Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Raih manfaat Zulhijah walau tidak berpeluang tunai haji

10 hari pertama hari-hari terbaik tingkat amalan
Jun 6, 2024 | 9:15 AM
Umat Islam yang tidak dapat melaksanakan ibadah haji masih diberikan peluang mengagungkan Allah pada bulan suci Zulhijah, walaupun mereka tidak berada di Makkah, dengan amalan-amalan yang boleh dilakukan di tanah air sendiri, baik di masjid mahupun di rumah. 
Umat Islam yang tidak dapat melaksanakan ibadah haji masih diberikan peluang mengagungkan Allah pada bulan suci Zulhijah, walaupun mereka tidak berada di Makkah, dengan amalan-amalan yang boleh dilakukan di tanah air sendiri, baik di masjid mahupun di rumah.  - Foto REUTERS

Zulhijah merupakan bulan yang menyaksikan Allah swt diagungkan oleh hamba-hamba-Nya, khususnya dengan pelaksanaan ibadah haji.

Mereka telah bermusafir ke Makkah dan meninggalkan keluarga dan pekerjaan mereka untuk menunaikan rukun Islam kelima.

Dalam tempoh enam hari, jemaah haji mengagungkan Allah swt dengan melaksanakan rukun dan sunah ibadah haji, seperti melaungkan bacaan talbiah, menadah tangan dengan meluahkan segala hajat dalam hati ketika berwukuf di Arafah dan meraikan Hari Raya Aidiladha di Mina dengan melontar jamrah dan melaksanakan ibadah korban.

Maka disebabkan pelaksanaan ibadah haji, umat Islam juga dianjurkan mengagungkan Allah swt dengan pelbagai cara.

Berikut adalah beberapa cara yang kita boleh lakukan untuk mengagungkan Allah pada bulan suci ini.

Tingkatkan amal ibadat

Mengagungkan Allah swt bukanlah hanya melalui perasaan, malah ia hanya dianggap jujur jika perasaan tersebut diterjemahkan kepada amalan soleh.

Oleh itu, umat Islam diberikan peluang meraih pahala yang banyak pada bulan ini, kerana 10 hari pertama Zulhijah merupakan hari-hari yang terbaik di sisi Allah swt.

Kita boleh mengagungkan Allah swt dengan memperbanyakkan amal kebajikan dan ibadah pada 10 hari tersebut.

Rasulullah saw sendiri menyambut hari-hari tersebut dengan banyak berpuasa kerana ibadah puasa merupakan amalan yang sangat dicintai Allah swt, apatah lagi apabila ia dilaksanakan pada hari-hari yang dicintai-Nya.

Selain itu, Nabi saw juga menganjurkan umatnya supaya membasahkan lidah mereka dengan zikir, sebagai tanda mengagungkan Allah swt pada hari-hari tersebut. Baginda bersabda:

“Tiada hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih disukai-Nya untuk beramal daripada hari-hari ini, iaitu 10 hari ini. Oleh itu, banyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertasbih pada hari-hari tersebut.” (HR Ahmad).

Pada hari Arafah

Pada hari kesembilan Zulhijah, rombongan haji akan melaksanakan rukun yang terpenting dalam ibadah haji, iaitu berkumpul di padang Arafah dari waktu zuhur hingga maghrib.

Hari tersebut dikenali sebagai hari Arafah dan boleh dianggap sebagai hari raya ketiga selepas Aidilfitri dan Aidiladha.

Hari tersebut menyaksikan keagungan Allah swt kerana jemaah haji akan meluahkan hati dan permintaan mereka kepada Allah serta bertaubat daripada segala kesilapan yang telah mereka lakukan, kerana Allah telah berjanji akan membebaskan hamba-hamba-Nya yang banyak daripada api neraka pada hari tersebut.

Rasulullah saw mengagungkan Allah swt pada hari tersebut dengan mengulangi ucapan kalimat tauhid dan menganjurkan umatnya memperbanyakkan bacaan kalimat ini.

Baginda saw bersabda: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga yang diucapkan para nabi sebelumku adalah ucapan ‘La Ilaha Illallahu Wahdahu La Sharika lah, lahul Mulku Walahul Hamdu Wa Huwa A’la Kulli Sya’in Qadir.” (HR At-Tirmidzi).

Kalimat ini mengandungi makna kebesaran-Nya bahawa Dialah sahaja yang layak disembah kerana segala sesuatu tunduk kepada kekuasaan dan perintah-Nya.

Hamba yang melafazkan kalimat ini telah menyaksikan keesaan-Nya dan menafikan sebarang hubungan atau keterikatan terhadap apa pun selain daripada Allah swt.

Hari ini juga diagungkan oleh mereka yang tidak melaksanakan ibadah haji, dengan berpuasa pada hari tersebut.

Disebabkan kemuliaan hari Arafah, Allah swt telah menjanjikan ganjaran yang besar buat mereka yang berpuasa.

Rasulullah saw bersabda: “Puasa pada hari Arafah adalah penebusan dosa bagi tahun sebelumnya dan tahun yang akan datang.” (HR Muslim).

Laungkan takbir

Umat Islam juga disyariatkan mengucapkan takbir pada hari-hari tertentu.

Terdapat dua jenis takbir Raya dalam Zulhijah.

Yang pertama dinamakan sebagai Takbir Mutlaq, iaitu membaca takbir Raya dengan lafaz yang sama yang dibacakan juga ketika Aidilfitri, bermula dari waktu maghrib malam Hari Raya Aidiladha sehingga bermulanya solat Hari Raya Aidiladha.

Maka kita dianjurkan memperbanyakkan lafaz takbir di antara dua tempoh ini.

Takbir yang kedua dipanggil sebagai Takbir Muqayyad, iaitu terikat pada tempat dan masa tertentu.

Takbir ini dibaca pada setiap selepas solat dan ia bermula dari waktu subuh hari Arafah iaitu hari yang kesembilan, sehingga waktu asar hari ketiga daripada Ayyam Tasyriq iaitu pada tanggal 13 Zulhijah.

Takbir ini berbeza daripada yang sebelumnya kerana ia dibaca hanya selepas perlaksanaan solat, tidak kira fardu atau sunah.

Sedangkan Takbir Mutlaq tidak terikat pada tempat tertentu, maka dibolehkan untuk kita membacanya selepas solat dan bila-bila masa sahaja.

Sesuai dengan tema Zulhijah yang mengagungkan Allah swt, bertakbir di masjid serta di rumah melaungkan kebesaran Allah swt adalah dituntut ke atas manusia, sebagai menunjukkan bahawa kejayaan serta kemenangan hanya berada di tangan-Nya.

Maka sesiapa yang mencari kegemilangan dan kemuliaan selain daripada Allah swt, sudah tentu mereka akan dikecewakan.

Walaupun tidak laksana haji...

Berdasarkan apa yang telah disebutkan, jelas bahawa individu yang tidak dapat melaksanakan ibadah haji masih diberikan peluang mengagungkan Allah pada bulan suci ini, walaupun mereka tidak berada di Makkah.

Sebagai contoh, ibadah korban mencerminkan amalan jemaah haji yang diwajibkan menyembelih haiwan.

Ini melambangkan persatuan umat Islam dan menzahirkan matlamat yang sama untuk beribadah, memuliakan dan memuji Allah swt.

Mereka yang menghormati keagungan bulan ini pastinya akan mendapat manfaat daripadanya dan mencapai tahap takwa yang lebih tinggi.

Kerana sesiapa yang mengagungkan syiar agamanya maka seolah-olah dia telah mengagungkan Allah swt.

Allah swt berfirman: “Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang Mukmin.” (Surah Al-Hajj: 30).

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Keutamaan 10 hari pertama Zulhijah

“Tiada hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih disukai-Nya untuk beramal daripada hari-hari ini, iaitu 10 hari ini. Oleh itu, banyakkanlah bertahlil, bertakbir dan bertasbih pada hari-hari tersebut.”
– HR Ahmad.
Mengagung dan hormati syiar

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang Mukmin.”
– Surah Al-Hajj, ayat 30.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg