Peranan nafkah dalam bina keluarga bahagia
Tanggungjawab nafkah bukan sekadar kewajipan, malah jalan dekatkan diri kepada Allah dan pupuk kasih sayang keluarga
Ustaz Muhammad Umaruddin Zainuddin
Perkahwinan adalah sebuah perjanjian penuh amanah dan kasih sayang.
Dalam perkahwinan, nafkah adalah tanggungjawab suci yang tidak boleh diabaikan oleh suami terhadap isteri dan anak.
Ia bukan sahaja menjadi kewajipan suami terhadap isteri, malah merupakan salah satu tiang peneguh keharmonian rumah tangga.
Nafkah merujuk kepada segala keperluan asas yang perlu disediakan oleh suami kepada keluarga, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan, serta perbelanjaan lain yang sewajarnya.
Ia juga merangkumi sokongan dan kesejahteraan emosi serta rohani.
Islam telah menetapkan dengan jelas peranan ini, yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab malah satu ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah swt.
Firman-Nya dalam Surah An-Nisa’, ayat 34:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”
Ayat ini menekankan tanggungjawab memberi nafkah adalah salah satu sebab utama lelaki diangkat sebagai pemimpin keluarga.
Nafkah bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, malah melambangkan kasih sayang dan keadilan seorang suami terhadap keluarganya.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 233:
“Dan kewajipan bapa (suami) ialah memberi makan dan pakaian kepada isteri mereka dengan cara yang baik.”
Rasulullah saw juga bersabda:
“Dan mereka (isteri kamu) mempunyai hak atas kamu untuk memberi rezeki dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik.” (HR Muslim).
Jenis, contoh nafkah
1) Keperluan asas:
– Suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang melindungi isteri dan anak daripada bahaya serta memberikan keselesaan.
Contohnya, menyediakan rumah yang memenuhi keperluan asas keluarga, termasuk bil elektrik dan air.
– Nafkah makanan, merangkumi penyediaan makanan berkhasiat yang sesuai untuk kesihatan anggota keluarga.
Tidak memadai menyediakan makanan seadanya sahaja tanpa mengambil kira keperluan pemakanan.
2) Keperluan peribadi:
– Barangan peribadi seperti pakaian, dan dalam konteks kehidupan moden, nafkah juga merangkumi keperluan peribadi seperti penjagaan diri, penjagaan kulit serta barangan kebersihan diri.
Jika perkara ini merupakan keperluan isteri, maka suami wajar bersikap bertimbang rasa untuk menyediakannya selagi ia munasabah dan tidak berlebihan.
3) Sokongan emosi dan rohani:
– Suami wajib memberi perhatian kepada kesejahteraan emosi isteri.
Nabi saw merupakan contoh terbaik dalam hal ini.
Baginda saw bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik di antara kamu terhadap keluargaku.”
Antara akhlak mulia Rasulullah saw ialah Baginda memiliki pergaulan yang baik, sentiasa ceria dan suka bermesra dengan isterinya dengan penuh kelembutan.
Baginda saw juga menunaikan nafkah kepada mereka dengan sebaiknya, menceriakan mereka dengan senda gurau.
Nafkah, keharmonian rumah tangga
Kegagalan suami untuk memenuhi kewajipan nafkah boleh membawa kepada pelbagai masalah dalam rumah tangga, termasuk perselisihan dan keretakan rumah tangga.
Oleh itu, suami perlu sedar pemberian nafkah bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal keluarga, malah menjadi asas kepada kebahagiaan dan keharmonian.
Seperti peribahasa Melayu, bagai aur dengan tebing, suami isteri perlu saling melengkapi dan bekerjasama dalam membina keluarga yang harmoni.
Berikut beberapa prinsip yang boleh diterapkan dalam kehidupan harian:
1) Komunikasi: Suami isteri perlu berkomunikasi secara terbuka mengenai keperluan dan kemampuan masing-masing untuk mengelakkan salah faham.
2) Bermusyawarah: Amalkan mesyuarat keluarga untuk membuat keputusan berkaitan perbelanjaan.
Bersama merancang bajet bulanan yang terperinci untuk memastikan semua keperluan keluarga dipenuhi.
Dengan ini, kedua-dua pihak rasa dihargai.
3) Berdoa dan sabar: Sentiasa berdoa kepada Allah swt agar diberikan rezeki yang mencukupi.
Dalam masa yang sama, bersabar dengan ujian dan cuba yang terbaik untuk mempertingkatkan kehidupan.
Nasihat bagi suami isteri
Wahai para suami, sedarilah tanggungjawab memberikan nafkah adalah amanah besar.
Bersikap adil dan ihsan dalam memenuhi keperluan keluarga.
Jadikan nafkah sebagai bentuk ibadah.
Memberi nafkah bukan sahaja menggembirakan hati isteri, malah menjadi sebab keberkatan dalam kehidupan.
Rasulullah saw bersabda: “Dinar yang paling utama ialah dinar yang dibelanjakan oleh seorang lelaki untuk keluarganya.” (HR Muslim).
Kepada isteri, hargai usaha suami dalam menunaikan nafkah bagi memenuhi keperluan keluarga.
Sekiranya terdapat kekurangan, bincanglah dengan baik tanpa menyimpan rasa tidak puas hati.
Sokongan dan penghargaan seorang isteri mampu menjadi dorongan kuat bagi suami untuk berusaha lebih gigih demi kebahagiaan keluarga.
Kesimpulan
Nafkah dalam perkahwinan adalah satu amanah yang membawa kesan besar terhadap kesejahteraan keluarga.
Ia bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, mental dan rohani, malah melambangkan cinta dan tanggungjawab.
Suami perlu memahami kewajipan ini dengan penuh kesungguhan, manakala isteri perlu menghargai dan menyokong usaha suami.
Dalam rumah tangga, suami dan isteri merupakan pelengkap antara satu sama lain.
Dengan saling memahami dan menghormati tanggungjawab masing-masing, keluarga akan menjadi institusi penuh dengan kasih sayang, keberkatan dan harmoni.
Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat.
Semoga kita sentiasa diberi kekuatan menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan penuh ikhlas dan sebaiknya.
Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Agama bagi Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat Masjid An-Nur. Beliau juga merupakan Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).

