Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letakkan rasa takut, harapan hanya pada Allah

Sep 12, 2025 | 5:30 AM
Allah swt memerintahkan orang-orang beriman agar tidak merasa takut kepada manusia ketika melaksanakan kewajipan, atau ketika menegur seseorang yang melakukan kesalahan dan kemungkaran. 
Allah swt memerintahkan orang-orang beriman agar tidak merasa takut kepada manusia ketika melaksanakan kewajipan, atau ketika menegur seseorang yang melakukan kesalahan dan kemungkaran.  - Foto PIXABAY

TAFSIR SURAH ALI IMRAN

Surah Ali Imran ayat 174 hinga 180 menceritakan suasana selepas Uhud, khususnya peristiwa Hamra’ al-Asad.

Rasulullah saw menerima khabar bahawa Abu Sufyan berhasrat kembali menyerang Madinah untuk membunuh para sahabat.

Walaupun para sahabat masih terluka dan sedih selepas kekalahan di Uhud, baginda mengajak mereka keluar semula menjejak musuh.

Seruan itu disahut meskipun ramai dalam keadaan cedera, hingga ada yang saling menggendong saudaranya demi menyahut permintaan Baginda.

Ibn ‘Abbas RA menceritakan bahawa setelah orang-orang musyrik beredar dari Uhud dan sampai ke ar-Rauha’, mereka berkata sesama sendiri:

‘Kamu tidak membunuh Muhammad, dan kamu pun tidak membawa pulang tawanan, alangkah buruknya apa yang kamu lakukan. Kembalilah semula!’

Berita itu sampai kepada baginda kemudian beliau menyeru umat Islam agar bersiap, dan mereka pun menyahut seruan itu hingga sampai ke Ḥamra’ al-Asad, sebuah kawasan berdekatan di kota Madinah.

Ketika selesai menunaikan solat subuh, Rasulullah saw memerintahkan Bilal ra untuk melaungkan seruan:

“Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan kamu untuk mengejar musuh, dan jangan ada yang keluar bersama kami melainkan mereka yang turut berperang semalam.” HR Nasai.

Peristiwa inilah yang menjadi sebab turunnya ayat-ayat tersebut, yang menegaskan bahawa orang beriman yang taat dan bertawakal akan sentiasa dipelihara Allah, manakala musuh mereka ditimpa rasa gentar meskipun memiliki kekuatan yang besar.

Di antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini ialah firman Allah:

“Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Ali ‘Imran:175)

Allah swt memerintahkan orang-orang beriman agar tidak merasa takut kepada manusia ketika melaksanakan kewajipan, atau ketika menegur seseorang yang melakukan kesalahan dan kemungkaran.

Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah sekali-kali seseorang di antara kamu meremehkan dirinya sendiri, iaitu apabila dia melihat suatu perkara (kemungkaran) yang sepatutnya dia bersuara kerana Allah, tetapi dia tidak melakukannya. Lalu dia akan bertemu dengan Allah Ta‘ala pada hari kiamat, dan Allah bertanya: ‘Apakah yang menghalangmu daripada berkata tentang perkara itu?’ Maka dia menjawab: ‘Aku takut kepada manusia, wahai Tuhanku.’ Allah berfirman: ‘Akulah yang lebih berhak untuk engkau takuti.’” (HR Ahmad)

Pengajaran ini mengingatkan kita bahawa keberanian seorang mukmin lahir daripada keyakinan bahawa Allah adalah Pelindung dan Penolong yang sebenar.

Oleh itu, usahlah kita takut kepada celaan atau tentangan manusia, ketika kita lihat kezaliman atau kemungkaran.

Begitu juga usahlah kita mengabaikan hukum Allah kerana takut manusia, sebaliknya letakkan seluruh rasa takut dan harap hanya kepada Allah, kerana kepada-Nya kita semua akan kembali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg