Urus kewangan keluarga secara berkesan
Menabung, bersederhana dan menanam disiplin sejak kecil pastikan masa depan yang terjamin
Ustaz Zulhilmi Mohamed
Mengurus kewangan keluarga dengan bijak bukan sahaja memastikan kestabilan ekonomi, malah menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan keluarga.
Dengan perancangan kewangan yang berkesan, kita dapat mengelak sikap boros, mengurus perbelanjaan mengikut kemampuan, serta menyediakan masa depan yang lebih terjamin untuk keluarga.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Isra’, ayat 27:
“Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Artikel ini menggariskan langkah penting untuk mencapai matlamat tersebut, sambil mengambil inspirasi daripada ajaran Islam dan kisah Nabi Yusuf as.
Ukur baju di badan sendiri
Dalam dunia serba moden ini, kita sering terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan di media sosial.
Namun, realiti kemampuan dan kewangan kita berbeza.
Prinsip ‘ukur baju di badan sendiri’ sangat relevan dalam konteks ini.
Kita perlu berbelanja mengikut kemampuan dan tidak terjebak dalam keinginan untuk menunjukkan status atau gaya hidup yang di luar jangkauan.
Sikap ini memastikan perbelanjaan kekal terkawal dan kewangan keluarga tidak terbeban.
Antara kesan tidak pandai menguruskan kewangan dan dibebani hutang yang tidak terkawal kepada sesebuah keluarga adalah seperti berikut:
1) Tekanan kewangan: Pengurusan harta dan hutang yang buruk boleh menyebabkan tekanan kewangan kepada keluarga, mengakibatkan kekurangan dana untuk keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan anak-anak.
2) Konflik keluarga: Masalah kewangan sering menjadi punca utama pertelingkahan dalam keluarga, dengan hutang yang tidak terkawal atau keputusan kewangan yang tidak bijak menimbulkan rasa tidak puas hati dan konflik antara suami isteri dan anggota keluarga.
3) Kehilangan aset: Tanpa pengurusan yang baik, aset seperti rumah atau kereta mungkin terpaksa dijual untuk membayar hutang, mengurangkan mutu hidup keluarga dan menyebabkan kehilangan tempat tinggal.
4) Kesan emosi: Masalah kewangan boleh memberi tekanan emosi kepada semua anggota keluarga, terutama jika mereka menghadapi ketidakpastian tentang masa depan atau perubahan gaya hidup.
Iktibar daripada kisah Nabi Yusuf
Salah satu kisah yang penuh dengan pengajaran tentang perancangan kewangan adalah kisah Nabi Yusuf as.
Ketika beliau dilantik sebagai menteri kewangan di Mesir, baginda menghadapi cabaran ekonomi yang besar – tujuh tahun kemakmuran diikuti dengan tujuh tahun kemarau.
Firman Allah swt dalam Surah Yusuf, ayat 55:
“(Nabi Yusuf berkata): ‘Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya’.”
Melalui kebijaksanaan dan perancangan rapi, Nabi Yusuf menyimpan lebihan hasil pertanian pada tahun-tahun makmur, yang kemudian digunakan untuk menghadapi kemarau.
Kisah ini mengajarkan kita pentingnya menabung dan merancang untuk masa depan yang tidak pasti, satu pengajaran yang relevan dalam kehidupan kita hari ini.
Teladani sifat ‘Hafiz’, ‘Alim’
Menurut ulama tafsir, Nabi Yusuf as diberikan kepercayaan oleh raja Mesir untuk menjadi bendahara negara kerana memiliki dua sifat yang amat penting terdapat pada diri setiap individu.
Yang pertama ialah sifat ‘Hafiz’, yang bererti menjaga apa yang dipertanggungjawabkannya.
Kedua pula ialah sifat ‘Alim’, yang bererti pengetahuannya dalam cara menguruskan wang.
Sebagai ketua keluarga, kita bertanggungjawab menjaga amanah ini dengan ‘menyediakan payung sebelum hujan’.
Mengikuti program pendidikan kewangan atau kursus pengurusan kewangan boleh membantu kita meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam aspek ini.
Sekiranya tidak dapat meluangkan masa untuk belajar cara menguruskan dengan yang terbaik, boleh lah kita mengambil khidmat profesional sedia ada.
Sederhana dalam belanja
Artikel ini bukan bertujuan menyuruh pembaca hidup dalam kekurangan atau menolak kemewahan, namun yang terbaik adalah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan.
Dalam Surah Al-Furqan, ayat 67, Allah swt memerintahkan kita agar bersederhana dalam perbelanjaan:
“Dan orang-orang (Mukmin) yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian.”
Kesederhanaan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam kehidupan, malah memastikan kita tidak terjebak dalam masalah kewangan yang serius.
Abu Nu’aim Al-Asfahani di dalam kitabnya Hilyatul Auliya’ menukil daripada Imam Hasan Al-Basri, seorang ulama terkenal daripada generasi tabiin, sebagai berkata:
“Jika engkau melihat seseorang yang diberi kekayaan oleh Allah tetapi dia tetap bersederhana dalam kehidupannya, maka bergaullah dengannya, kerana dia telah diberi hikmah.”
Nasihat ini mengingatkan kita untuk sentiasa hidup bersederhana, walaupun kita diberi kekayaan yang melimpah.
Urus kewangan keluarga, elak sifat boros
Pelan kewangan adalah cara yang sangat berkesan dalam menguruskan kewangan.
Ia membantu kita memahami aliran wang masuk dan keluar serta mengenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan.
Dengan merekodkan semua sumber pendapatan dan perbelanjaan, kita dapat mengurus kewangan dengan lebih cekap dan mengelakkan sikap boros.
Allah swt mengingatkan dalam Surah Al-Isra’, ayat 26 dan 27:
“Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Utamakan keperluan, elak hutang
Naluri manusia apabila kita berbelanja, akan rasa seronok dan pada waktu itu rasa yang kita mampu bayar walaupun hakikatnya kita berhutang.
Maka, perlu adakan mentaliti mengutamakan perbelanjaan keperluan berbanding kehendak.
Setiap kali sebelum kita membayar sesuatu, kita perlu fikir sejenak, “Ini keperluan atau kehendak?”
Rasulullah saw bersabda: “Makanlah, minumlah, bersedekahlah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan tanpa sikap sombong.” (HR Bukhari).
Hutang dan hutang kredit kad pula perlu dielakkan kecuali jika benar-benar perlu dan kita mampu untuk membayarnya semula.
Ini penting untuk mengelakkan tekanan kewangan yang boleh memberi kesan buruk kepada hubungan keluarga dan kesejahteraan mental.
Menabung untuk masa depan
Seperti kisah Nabi Yusuf, ia menunjukkan betapa pentingnya menyimpan harta untuk menghadapi hari-hari sukar.
Sebagai ketua keluarga, kita harus mengakui kehidupan ini penuh dengan arus yang tidak menentu, justeru perlulah kita menyediakan simpanan sebelum terlambat.
Salah satu cara ialah menabung, yang merupakan amalan sangat digalakkan dalam Islam.
Simpanan bukan sahaja berguna untuk menghadapi kecemasan seperti kehilangan pekerjaan atau penyakit, malah turut memastikan masa depan keluarga lebih terjamin dan cerah.
Surah An-Nisa’, ayat 9, mengingatkan kita: “Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, mereka khuatir terhadap (kesejahteraan) mereka.”
Luangkan masa untuk berkongsi dengan anak kisah Nabi Yusuf serta ilmu mengurus kewangan dengan bijak.
Pendidikan kewangan sepatutnya bermula dari rumah dan sejak usia muda supaya ia menjadi tabiat yang berterusan hingga dewasa.
Ajar mereka tentang nilai wang, kepentingan menabung dan cara mengurus perbelanjaan dengan bijak.
Kesimpulan
Merancang kewangan keluarga memerlukan disiplin, kesedaran dan pemahaman tentang keutamaan perbelanjaan.
Dengan mengurus kewangan dengan bijak, kita bukan sahaja memastikan kesejahteraan keluarga, malah memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah swt dan menjalankan kewajipan sebagai ketua keluarga.
Ini juga adalah satu bentuk ibadah yang menunjukkan kesyukuran kita atas rezeki dan keluarga yang telah dikurniakan Allah swt kepada kita.
Penulis ialah Pegawai Agama dan Pengurus Masjid An-Nahdhah. Beliau juga merupakan Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).


