-banyaknya atas nikmat dan kurniaan ini. Ia lebih bermakna daripada memenangi cabutan bertuah atau mendapat durian runtuh.
Bahkan, ia seumpama dikurniakan tiket untuk langsung ke syurga, yang menjadi matlamat kita semua.
Bagi yang belum atau tidak berkesempatan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Makkah tidak bererti diharamkan daripada menyahut seruan-Nya.
Sebenarnya, di mana pun kita berada, kita, juga berpeluang dan dituntut menyahut seruan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Memberi peluang pada semua hamba-Nya untuk meraihnya.
Rasulullah saw bersabda dalam sepotong hadis: “Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, Allah berfirman: wahai anak Adam, Aku sakit tetapi engkau tidak datang menjenguk-Ku. Hamba tersebut akan menjawab: Bagaimana aku menjenguk-Mu ketika Engkau sakit sedangkan Engkau adalah Tuhan semesta alam? Allah menjawab: tidakkah engkau tahu bahawa hamba-Ku Fulan telah sakit, tetapi tidak pula engkau menjenguknya? Tidakkah engkau tahu bahawa sekiranya engkau menjenguknya engkau akan mendapati-Ku di sana?
“Wahai anak Adam, Aku meminta kamu makan, namun engkau tidak memberi-Ku makan. Hamba tersebut menjawab: Tuhanku bagaimana aku memberi-Mu makan sedangkan Engkau adalah Tuhan semesta alam? Allah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa hamba-Ku Fulan meminta makan daripadamu tetapi engkau tidak memberikannya? Tidakkah engkau tahu bahawa sekiranya engkau memberinya makan, engkau akan mendapati ganjarannya di sisi-Ku?
“Wahai anak Adam, Aku meminta kamu minum, namun engkau tidak memberi-Ku minuman. Hamba tersebut menjawab: Tuhanku bagaimana aku memberi-Mu minum sedangkan Engkau adalah Tuhan semesta alam? Allah menjawab: Tidakkah engkau tahu bahawa hamba-Ku Fulan meminta minuman daripadamu tetapi engkau tidak memberikannya? Tidakkah engkau tahu bahawa sekiranya engkau memberikannya minum engkau akan mendapati ganjarannya di sisi-Ku?” (Sahih Muslim).
Rasulullah saw bersabda: “Apabila berlalu separuh malam atau dua pertiganya, Allah turun ke langit bumi dan menyeru: adakah ada yang ingin meminta supaya diberikan permintaannya? Adakah ada yang ingin berdoa supaya dikabulkan doanya? Adakah ada yang ingin meminta keampunan supaya diampunkan dosanya? Seruan itu berterusan sehingga cahaya fajar memecah kegelapan.” (HR Bukhari).
Rasulullah saw pernah didatangi seorang lelaki buta yang bertanya: “Ya Rasulullah aku mendengar panggilan (azan), namun aku tidak mendapati sesiapa untuk membawaku ke masjid.” Rasulullah saw menjawab: “Jika engkau mendengar panggilan azan, maka sahutlah seruan pemanggil (dari) Allah.” (HR Suyuthi).
Sebahagian ulama mengatakan bahawa bagi sahabat yang buta itu dituntut untuk pergi menghadiri solat di masjid dengan jawapan Baginda. Bagaimana pula dengan orang yang sihat dan tidak berkeuzuran? Sudah tentu lebih dituntut untuk menyahut seruan tersebut dengan menunaikan solat berjemaah di masjid.
“Wahai orang-orang beriman! Wahai manusia!” Allah menyeru hamba-hamba-Nya yang beriman dalam Al-Quran sebanyak 90 kali dan manusia sejagat sebanyak 15 kali agar melaksanakan pelbagai kebaikan serta memberi peringatan, antaranya:
- Berselawat ke atas Nabi (Surah Al-Ahzaab: 56)
- Makan dari yang halal dan baik (Surah Al-Baqarah: 168)
- Seruan Allah dan Rasul-Nya pada apa yang menghidupkan (Surah Al-Anfaal: 24)
- Seruan supaya rukuk, sujud, menyembah Allah dan berbuat kebaikan (Surah Al-Hajj: 77)
- Bertaqwa kepada Allah dan berkata yang benar/tepat (Surah Al-Ahzaab: 70)
- Memberitahu tentang kefakiran kita terhadap Allah (Surah Al-Faatir: 15)
- Mengenal pasti khabar berita yang sampai (Surah Al-Hujuraat: 6)
- Menjauhi prasangka buruk, tidak mengintip dan tidak mengumpat (Surah Al-Hujuraat 12)
- Tidak merendahkan kaum yang lain (Surah Al-Hujuraat: 11)
- Saling mengenali antara satu sama lain (Surah Al-Hujuraat: 13)
- Seruan supaya bertaubat kepada Allah (Surah At-Tahriim: 8)
- Bergegas mengingati Allah apabila diseru untuk solat jumaat (Surah Al-Jumu’ah: 9).
Sebenarnya, terdapat banyak lagi seruan yang baik, hanyasanya untuk mendapat akses pada seruan-seruan ini, hendaklah seseorang itu membaca Al-Quran dan mempelajarinya, sekaligus ia menjadi langkah pertama baginya untuk menyahut seruan-seruan Allah swt itu.
Saya teringat mengenai satu rakaman video oleh guru saya, Almarhum Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba’ith (yang telah berpulang baru-baru ini, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya). Beliau menjelaskan: “Dalam Al-Quran dan hadis banyak menyatakan pelaku yang berbeza-beza bagi sesuatu perbuatan, adakah terdapat percanggahan di antara kededuanya?
“Contohnya, firman Allah: “Allah yang mematikan jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya.” (Surah Az-Zumar: 42), dan firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad); “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu, kemudian...” (Surah As-Sajdah: 11).
Jadi siapa yang sebenarnya mematikan? Allah atau Malaikat Maut? Setentunya Allah swt yang mematikan dari sudut sumber perintah dan ketentuan, namun Malaikat Maut yang mematikan dari sudut pelaksanaan,” ujar beliau.
Contoh yang lain, firman Allah: “Malaikat Jibrail berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk memberimu seorang anak yang suci.” (Surah Maryam: 19) dan firman Allah: “Dan Kami (Allah) kurniakan kepadanya (Ibrahim) Ishak dan Yaakub.” (Surah Al-Anbiyaa’: 72).
Yang memberikan zuriat itu adakah Malaikat Jibrail ataupun Allah? Seperti contoh di atas, Allah-lah yang memberikan zuriat melalui ketentuan dan perintah-Nya, namun Malaikat Jibrail memberikan kepada Sayidatina Maryam Nabi Isa as sebagai zuriat dari segi pelaksanaan.
Begitu juga dengan apa yang kita lihat di sekeliling kita, seperti manusia meminta bantuan, seorang muazin masjid melaungkan panggilan azan, orang yang sakit dan perlu diziarah, dan haiwan yang kelaparan meminta air.
Secara zahirnya, memang tampak makhluk yang memerlukan sesuatu atau peluang kita melakukan kebajikan. Tetapi hakikatnya ia masing-masing adalah seruan daripada Allah untuk hamba-hamba-Nya menjadi ejen-ejen penyebar rahmat dan kebaikan di muka bumi ini, dan peluang menjadi hamba yang lebih hampir kepada-Nya di dalam setiap detik.
Maka jangan kita sangka hanya orang yang menunaikan haji dan umrah sahaja yang dapat menyahut panggilan Allah dengan melaungkan talbiah.
Bahkan “Allah sentiasa menyeru manusia ke Darussalam (tempat kediaman yang selamat sentosa dan salah satu nama syurga).” (Surah Yunus: 25).
Persoalannya adakah kita sentiasa menyahutnya? Atau kita lebih sering tidak mengendahkannya, malah tidak menyedari ia sebenarnya adalah seruan daripada Allah swt untuk kita?
Maha suci Allah yang Maha Zahir menyiratkan seruan-Nya dalam seruan terdesak seorang makhluk. Maha Suci Allah yang Maha Batin menzahirkan kedaifan hamba-Nya sebagai topeng yang menyelindungkan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Sebahagian orang mempersoalkan mengapa Allah swt tidak mengabulkan doa mereka, walhal pada masa yang sama, mereka lalai daripada melakukan yang sama, iaitu mengabaikan seruan Allah kepada mereka. “... maka Kami adalah sebaik-baik yang kabulkan doa permohonan.” (Surah As-Saaffaat: 75).
Hanyasanya adab dalam meminta adalah untuk kita persembahkan kehambaan kita terlebih dahulu sebelum meminta pertolongan, sebagaimana yang diajarkan dalam Surah Al-Fatihah, ayat 5.
Tidaklah beradab jika kita hanya tahu menyeru dan meminta tanpa melakukan kewajipan agama kita. Bahkan, kita seharusnya menunaikan kewajipan yang lain pada masa sama memperbanyakkan berdoa.
Kita hidup pada masa yang menyaksikan kita sangat perlu kepada doa satu sama lain, terutama apabila melihat keadaan dan nasib umat Islam di sekeliling kita dan dalam keadaan dunia yang mencabar hari ini.
Kita sangat memerlukan pemeliharaan Allah swt dan bimbingan-Nya untuk kita selamat di dunia dan di akhirat, jadi sahutlah seruan-seruan Allah ini. Kalau dulu kita tidak tahu dan tidak sedar seruan “Labbaikallahumma Labbaik...” sebenarnya begitu menyeluruh, nah sekarang kita sudah mengetahuinya.
Saya menutup dengan mengulangi seruan daripada Rasulullah saw untuk umat Baginda yang berbunyi: “Kejarlah dan buatlah kebaikan sepanjang masa, dan dedahkan dirimu pada hembusan rahmat Allah, sesungguhnya bagi Allah itu hembusan rahmat yang ditiupkan pada siapa sahaja yang Allah kehendaki, dan mohonlah agar Allah menutup kekurangan kamu, dan menenangkan ketakutan kamu.” (HR Baihaqi).
Semoga dalam bulan yang penuh keberkatan ini, Allah swt memberikan hembusan rahmat-Nya kepada kita semua yang menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang berbahagia dan beruntung, amin Allahumma amin.
“
Kalau dulu kita tidak tahu dan tidak sedar seruan “Labbaikallahumma Labbaik...” sebenarnya begitu menyeluruh, nah sekarang kita sudah mengetahuinya. Saya menutup dengan mengulangi seruan daripada Rasulullah saw untuk umat Baginda yang berbunyi: “Kejarlah dan buatlah kebaikan sepanjang masa, dan dedahkan dirimu pada hembusan rahmat Allah, sesungguhnya bagi Allah itu hembusan rahmat yang ditiupkan pada siapa sahaja yang Allah kehendaki, dan mohonlah agar Allah menutup kekurangan kamu, dan menenangkan ketakutan kamu.” (HR Baihaqi).

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg