Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha menyeluruh perlu bagi basmi tahayul

Kepercayaan berunsur khurafat dan syirik bercanggah dengan syariat
Aug 1, 2025 | 5:30 AM
Kepercayaan bahawa bulan atau hari tertentu boleh membawa musibah merupakan satu bentuk syirik kecil, kerana ia memberi kuasa kepada sesuatu selain Allah dalam menentukan takdir.
Kepercayaan bahawa bulan atau hari tertentu boleh membawa musibah merupakan satu bentuk syirik kecil, kerana ia memberi kuasa kepada sesuatu selain Allah dalam menentukan takdir. - Foto PIXABAY

Kepercayaan tahayul bukanlah perkara asing dalam masyarakat kita, bahkan ia telah berakar dalam kehidupan dan budaya sejak turun-temurun.

Meskipun dunia semakin maju dan ilmu pengetahuan berkembang pesat, masih ramai yang terpengaruh dengan kepercayaan tahayul yang tidak berasas, apatah lagi ada di antaranya yang langsung tidak masuk akal.

Dalam masyarakat kita, istilah tahayul sering dikaitkan dengan amalan atau kepercayaan yang melibatkan makhluk ghaib, nasib malang, sumpahan, dan pelbagai amalan yang berunsur syirik.

Antara contoh yang popular termasuklah mempercayai bahawa seseorang boleh ditimpa musibah jika kucing hitam melintasi jalan, atau akan menerima nasib buruk jika cermin pecah di dalam rumah.

Tahayul juga boleh wujud dalam bentuk amalan yang dianggap sebagai adat atau pantang larang warisan nenek moyang kita, yang pada dasarnya mungkin mempunyai tujuan baik untuk melindungi kita.

Malangnya ia disampaikan dengan cara yang bercanggah dengan syariat kerana berakar daripada kepercayaan yang berunsur khurafat dan syirik.

Khurafat bulan Safar

Antara contoh kepercayaan tahayul yang masih diamalkan dalam sesetengah masyarakat ialah amalan mandi Safar.

Mandi Safar merujuk kepada satu amalan yang dilakukan pada Rabu terakhir dalam bulan Safar.

Ia dipercayai sebagai langkah menghindari bala, penyakit, atau musibah yang kononnya lebih banyak berlaku dalam bulan tersebut.

Amalan itu lazimnya melibatkan mandi beramai-ramai di laut, sungai atau kolam sambil membaca jampi atau doa tertentu yang kononnya mampu menghindarkan nasib malang.

Dari sudut pandangan Islam, amalan mandi Safar bertentangan dengan prinsip tauhid kerana ia berpaksikan kepercayaan bahawa bulan atau hari tertentu mampu membawa bala atau nasib buruk, sedangkan dalam Islam, hanya Allah swt yang berkuasa menentukan segala sesuatu.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw menafikan segala bentuk nasib malang yang dikaitkan dengan mana-mana bulan.

“Tidak ada jangkitan (yang berlaku dengan sendirinya), tidak ada kepercayaan sial terhadap burung (tiyarah), tidak ada kesialan pada burung hantu (hamah), dan tidak ada kesialan pada bulan Safar.” (HR Bukhari).

Hadis yang disebutkan tadi merupakan pencerahan jelas daripada Baginda pada zamannya apabila kepercayaan tahayul telah menguasai kehidupan seharian mereka.

‘Tidak ada jangkitan’ merujuk kepada hakikat bahawa sakit dan sihat itu termasuk dalam lingkungan takdir Allah swt, dan jangkitan hanyalah antara sebab seseorang itu menghidap sesuatu penyakit.

Seseorang mungkin berada dekat secara fizikal dengan seorang yang sakit, tetapi ia tidak bermakna beliau akan serta-merta dijangkiti.

Dua penafian seterusnya dalam hadis tadi merujuk kepada kepercayaan khurafat masyarakat jahiliah.

‘Tidak ada tiyarah’ merujuk kepada kepercayaan mereka terhadap tiyarah, iaitu kepercayaan bahawa nasib baik atau buruk bergantung kepada arah terbang burung.

Jika burung terbang ke kanan, mereka menganggapnya sebagai petanda baik dan akan meneruskan urusan mereka.

Sebaliknya jika burung terbang ke kiri, mereka melihatnya sebagai petanda buruk dan akan membatalkan rancangan.

Kadangkala mereka sengaja menakutkan burung agar ia terbang dan digunakan sebagai panduan dalam membuat keputusan.

Penafian selanjutnya, ‘tidak ada hamah’, merujuk kepada kepercayaan bahawa jika seseorang dibunuh dan tidak dibalas dendam ke atas kematiannya, maka akan keluar seekor makhluk dari kepalanya yang dipanggil hamah seperti ulat atau burung hantu yang akan mengelilingi di kuburnya sambil berkata, “Siramilah aku!”.

Ada yang juga percaya bahawa burung hantu adalah petanda kematian atau nasib buruk.

Jika ia hinggap di rumah, mereka menyangka akan ada kematian yang berlaku.

Maka, hadis ini dengan jelas menolak beberapa kepercayaan karut yang telah berakar dalam masyarakat Arab ketika itu.

Semua perkara ketentuan Allah

Baginda menjelaskan bahawa semua yang berlaku dalam kehidupan, sama ada baik mahupun buruk, adalah atas ketentuan dan kehendak Allah swt.

Kepercayaan bahawa sesuatu bulan atau hari boleh membawa musibah merupakan satu bentuk syirik kecil, kerana ia memberi kuasa kepada sesuatu selain Allah swt dalam menentukan takdir.

Maka haruslah mengelak daripada mempercayai sesuatu perbuatan, tempat atau masa yang tertentu sebagai sebab nasib yang tidak baik, khususnya kalau ia hanya kepercayaan semata-mata.

Seperti contoh mempercayai bahawa kucing hitam membawa alamat buruk dan malam Jumaat sebagai malam yang puaka.

Baginda bersabda:

Tiyarah (kepercayaan kepada petanda musibah) adalah syirik,” Baginda menyebutnya tiga kali.

“Dan tidak ada seorang pun di antara kita yang tidak terlintas perasaan itu, tetapi Allah akan menghapuskannya dengan tawakal kepada-Nya.” (HR Abu Dawud)

Pendidikan berpandu tauhid

Bagi membasmi kepercayaan tahayul, usaha mesti dilakukan secara menyeluruh.

Pendidikan akidah yang sahih perlu diperkukuh di peringkat sekolah, keluarga dan masyarakat.

Ibu bapa perlu memastikan anak dididik dengan pemahaman agama yang benar sejak kecil, termasuk menjelaskan bahawa segala perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah swt.

Ini termasuk menjauhi penggunaan taktik dengan kaedah menakut-nakutkan dalam mendidik anak bersandarkan kepercayaan karut sebagai alat perlindungan atau ancaman.

Kepercayaan sebegitu akan melekat dalam diri mereka sehingga dewasa.

Kita semua hormat kepada nenek moyang kita.

Namun kita tidak seharusnya meniru cara mereka yang mencipta kepercayaan palsu dan kisah rekaan bagi tujuan mendidik anak.

Sebaliknya, gantikan kepercayaan tersebut dengan pemahaman tentang konsep seperti takdir, kuasa Allah swt, serta didiklah mereka bagi memohon perlindungan daripada-Nya.

Didiklah mereka berzikir pagi dan petang agar mereka tidak terdedah kepada mantera dan bacaan yang berunsur syirik.

Selain itu, sebagai seorang Muslim, kita wajib menghindari perkara seperti membaca horoskop walaupun dengan alasan ‘sekadar suka-suka’ atau untuk hiburan semata-mata.

Perkara ini bukanlah remeh, kerana Rasulullah saw memberi amaran bahawa sesiapa yang melakukan syirik kecil secara berulang boleh terjerumus ke dalam syirik besar tanpa disedari.

Agama dan kepercayaan bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan bahan jenaka atau dilakukan secara main-main.

Berhati-hatilah, kerana tauhid yang murni adalah kunci untuk mencapai syurga Allah swt, manakala amalan khurafat dan syirik boleh menjadi sebab masuk ke api neraka.

Perbanyakkanlah doa, sebagaimana yang dipanjatkan oleh Nabi Ibrahim as dalam firman Allah:

“Wahai Tuhan kami, jauhkanlah aku dan anak-anakku daripada perbuatan menyembah.” (Surah Ibrahim 35).

▶ Artikel ini disumbangkan oleh Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg