Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid tunjang iman, ukhuwah

Masjid An-Nur corak kehidupan masyarakat Muslim Marsiling, Woodlands selama lebih empat dekad
Jun 22, 2025 | 5:30 AM
Masjid An-Nur, masjid, jemaah
Dalam sejarah Islam, masjid memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat yang seimbang – dari segi akidah, akhlak dan amal. Di sinilah umat Islam berkumpul, tidak hanya untuk bersujud, malah untuk menimba ilmu, mendidik generasi, menyantuni golongan memerlukan dan merancang masa depan ummah.  - Foto MASJID AN-NUR

Masjid bukan sekadar tempat ibadah.

Ia adalah tempat yang memupuk hubungan antara hamba dengan Tuhannya, serta mempererat silaturahim antara sesama manusia.

Dalam sejarah Islam, masjid memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat yang seimbang – dari segi akidah, akhlak dan amal.

Di sinilah umat Islam berkumpul, tidak hanya untuk bersujud, malah untuk menimba ilmu, mendidik generasi, menyantuni golongan memerlukan dan merancang masa depan ummah.

Rasulullah saw sendiri mendirikan masjid sebagai institusi terawal selepas berhijrah ke Madinah.

Justeru, keberadaan masjid dalam mana-mana masyarakat bukanlah simbol fizikal semata-mata, malah menjadi lambang kehidupan Islam yang menyeluruh – terangkum di dalamnya peranan rohani, sosial dan intelektual.

Sejarah dan peranan Masjid An-Nur, misalnya, membuktikan peranan penting ini dalam kehidupan masyarakat Muslim di Marsiling dan Woodlands.

Firman Allah swt dalam Surah An-Nur, ayat 35:

“Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah memberi petunjuk kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki. Allah membuat perumpamaan bagi manusia. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Demikian ayat yang terukir di mihrab Masjid An-Nur, sesuai dengan nama masjid yang diberikan oleh Almarhum Ustaz Haji Akib Biden.

Ini selaras dengan makna nama masjid yang bermaksud “cahaya” – bukan hanya menerangi bangunan, malah hati dan kehidupan dunia akhirat.

Menara biru Masjid An-Nur, contohnya, setinggi 55 meter menjadi lambang keyakinan dan ketenangan, serta usaha berterusan masjid membawa masyarakat menuju kebaikan bersama.

Rasulullah saw bersabda:

“Siapa yang membina masjid kerana Allah, Allah akan bina untuknya rumah di syurga.” (HR Bukhari dan Muslim).

Semangat ini menggerakkan penduduk tempatan menzahirkan usaha besar mereka yang ganjarannya dijanjikan oleh Allah swt.

Peranan masjid sebagai pusat masyarakat, pendidikan

Usaha murni ini telah memberi kesan yang berpanjangan dan terus dinikmati hingga ke hari ini.

Sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika berhijrah ke Madinah – Baginda saw dan para sahabat bergotong-royong membina Masjid Quba’, yang dikenali sebagai masjid pertama dibina dalam sejarah Islam.

Dengan berkat usaha Baginda saw dan para sahabat, masjid itu menjadi tapak sejarah dan diziarahi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia hingga ke hari ini.

Tujuan Rasulullah saw membina Masjid Quba’ bukan sekadar tempat ibadah, bahkan sebagai pusat masyarakat dan perpaduan untuk berinteraksi dengan para sahabat, pusat pendidikan dan tempat perbincangan hal-hal penting umat Islam, termasuk hal sosial, politik dan sebagainya.

Masjid-masjid di Singapura mengembangkan legasi ini dengan menjadi pusat kegiatan sosial, program ilmu dan pengukuhan ukhuwah antara masyarakat.

Ia menjadi wadah memupuk perkembangan moral dan kerohanian berdasarkan garis panduan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

Pada 1990-an hingga awal 2000-an, Masjid An-Nur, contohnya, giat menganjurkan seminar rumah tangga, forum perdana, syarahan dan program belia – usaha yang juga membantu menampung kos peningkatan masjid.

Kegiatan, program kemasyarakatan semasa

Kini, Masjid An-Nur terus menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan seperti hari keluarga, agihan daging korban, ceramah khas untuk penerima zakat, serta program ‘Keluarga Syifa’ bagi warga emas.

Pada Ramadan, seperti masjid-masjid lain, ia turut menganjurkan program iftar bersama penduduk kejiranan.

Selain itu, masjid juga giat bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti M Kuasa Tiga (M3), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Club Heal, Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim (IMSSA) dan lain-lain lagi.

Usaha ini adalah lambang kebersamaan masjid bersama masyarakat dan menjadi legasi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya untuk kekal mendampingi masyarakat hingga ke hari ini.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Kanan Agama bagi Jabatan Pendidikan Islam dan Dakwah Masjid An-Nur. Beliau, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), memiliki ijazah sarjana muda dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg