Tanggal 9 Ogos 2025 merupakan detik penting dalam sejarah Singapura apabila ia menyambut ulang tahunnya yang ke-60 tahun.
Sambutan kali ini yang penuh makna menyaksikan Singapura melancarkan kempen SG60 sempena 60 tahun perjalanannya selama ini sambil mengenang kembali detik yang memaparkan nilai yang telah menyatukan rakyatnya.
Antara nilai tersebut termasuk kepelbagaian dalam budaya, ketabahan, dan semangat bergotong-royong yang telah menjadi batu asas kekuatan rakyatnya sejak mencapai kemerdekaan.
Sepanjang 60 tahun lalu, meskipun berdepan pelbagai cabaran, kita sebagai sebuah masyarakat telah bangkit sebagai negara yang bersatu padu dan berjaya dalam banyak aspek.
Hal ini turut memberi pengajaran kepada kita sebagai umat Islam yang hidup dalam masyarakat berbilang agama, untuk sama-sama merenung pencapaian serta mengucapkan kesyukuran kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita sebagai satu ummah.
Tema SG60 tahun ini adalah bagi memperingati detik penting dalam sejarah negara dan juga menghargai sumbangan setiap individu serta masyarakat yang telah memainkan peranan dalam membentuk identiti Singapura hari ini.
Sambutan ini adalah peluang bagi memperkukuh semangat perpaduan, dan menanam tekad untuk terus maju sebagai sebuah masyarakat terangkum, serta sentiasa bersedia berubah demi masa depan yang lebih gemilang.
Masyarakat Melayu/Islam Singapura hari ini memainkan peranan besar dalam pelbagai isu serantau dan sejagat.
Contohnya, Singapura telah menyumbang lebih $20 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Daripada jumlah itu, hampir $2 juta dikumpulkan dalam tempoh beberapa minggu melalui kempen, ‘Aid for Gaza’, anjuran Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF).
Usaha masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam membina “masyarakat yang berjaya” telah menarik perhatian antarabangsa.
Beberapa negara menunjukkan minat untuk mempelajari pendekatan Singapura dalam memperkukuh masyarakat.
Antara perancangan yang sedang diusahakan termasuk penubuhan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).
Inisiatif itu bertujuan melahirkan generasi asatizah yang berilmu dan berkemahiran, agar mereka dapat memberikan bimbingan agama yang kontekstual dan relevan bagi umat Islam yang hidup dalam suasana masyarakat majmuk serta moden seperti di Singapura.
Setiap pencapaian dan pembangunan merupakan peringatan untuk kita agar sentiasa mensyukuri nikmat Allah swt, agar setiap sumbangan yang diberikan diberkati dan terus berkembang demi menghasilkan lebih banyak manfaat.
Allah swt berfirman:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat-Ku kepada kamu; dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih’.” (Surah Ibrahim, ayat 7).
Kekuatan sesebuah masyarakat terletak pada perpaduan dan kerjasama antara anggotanya.
Sewaktu Rasulullah saw tiba di Madinah, tiga perkara utama yang Baginda lakukan ialah menyatukan umat Islam; membina hubungan diplomatik dan perjanjian damai dengan golongan bukan Islam; serta mendirikan asas utama masyarakat Muslim iaitu masjid An Nabawi sebagai pusat ibadah dan masyarakat.
Dalam usaha menyatukan umat Islam, Baginda saw telah mengeratkan persaudaraan antara kaum Muhajirin dengan Ansar.
Ikatan itu begitu erat sehingga seorang Ansar sanggup berkongsi harta, tempat tinggal dan keperluan harian bersama saudaranya daripada kalangan Muhajirin.
Malah, jika beliau meninggal dunia, pewarisan harta akan diberikan kepada saudara muhajirnya (orang yang berhijrah bersama Nabi dari Makkah ke Madinah), bukan kepada ahli keluarganya sendiri, semata-mata kerana kuatnya ikatan persaudaraan yang dibina oleh Rasulullah saw.
Semangat kebersamaan itu disebutkan oleh Allah swt dalam Al-Quran, dalam firman-Nya:
“Dan orang-orang (Ansar) yang telah mendiami negeri (Madinah) dan beriman sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka dan tidak menaruh keinginan di dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada (Muhajirin), serta mereka mengutamakan orang lain atas diri mereka sendiri walaupun mereka dalam keadaan kekurangan. Dan sesiapa yang dipelihara daripada sifat bakhil dirinya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Hasyr, ayat 9)
Inilah nilai-nilai yang perlu kita hidupkan dalam masyarakat hari ini.
Semangat saling membantu, memenuhi keperluan golongan memerlukan, serta keprihatinan terhadap isu dalam negara dan dunia merupakan kekuatan besar yang kita miliki.
Kita perlu terus menyuburkan semangat ini dan menanam benihnya dalam generasi akan datang agar mereka dapat meneruskan legasi yang mulia ini.
Perkara kedua dan ketiga yang dilakukan oleh Baginda saw iaitu menjalin hubungan kepercayaan dengan golongan bukan Islam serta membina Masjid Nabawi, merupakan dua aspek penting yang wajar kita renungkan.
Rasulullah saw telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan golongan Yahudi yang tinggal berdekatan dan mengadakan Piagam Madinah sebagai usaha memelihara keharmonian agama dalam kalangan penduduk kota Madinah.
Singapura turut mengamalkan pendekatan serupa dengan memastikan hubungan antara agama kekal harmoni, dan ia merupakan salah satu kekuatan utama negara kita.
Kita harus memperkukuhkan lagi hubungan ini, dan langkah pertama yang perlu diambil ialah mendidik generasi muda tentang pemahaman agama yang betul.
Ini penting kerana permusuhan di antara pengikut agama merupakan ancaman besar kepada keamanan yang telah kita nikmati selama beberapa dekad ini.
Salah satu cara utama untuk memperkukuh hubungan ini ialah dengan meningkatkan kesedaran terhadap tafsiran ekstremis agama yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar, serta membimbing masyarakat agar mendapatkan guru bertauliah melalui rujukan direktori Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).
Begitu juga, usaha pemulihan seperti Masjid Sultan dan pembinaan semula Masjid Darul Makmur yang telah disiapkan baru-baru ini mencerminkan semangat masyarakat kita untuk menyumbang kepada institusi yang ada di Singapura.
Rasulullah saw sendiri membina Masjid Nabawi bersama para sahabatnya.
Anas ra berkata:
“Lalu mereka menyusun batang-batang kurma menghadap kiblat masjid, dan menjadikan kedua tiang pintu masjid daripada batu. Mereka juga mengangkat batu-batu untuk membina masjid sambil bersyair. Nabi saw turut serta bersama mereka, dan Baginda bersabda: ‘Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan akhirat, maka ampunilah golongan Ansar dan Muhajirin’.” (HR Muslim).
Semangat kerjasama ini perlu dihayati oleh masyarakat kita dalam memperkukuh institusi keagamaan dan sosial yang sedia ada.
Satu-satunya jalan untuk masyarakat Muslim Singapura mencapai kejayaan ialah dengan mencontohi nilai-nilai yang telah ditunjukkan oleh generasi awal umat Islam dan menghayati firman Allah swt:
“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaumnya menurut perintah Kami, selama mereka bersikap sabar dan mereka yakin terhadap ayat-ayat Kami.” (Surah As-Sajdah, ayat 24).
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg